Sewaktu di England, anak bongsu saya (Ney-ney) sejak tadika hingga darjah satu kerap diserang lelah. Anak-anak saya yang lain (Syai dan Dek-dek) tidak pernah dibebani masalah kesihatan sebegitu. Saya fikir mungkin kerana cuaca di sini. Mana pernah ada hari yang ‘betul-betul panas’ di negeri orang putih ini. Musim Panas itu pun hanya cerah saja yang lebih. Panasnya tidak terasa. Masih dingin macam duduk dalam aircon juga.
Sewaktu hari mula kami mastautin di sini, sudah masuk Musim Luruh. Sejuk sudah bisa menyerap hingga ke tulang. Kerana belum reti adjust, kadangkala budak-budak keluar rumah ikut sedap mereka saja. Pakaian main sarung saja ikut macam di Tanah Bonda juga. Saya fikir itu sebabnya Ney-ney mudah lelah. Belum sempat dipesan dan ditegah, sudah berlari keluar dia di depan rumah dengan t-shirt lengan panjang nipis dan seluar jean. Kerap sangat begitu, lelah datang menjadi beban kepadanya.
Biasanya, apabila Ney-ney diserang lelah, jalan penyelesaian mudah: sedut inhaler yang sedia ada di rumah. Kalau sudah sampai peringkat bunyi keluar masuk nafasnya kuat mendayu-dayu macam orang dalam kesedihan amat sangat, jalan selamat bawa saja ke klinik Dr Phatak. Berjalan kaki kira-kira sepuluh minit saja. Letaknya bersebelahan dengan Masjid Cobridge. Setengah jam menggunakan nebulizer, lega dadanya dan segar semulalah Ney-ney.
Ini semuanya atas pertimbangan dan penilaian Yang Tersayang. Itu bidang dia. Arifnya dia saja. Saya hanya menurut. Bahkan saya pun pesakit dia juga!
Jika serius serangan lelahnya (nafas kencang, dada berombak, tercungap-cungap mulut macam ikan mas dalam akuarium), maka tiada jalan lain, akan segera pergi kami ke North Staffordshire Hospital. Layanan dan perawatan di hospital itu memang sangat bagus. Tiada diskriminasi. Macamlah kami ini rakyat England juga!
Pernah dua kali Ney-ney dibawa ke hospital berkenaan. Kali pertama, masuk wad selama sehari semalam. Kali kedua, hanya enam jam dirawat dan dipantau di bahagian kecemasan.
Sewaktu masuk wad pada kali pertama itu, kerana urusan awalnya agak lama, maka saya menunggu hingga terlangsung hampir waktu solat Jumaat. Ditakdirkan-Nya ada seorang pemuda Melayu yang budiman, kerja sebagai doctor di hospital ini. Kebetulan pula kepakarannya dalam pediatrik. Jadi makin mudah urusan perawatan terhadap Ney-ney.
Saya gusar juga takut-takut terlepas solat Jumaat. Nak berkejar balik ke Cobridge tiada kesempatan lagi. Mujur sungguh doctor muda ini (Doktor Salleh, asalnya dari Sungai Buluh) bertugas pada waktu itu.
Rupa-rupanya, di dalam kawasan North Staffordshire Hospital ada sebuah masjid.
Pada mulanya memang saya tidak terfikir pun hendak bertanya kepada jururawat dan doctor Inggeris yang bertugas. Rasa pelik pula untuk bertanya ada tidaknya masjid di hospital berkenaan kepada mek dan mat salih di situ. Lagipun, saya tidak terfikir pun wujud masjid di kawasan hospital itu!
Mengikut Dr Salleh, masjid diwujudkan (bukan dibina, ya) kerana permintaan daripada staf beragama Islam yang bertugas di situ. Saya diberitau, ramai muslim yang bertugas sebagai doctor di hospital berkenaan. Wow, patutlah ‘power’. Jika para doctor muslim itu (majoritinya Pakistan dan Arab) ‘ambil masa lama’ solat Jumaat di masjid yang terletak jauh di luar hospital tentulah akan menimbulkan ‘masalah logistik perubatan’.
Pada Jumaat itu, sambil berjalan kaki Dr Salleh jadi tukang cerita dan jurupandu juga. Tiba di sebuah bangunan lama (klasik), tanpa teragak-agak pemuda budiman ini terus masuk ke dalamnya. Dia kembali menjenguk di pintu kerana saya masih terkulat-kulat di luar, kasut pun belum tanggal lagi. Dia menggamit saya supaya masuk segera.
“Dah iqamah!” tuturnya perlahan.
Saya mengerutkan dahi. Saya tuding ke arah bumbung bangunan klasik itu seraya berbisik. “Solat dalam gereja?” Serentak itu mulut saya muncung ke arah salib yang kukuh tercacak di atasnya.
Doktor Salleh hanya tersenyum. “Bukan gerejalah. Dah lama jadi masjid!”
Maka jadilah hari itu Jumaat paling bersejarah dalam hayat saya. Seorang jejaka kampungan, solat Jumaat di dalam sebuah gereja.
Err...sebenarnya, gereja yang sudah ‘diubah fungsinya’ menjadi masjid!
Permisi. Wassalam.
foto 1: Budak-budak apabila sihat. Ney-ney di nuseri St Peters.
foto 2: Inilah jiran saya di Cobridge. Pemuda-pemuda Melayu yang budiman. Shakeel, Asri & Wan tolong angkat seorang wargamas mat salih melepasi selut.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan