Karya
Rabu, 19 September 2012
KENAPA GADUH NAK BUANG KERIS & TUKAR BENDERA?
Sepanjang ‘bulan Kemerdekaan’ dan ‘Bulan Malaysia’ tahun ini, tak habis tempik-sorak, raungan, pekikan dan jeritan yang tertumpu kepada bendera Sang Saka Merah Putih dan Jalur Gemilang. Maka yang turut bercampur-aduk jadi rojak masam manis dalam keghairahan rakyat jelata dan pemimpin pelbagai parti bertikam lidah menegakkan kebenaran masing-masing, maka tidak dapatlah dielak menyusup maki-hamun (terutamanya, di laman fb).
Media-media utama nampak menggila serangannya kepada pihak-pihak yang mengibarkan bendera yang kononnya akan menjadi bendera Tanah Semenanjung yang baru.
Itu dikatakan hanya boleh berlaku dengan syarat berlaku dua peristiwa mega. Puncak kepimpinan negara yang kini menjadi cair dek letusan gunung berapi dan lemas ditelan gelora samudera ketika PEMILU KE-13. Gunung berapi itu kita boleh analogikan sebagai kekuatan pihak pembangkang yang tidak terbendung lagi, manakala gelora samudera itu boleh diibaratkan sebagai gelombang kebangkitan rakyat yang menenggelamkan pantai, daratan danm banteng yang menyekat kebebasan berfikir dan bersuara.
Namun soal pokoknya, bolehkah letupan gunung berapi itu berlaku? Apakah barisan alternatif itu cukup kuat hingga boleh mengeluarkan lahar yang mampu merobohkan segala kekuatan barisan yang sedia ada? Apakah sedang terjadi suatu gerakan di lantai laut, dalan diam-diam mengumpulkan kekuatan untuk mewujudkan suatu gelora mega yang bisa menyapu bersih apa-apaan yang ada di pantai, tanah datar, dan lembah? Jika benar pada PEMILU Ke-13 nanti ditakdirkan kedua-duanya berlaku, maka impian sesetengah pihak untuk mengibarkan Sang Saka Merah Putih itu akan tercapai. Maka kita akan menyaksikan upacara serupa macam ketika Union Jack diturunkan di Dataran Merdeka 55 tahun dulu terjadi semula!
Sebelum riuh, kalut dan bercampuran dengan karut-marut tentang bendera yang mahu ditukar-ganti itu, sebelum sampai tarikh 31 Ogos baru-baru ini, dalam laman fb saya terpapar klip video tentang hal itu jugak. Paparan tak sampai sepuluh minit itu menunjukkan seorang ‘ahli politik veteran’ yang dikatakan punyai hubungan dengan PKMM (Pertubuhan Kebangsaan Melayu Malaya). Saya tidak tahu siapa orangnya.
Tak pernah tengok pun fotonya dalam buku sejarah. Seingat saya teks sejarah tingkatan satu hingga enam, tak terbit gambar orang yang dikatakan punyai kaitan dengan PKMM itu. Tapi siapa orangnya tidak penting. Yang lebih penting, bicaranya jua. Kata-katanya yang berupa suatu ‘pengakuan yang sebenar ’ dan ‘fakta yang betul’ tentang sejarah Tanah Bonda itu sangat menarik.
Kira-kira beginilah intipati kata-kata beliau (nota: mohon maaf banyak-banyak. klip video tu dah tak boleh akses lagi. Jika jumpa semula, akan dimasukkan di sini. Pembaca budiman boleh akses terus, dan baca sendiri, tafsir ikut ilmu sejarah masing-masing.) :-
‘Sewaktu kongres umat Melayu diadakan bertujuan menuntut kemerdekaan, timbul cadangan menggunakan hanya satu bendera sebagai simbol kesatuan. Yang disyorkan ialah bendera yang dominan warna merah putih. Sebilangan peserta kongres mempertikai bendera itu, kerana ada terlakar sebilah keris di tengah-tengahnya. Kenapa perlu ada keris itu? Kita bukan nak berperang. Kita nak menuntut kemerdekaan. Lagipun, kenapa mahu mengagungkan keris? Itu bukan al-Quran. Itu bukan lambang Islam. Kenapa kita nak sembah dan sujud kepada keris yang tiada kaitan dengan agama kita? Lalu, sebahagian peserta memprotes. Kerana penganjur berdegil dan tidak mahu buang imej keris di bendera itu, maka kami bertindak tarik diri. Kami keluar daripada kongres.’
Reaksi rakan-rakan fb pelbagai. Ada yang berikan komen begini:
“Dengan kecanggihan teknologi, kita dapat tahu banyak perkara yang tersembunyi atau sengaja disembunyikan oleh pihak berkuasa. Kini, dapatlah kita tahu hal sebenarnya tentang sejarah kita!”
Saya tidak memberikan komen apa-apa dalam laman sosial itu. Lama juga saya mengambil masa untuk memberikan sedikit reaksi melalui blog ini. Mahu telaah dulu bahan-bahan yang relevan dan punyai autoriti dalam hal ini. Mahu semak balik nota-nota lama mengenai keris. Mahu selak semula kitab Sejarah Melayu dan Hikayat Hang Tuah. Terjumpa pula lakaran Keris Tanjung yang saya hasilkan tiga tahun dulu.
Kerana sudah diajar oleh tok guru sejarah ketika mengaji di Universiti Malaya lama dulu: apa jua ‘bahan baru’ yang boleh dijadikan bukti, kenalah diperiksa, diselidiki dan ditimbang-tara. Kena sukat takat mana nilai ‘benar dan betul’ yang ada padanya. ‘Bahan yang baru ditemui’ tidak semestinya ‘betul dan benar’. Kecuali ada bukti-bukti lain, yang boleh dijadikan sokongan yang kukuh.
Dalam konteks ini, mungkin temuramah dengan beberapa pemimpin veteran Melayu dan sarjana yang lama-lama, yang turut hadir di kongres berkenaan. Barulah kita boleh menilai dengan lebih adil dan dapat memberikan reaksi yang rasional dan jujur. Kerana timbul juga musykil: benarkah sebahagian peserta yang memprotes di Kongres Melayu suatu waktu dulu sebelum Merdeka itu benar-benar bertindak keluar hanya kerana sebilah keris yang terlakar di dada bendera merah putih?
Setakat ilmu sejarah yang saya ada, tidaklah pernah bertemu dengan kenyataan yang sebegitu. Di kampus dulu, saya pernah mengikuti kuliah Mahaguru Sejarah Malaysia – Profesor Emeritus Khoo Kay Kim. Tidak disebut peristiwa itu dalam kuliahnya. Tidak juga dibincangkan dalam tutorialnya. (Saya bernasib baik, kelas tutorial dikendalikan oleh beliau juga – banyak ilmu yang diperoleh, walaupun kecut perut taku disoal!)
Setahu saya, Sang Mahaguru itu bidang kajiannya ialah mengenai Gerakan Nasionalisme di Tanah Melayu. Beliau memang mahir dalam bidang ini. Jika benarlah peristiwa ‘protes keris’ ketika Kongres Melayu itu benar-benar berlaku, tentu ada disebut Sang Profesor dalam mana-mana makalah, buku, kuliah dan tutorialnya. Tapi mungkin jugak Sang Profesor terlupa nak sebut kerana sebab-sebab teknikal yang tidak boleh dielakkan!
Cuma kepada rakan fb yang begitu bangga kerana berjaya muatkan klip video itu, dan begitu percaya kepada ‘bukti yang baru’ itu, mahu juga kita berpesan: tengok jugak kepada bendera sebuah negara di Timur Tengah yang hijau warnanya. Terang-benderang, sebilah pedang terlakar di dadanya. Maksudnya, mahu disembah dan dipuja pedang itu jugakah oleh pemimpin dan rakyat jelatanya? Apakah pedang itu hanya membawa pengertian mahu berperang semata-mata?
Cuba fikirkan tentang ini dua soalan akhir.
satu: Semasa kita jadi pengantin muda-muda dulu, megah tersisip keris di pinggang itu, apakah terlintas mahu berperang atau mengamuk juga?
dua: Apakah keris itu simbol yang durjana atau murni?
Akhir kata: Kenapalah kita nak protes, marah-marah dan berbalah habis-habisan kerana sebilah keris. Akhirnya jadi berpecah-belah dan lemah hingga dah tak larat lagi nak tukar dan kibar bendera! Cabut simbol keris itu pun, dan bikin bendera baru pun, kita akan masih ketinggalan dalam bidang ekonomi, politik dan sosial jika terus berbalah-balahan berpanjangan dalam hal-hal yang remeh-temeh!
Buang keris dan tukar bendera mudah amat. Tapi bukan itu yang menjadikan kita bangsa yang bermaruah dan disegani kerana punyai tamadun tinggi.
Lagipun, sebahagian orang kita, marah-marah, mempersenda dan protes tentang keris, tahu betulkah kita tentang senjata tersohor itu? Bukan apa, takut kita ini jadi 'macam orang buta dengan gajah' dan 'menang sorak, kampung tergadai'.
Kita kurang pengetahuan tentang keris, tapi berbalah-balahan mahu membuangnya. Padahal orang kita sebenarnya tidak sempat menuntut ilmu yang mendalam tentang senjata pusaka ini. Hinggakan tiada sarjana kita yang betul-betul boleh dikatakan pakar dalam soal keris. Bahkan, buku yang betul-betul punyai autoriti dan jadi bahan rujukan utama mengenai keris ini, ditulis oleh sarjana Barat.
Jika tuan-tuan mahu tahu lanjut tentang senjata mistik Melayu ini, mahu tahu asal-usulnya mengikut kajian sarjana, silalah rujuk:-
1. "The Kris: Mystic Weapon of the Malay World" (karya Edward Frey, terbitan Oxford University Press, 2003).
2. "The Keris and other Malay Weapons," (karya A.H. Hill, G.C. Woolley dll, dalam The Malaysian Branch of The Royal Asiatic Societ, 1998, report no 16.)
Jadinya, usahlah duduk gaduh nak buang keris itu, jika kita sendiri tidak tahu apa-apa mengenainya! Jika tiada ilmu, sabarlah dan dengarlah kata-kata orang yang berilmu.
Begitu juga halnya apabila ada 'orang lain' yang berani mengatakan Laksamana Hang Tuah itu tidak wujud dalam sejarah Tanah Semenanjung, terkebil-kebil kita dibuat. Terkial-kial mahu memberikan jawapan. Kita jadi begitu kerana tiada satu pun sarjana Melayu di Tanah Bonda ini yang boleh mendabik dada mengatakan dia adalah pakar tentang hal-ehwal yang bersabit dengan panglima tersohor itu!
Permisi. Dengan izin-Nya kita ketemu lagi.
nota kaki: Keris Tanjung itu saya lakarkan berdasarkan gambar di dalam buku "Spirit of Wood: The Art of Malay Woodcarving" karya Farish A Noor & Eddin Khou, Periphs Editions (HK) Ltd, Singapura: 2003.
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan