Teruk benarkah masalahnya?
Itu soalan cepumas ketika pulang beraya di kampung kali ini. Rata-rata waris-warah beranggapan kami ‘kehausan dan gersang’ dalam krisis air yang teruk di Darul Ehsan.
Soalan popular yang lain ialah: “Acap benar ke bekalan terputus?”
Musykil yang datang dengan dahi berkerut itu boleh sangat difahami. Meloncat daripada bibir penduduk kampung yang tidak pernah mengalami krisis air. Seingat saya, kampung kami tidak pernah ‘tandus dan gersang’ kerana terputusan bekalan air. Ah, namanya pun Pulau Musang. Mana bisa kering airnya!
Sungai Terengganu yang melingkar dari Ulunya di Kenyir itu, sudah jadi macam lebuhraya. Lama sebelum saya dilahirkan, sungai ini juga adalah jalan pengangkutan ke Kuala Terengganu. Jeti (tempat singgah bot penambang yang menyisir ke Pasar Kedai Payang) yang didirikan atas usaha arwah ayahanda saya masih teguh di tebing sungai. Di situ tempatnya saya dan kawan-kawan yang jantan berenang, main di atas rakit, melempar pancing dan mandi-manda.
Di kampung kami terdiri sebuah rumah pam. Dari sungai itu disedut airnya untuk kegunaan sawah bendang. Jernih air memenuhi parit besar yang melingkar macam sang naga yang galak berenang. Jika tidak bermandian di sungai, di parit itulah, menjadi tempat kegemaran saya dan rakan-rakan bermain air. Tidak selalu. Ketika air sedang dipam ke dalam parit, paling seronok berenang. Air yang deras membuak dari mulut rumah pam yang lebar, menjadi dombaan budak-budak lelaki yang gemarkan cabaran extreme!
Dari sungai itu juga tersalir air melalui batang-batang paip macam batang balak besarnya, ke pusat tapisan di sebuah bukit di Losong. Mewahnya air di kampung kami. Sungai yang ‘begitu hidup’ mendepaninya menjadi sumber untuk pertanian dan pelbagai kegunaan harian yang lain. Sungai ini juga menjadi ‘medan sosial’ penduduk kampung. Tempat pertemuan anak-anak kecil, remaja, belia dan dewasa sekaligus. Terdidik tentang nilai kehidupan tanpa sedar.
Sayangnya, sungai itu bukan tempat bermandian lagi. Sudah pupus fungsinya sebagai ‘medan sosial’ penduduk sekitar. Sesekali balik kampung dan cuba mengutip nostalgia zaman anak-anak, yang ketemu hanyalah kedukaan dan kehampaan. Sungai itu sudah tercemar. Banyak sangat sangkar ikan yang dibina di kiri kanan tebingnya. Malahan ada juga kegiatan melombong pasir. Bukan saja sungai besar itu tidak menjadi gelanggang remaja bermandian dan bersosial. Malahan parit yang besar dan panjang melingkar melepasi sempadan beberapa kampung itu pun sudah mati juga. Gerun melihat keadaannya.
Langsung tidak terliur untuk membuka baju dan melurutkan seluar, lantas terjun tanpa teragak-agak ke dalam airnya yang jernih seperti dulu-dulu. Naga yang galak bermain air sudah lama mati. Barangkali inilah ‘pengorbanan’ demi pembangunan!
Usia makin meningkat, kenangan silam pun sudah makin kelabu. Rakan-rakan lama yang sama-sama bermain dan bersosial di parit dan sungai, lesap entah ke mana. Ketika Aidilfitri baru-baru ini, hanya seorang yang diketemui. Daud. Yang lain-lain ramai sudah mastautin di daerah lain atau menetap di luar Darul Iman.
Sudah banyak uban di kepala Daud. Anak entah berapa. Tidak sempat berbual panjang kerana dia punyai kegawatan yang lain.
Ah, sungai dan parit di kampung saya sudah terlalu banyak berubah. Macam manusianya juga. Dan air tidak lagi percuma macam zaman dulu-dulu. Yang kekalnya, bekalan sahaja tidak putus-putus.
Kerana itu, jadi kehairanan besar kepada waris-warah dapat cerita daripada media, tentang air di Darul Ehsan yang hampir kering.
“Tahun ni, berapa kali putus bekalan?”
Soalan itu menerjah lagi.
“Dalam empat tahun ni, hanya sekali.” Saya menjawab sambil mata memantau juadah di atas meja.
“Sungai kering? empangan kosong?” Ada yang mencelah dengan ghairah.
Saya tersengih. “Bukan. Air ada. Cukup banyak. Hujan. Ribut. Selalu sangat. Masa tak ada air tu... terputus bekalan tu...bukan sebab empangan kering. Sebab syarikat air tukar paip besar yang baru!”
Ketika waris-warah mengangguk kecil sambil mengunyah ketupat dan satay, saya tambah sikit lagi info.
“Kami di sana nasib baik. Bil air murah sangat. Ada yang kena lima puluh sen saja sebulan! Rumah saya, paling banyak pun tiga ringgit lebih sikit. Itu pun sebab tertunggak dua bulan tak bayar! Ada kawan saya, di taman yang lain, tak kena bayar apa-apa. Gaji besar. Rumah dua tingkat. Anak dua tiga orang. Dapat air percuma!”
Nampak terlopong beberapa orang.
“Tak masuk akal! Rumah aku ni, tak besar mana. Campur isteri, anak...ada tiga orang. Kena bil empat puluh ringgit sebulan!” Zaki yang tadinya bersila di atas kerusi empuk, bangun membetulkan sampingnya.
Sambil mengetatkan kilasan, Zaki merungut. “Nama saja Pulau Musang. Sungai tak pernah kering. Air kita disedut untuk orang lain. Patutnya dapat rasa macam kamu jugak. Tak payah bayar apa-apa. Kampung kita kaya dengan air! Kita nak rasa jugak air percuma nih!”
Permisi. Bisa ketemu lagi.
foto: bil tertunggak dua bulan. total caj = RM3.10
Sg Paloh yg tempat hamba bersosial kini sepi ibarat parit mati. Pasir yg timbul di hujung Pu Sekati yg menjadi tempat perkelahan ku menjadi semak. Masih ku ingat berperahu bersama aruah nenek dari Pu Rusa ke pasar (lama)Manir.
BalasPadamArgghhh, apa nasib mu Sungai Terengganu...
sdr anonymous, kita ini 'budak-budak yang jadi dewasa' di tebing sungai yang sama. molek benar kalau sdr boleh tulis lanjut tentang 'Sungai Ganu Yang Makin Uzur'. tentu seronok baca pengalaman budak sungai di kampung yang lain sepanjang tebing Sungai Ganu tu :-)
PadamSaya cuba ingat kembali sejenis perangkap udang yg di buat dari ranting berdaun setiap kali selepas musim banjir, fungsi yg sama unjam di laut.
BalasPadam