Karya

Karya

Jumaat, 31 Ogos 2012

nota syawal (3) HERO GANU SEBELUM EMAN MANAN

Syukur ke-hadrat Ilahi, saya dikurniakan keluarga yang besar. Adik-beradik saja, kalau dicampur lelaki perempuan, boleh buat satu pasukan bola. Itu tidak termasuk total enam lagi di sebelah Yang Tersayang – yang bisa dilantik jadi jurulatih, ahli fisio dan pengurus Kelab Bola Pulau Musang. Sebab ada jugak ipar yang berdiri gah sebagai ahli korporat yang begitu sukses, barangkali tidak sukar untuk dia menjadi penaja!

Meriah dengan pelbagai warna pelangi Aidilfitri. Itu gambaran raya keluarga besar kami. Tiga hari pertama raya, tidak bisa ke lain. Rumah terbuka diadakan di kalangan adik-beradik sudah dimulai hari pertama lagi. Enam adik-beradik saya masih tinggal di Kampung Pulau Musang. Kerana itu rumah terbuka diecer kepada tiga hari berturut-turut.

Jadual raya jadi sendat. Pagi selepas solat sunat aidilfitri di surau pusaka Ayahanda Bonda, kami langsung masuk kampung (Kubang Kekura – kampung kelahiran Ustaz Dr Zulkifli al-Bakri), beraya di rumah orang tua-tua – nenek, bapa dan mak saudara. Rumah-rumah sepupu yang terbina di kampung yang sama, dikujungi sekali harung.

Selesai mengunjungi saudara tua-tua, adik-beradik dan sepupu di Kampung Pulau Musang dan Kubang Kekura, saya akan menyertai pula konvoi sebelah Yang Tersayang.

Keluarga saya asal di kampung, dan majoriti masih kekal di kampung, walaupun tak seorang pun kerja kampungan. Berlainan dengan keluarga sebelah Yang Tersayang. Konvoi ipar-duai yang saya sertai akan beraya di Bandar Ganu. Rumah orang tua-tua yang menjadi kewajipan dikunjungi tiap tahun letaknya di Pasir Panjang. Kira-kira sepuluh minit dari Kuala Terengganu.

Antara deretan rumah waris-warah yang terdiri bersempadan dengan Sekolah Menengah Tengku Bariah (kakak ipar saya jadi penolong kanan di situ) ialah rumah Haji Yaakob. Bapa saudara Yang Tersayang. Kami memanggilnya Wak Akob. Dia antara dua adik-beradik bapa mentua saya yang masih ada. Enam yang lain (termasuk mentua saya), sudah kembali ke alam baqa.

Orangnya peramah. Mudah senyum. Tingginya lima kaki sebelas. Usia sudah hampir cecah lapan puluh, masih tegap.

Saya gemar amat berbual dengannya. Lelaki segak yang berasal dari Kota Singapura ini banyak pengalaman. Jika pandai cungkil, timbul cerita yang bagus-bagus. Bisa dijadikan teladan dan sempadan. Kalau mahu sembang politik Ganu, inilah antara orang yang bisa bicara secara objektif kerana pengalaman bergaul dengan pelbagai lapisan masyarakat. Malahan dia mengenali agak dekat tokoh-tokoh politik Darul Iman (yang lama dan baru, yang memerintah dan yang membangkang).

Raya kali ini, bukan cerita politik yang timbul. Saya tidak minat mencungkil bab yang tidak berapa pasti itu. Kerana soalan dan jawapan yang basi tentang ‘bila pilihanraya’, dan ‘siapa akan menang’ tidak menarik minat saya.

Kali ini saya sudah set, mahu ungkit musykil lama: Benarkah Wak Akob ditawarkan berlakon dalam filem Melayu?

Sambil tersenyum dan ketawa kecil, Wak Akob berkisah. Saya tulis semula, dan turunkan ringkasannya kira-kira begini:

Itu cerita zaman muda-muda dulu. Waktu itu Wak Akob belum lima tahun hijrah di Terengganu. Awal tahun 1960. Ada shooting filem Cucu Datuk Merah di Chendering. Heronya, Nordin Ahmad. Pasangannya, Latifah Omar. Ketika penggambaran, pihak produksi ambil kesempatan, nak cari bakat di kalangan orang-orang muda Terengganu. Tersebarlah berita di seluruh bandar. Tapi tak ada pemuda Terengganu sanggup sahut cabaran. Tiada yang berani tampil. Tak berani baca skrip. Tak sanggup buat lagak ikut arahan. Antara yang mendengar cabaran itu ialah orang-orang muda yang aktif dalam Kelab Darul Ehsan. Kelab seni budaya Kuala Terengganu. Mereka juga tidak berani ke depan. Tapi tetap terasa maruah pemuda Terengganu sudah tercemar. Di kalangan mereka bersetuju, hanya seorang yang dapat menyelamatkan maruah pemuda Terengganu. Maka wakil Kelab Darul Ehsan pun bergegas ke deretan kedai berhampiran Pasar Kedai Payang. Waktu itu, orang yang dicari sedang berkerja di sebuah kedai kain. Tanpa diberitau sebabnya, jejaka yang hanya pakai singlet dan kain pelikat itu didesak supaya segera memakai seluar slack dan kemeja. Apabila dia bertanya, jawapan diberikan ringkas: Jangan tanya. Kamu mesti tolong. Ini maruah kita. Maruah orang Terengganu!

Maka terpaksalah orang lain menggantikan tugas jejaka tadi menjaga kedai kain tersebut. Sewaktu screen test itu, diberikan skrip dan diuji cara berjalan dan lagak yang pelbagai. Keesokan hari, jejaka berkenaan diperkenalkan kepada Hero Malaya yang original - Nordin Ahmad.

Orang yang membawa jejaka itu ke rumah penginapan pelakon Latifah Omar. Ketika itu Nordin Ahmad sedang menunggu Latifah Omar bersiap-siap. Mereka ada dating. Lantas (dengan nada bangga berbaur cabaran) ditanyai pelakon handalan itu begini, “Nordin, boleh challenge?”

Dengan lagak sang hero, Nordin Ahmad menjawab, “Ah, siapa-siapa pun boleh!” Sebentar kemudian dia berlalu bersama seniwati anggun Latifah Omar.

Tidak berapa lama selepas itu, sepucuk surat daripada syarikat perfileman sampai di tangan jejaka Terengganu yang pernah cuba diadu dengan Hero Malaya Nordin Ahmad. Ia surat tawaran untuk berlakon dalam filem Tajul Asyikin. Bukan watak utama. Tapi berpeluang berlakon di samping Nordin Ahmad.

Kerana tidak mendapat restu ibunya, pemuda itu menolak tawaran keemasan itu. Jika tidak, kerana bakatnya terserlah ketika screen test, mungkin dia bisa menjadi hero filem Melayu macam Nordin Ahmad. Mungkin dia bisa menjadi Hero Ganu yang pertama sebelum Eman Manan.
Saya kira, anda udah bisa teka siapa jejaka hebat itu. Orang Ganu waktu itu sampai berani adukan dia dengan Nordin Ahmad!

Tak lain, dia ialah bapa saudara Yang Tersayang. Duduknya di Pasir Panjang. Sudah masuk kategori veteran. Tapi lagak hero itu – tegap, segak, senyum menawan, mata memikat, petah bicara, berani, dan tahu agama – tetap terserlah pada diri Haji Yaakob. Dialah yang kami panggil Wak Akob.

Inilah ‘Hero Ganu sebelum Eman Manan!’

Permisi. Bisa ketemu lagi.

foto 1&2: Wak Akob di samping isteri, anak, menantu, cucu dan anak-anak saudara.
foto 3: sekali imbas macam Nordin Ahmad!

Tiada ulasan:

Catat Ulasan