Karya

Karya

Jumaat, 12 Ogos 2011

MEMORI HAJI 2010: "Nak doa sambil berdiri pun susah!"


Ketika hari-hari awal di Madinatul Munawwarah, jadual rombongan Haji akan terisi dengan aktiviti ziarah yang dibahagikan dua - ziarah dalaman dan ziarah luaran. Yang pertama itu merujuk kepada kunjungan ke Masjid Nabawi (termasuk solat di raudhah dan ziarah Makam Rasulullah SAW), dan melawat Perkuburan Baqi’.

Lawatan ke masjid tersohor itu memang sangat dinanti-nantikan, apatah lagi jika ia merupakan pengalaman pertama bagi sesetengah jemaah. Oleh sebab saya dan Haji Rosli pernah mengerjakan Umrah (sahabat saya itu pernah datang ke sini tahun 2006), pada malam pertama sampai di kota suci ini, tanpa mutawif pun kami berempat (termasuk Kassim dan Azmi) bersolat di Raudhah dengan selesa.

Dukacita juga mulanya kerana kami tidak sempat berjemaah Maghrib dan Isyak di Masjid Nabawi kerana tersekat dek ‘gangguan servis kaunter’ di Lapangan Terbang Madinah hampir empat jam. Maka tidak akan cukuplah sasaran mahu solat berjemaah 40 waktu di masjid yang terkemuka ini. Tapi kami tetap amat bersyukur kerana keadaan di Masjid Nabawi memang lengang. Mudah sangat mendapat ruang untuk solat jamak Maghrib dan Isyak di dalam kawasan Raudhah.

Ketika saya membawanya untuk solat di raudhah, Azmi yang tiada pengalaman langsung di bumi baraqah ini, dalam kejutan spontan memberikan reaksi: “Eh, mudahnya masuk raudhah! Ketika di Malaysia macam-macam nasihat aku dengar. Ada yang kata kena pasang strategi baru boleh solat di Raudhah! Orang kata, payah nak dapat solat di sini. Sentiasa sesak! Ini dah mudah sangat!”

Itulah nikmatnya kami yang datang ke sini menerusi penerbangan awal (KT2). Ketika menandakan pilihan awal akhir penerbangan dan lokasi pendaratan (Madinah atau Jeddah) dalam borang penerimaan tawaran mengerjakan Haji, saya berniat awal-awal tidak akan membuat keputusan sendiri-sendiri. Terlebih dulu saya bertanyakan pandangan Hajjah Azizeh (guru bimbingan Haji yang berpengalaman luas), dan kemudiannya Ustaz Zulkifli al-Bakri (pakar rujuk Haji). Kedua-duanya menasihati saya supaya memilih penerbangan paling awal, dan opsyen memasuki Madinah terlebih dahulu.

Malangnya, sewaktu mengisi maklumat di kaunter ibu pejabat TH di Jalan Tun Razak, saya jadi berbelah bahagi pula. Bermain-main dalam kepala nasihat seorang kenalan supaya saya pilih mendarat di Jeddah dan memasuki Mekah terlebih dahulu. Kenalan saya ini menunaikan Haji pada tahun 2009. Katanya mudah untuk kucup Hajaraswad kerana masih amat kurang jemaah di Kota Mekah. Tambahnya: “Orang-orang Arab pun belum masuk Mekah lagi! Tiada orang di Masjidilharam.” Katanya lagi, “Buat apa nak pergi awal-awal sangat. Tak kesian tinggalkan budak-budak dengan orang gaji lama-lama? Pergi tiga minggu dah cukup. Ziarah ke Madinah tu, bukannya Rukun Haji pun!”

Termakan juga saya dengan kata-katanya itu. Tambahan pula Yang Tersayang tiada bersama kerna tuntutan kerja, maka tiada sesiapa boleh saya kongsi pendapat. Petugas di kaunter nampak gaya tidaklah boleh diajak bincang lama. Straight foward saja cara urus-bicaranya. Maklum saja, Musim Haji sudah tiba, ramailah orang datang untuk pelbagai urusan, maka penuh kerusi (ada terpaksa berdiri), memberikan petanda kita tidak boleh berlama-lama di kaunter. Ada yang juga yang naik angin kerana status masih takat rayuan. Ada yang bising-bising kerana tiada nombor giliran diberikan. Pelanggan yang datang hanya ikut instinct saja. Sesiapa yang baru datang, pandai-pandai saja duduk di kerusi yang kosong, dan paling belakang. Atau berdiri saja di depan pintu! Maknanya, kami akan bergerak ke arah kaunter ikut kaedah ‘angkat punggung’ mengisi kerusi depan yang sudah dikosongkan.

Saya fikir, kalaulah sesak tempat itu dengan pelanggan membawa pelbagai urusan dan karenah, boleh bergaduh jadinya. Kerana tiada siapa yang punyai autoriti untuk menentukan giliran dulu kemudian. Bukan sahaja petugas kaunter tidak peduli walaupun ada yang komplen, pengawal pun tak seorang jua distesenkan di situ!
Kerana tidak mahu berlama-lama di situ, tiada lain difikirkan, saya mahu selesaikan dengan segera urusan menghantar borang penerimaan menunaikan Haji. Mendarat di Jeddah dan masuk Kota Mekah dulu menjadi pilihan saya.

Selesai urusan itu, tergerak hati untuk bertemu Haji Nuqman (Pengurus Kanan, Bahagian Bimbingan Haji). Setelah bicara serba ringkas, beliau nasihatkan saya supaya menukar semula pilihan. Katanya, pilihan masuk Kota Mekah dulu bermakna kemungkinan besar saya akan disalurkan ke penerbangan lebih lewat. Afdhalnya, beliau menyarankan kepada saya supaya mengikuti pandangan Ustaz Dr Zulkifli al-Bakri.

Saya sudah panic. Borang sudah terserah di kaunter. Data sudah dimasukkan ke dalam komputer. Maka segeralah saya turun semula. Walaupun pelanggan bertambah, dengan apologi saya mencelah. Di kaunter, saya sebutkan tentang kesilapan membuat pilihan. Saya sebut juga atas nasihat Ustaz Nuqman, saya mahu memasuki Kota Madinah terlebih dahulu. Agaknya kerana Ustaz Nuqman itu ‘pegawai besar’, sebut namanya sahaja, petugas kaunter mengubah data saya tanpa komplen!

Syukur ke-hadrat Ilahi, perubahan minit terakhir itu membolehkan saya dan Yang Tersayang berangkat awal (penerbangan kedua dari KLIA) terus ke Kota Madinah. Kerana itu, nikmatnya: amat mudah masuk Raudhah untuk berzikir, mengaji dan bersolat. Tidak seperti ketika Umrah 2009. Waktu itu, memang terpaksa berhimpitan ketika solat. Kadang-kadang terpaksa menunggu lama, ‘booking’ tempat berdiri di belakang orang lain untuk solat sunat saja. Malahan nak dapat tempat untuk berdoa sambil berdiri pun susah!

Pujangga Melayu Klasik, Raja Ali Haji dalam gurindamnya ada menyebut “Kurang fikir kurang siasat, kelak dirimu akan tersesat.” Nasib baiklah saya merujuk dan bertanya kepada ‘orang-orang yang tahu dan arif’. Jika tidak, usahkan nak doa sambil berdiri, entah-entah tak dapat masuk ke Raudhah pun kerana kesesakan!

Permisi. Wassalam.

foto 1: Perkuburan Baqi' bersebelahan Masjid Nabawi. Persemadian tokoh terkemuka dalam sejarah ketamadunan Islam.
foto 2&3: Raudhah ketika 'lega' dan sewaktu sesak.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan