Karya

Karya

Jumaat, 10 Ogos 2012

madrasah ramadhan (7) "PENYAMUN VETERAN DICEKUP SEBELUM SAHUR!"

nota awal:
bisa diambil iktibar daripada hadis Rasulullah saw, diriwayatkan oleh Abu Hurairah (shahih Bukhari dan Muslim).
1. “Tidak masuk syurga seseorang yang jirannya tidak merasa aman daripada kejahatannya.”
2. “Barangsiapa beriman kepada Allah dan hari akhirat, maka janganlah menyakiti jirannya.”


___________________________________________________


Hari ke-20 Ramadhan, 1433H.

Tahun ini ada enam imam yang mengetuai solat tarawih di surau kami mengikut giliran. Imam tetap hanya seorang - Ustaz Iqbal. Seorang hafiz yang sedang menyiapkan tesis sarjana. Bacaannya jelas dan lunak. Tazkirahnya pula sesuai dengan sifat sarjananya - ada elemen ilmiah. Asalnya dari Tanah Seberang. Pernah mengaji lama di Timur Tengah.

Sudah tujuh tahun dia menjadi imam di surau kami. Dia jugak yang ajar mengaji budak-budak di kawasan ini. Kelas dewasa pun ada. Tapi tak formal. Kalau ada tahlil, dia yang menjadi penghulunya.

Jika cuti raya, dan majoriti penduduk balik kampung, ustaz dinamik ini bersama dua rakannya, bertugas meronda kampung kami. Jadi pengawal kampung pulak dia. Kebajikannya itu sangat besar nilainya kerana ketika orang lain bergembira di kampung, Ustaz Iqbal dan regunya menggalas mandat mempastikan kampung kami tidak sembarangan dicerobohi penyamun dan penyangak. Berkorban dia dan kawan-kawannya (bersekang mata dan berhabis masa) bersedia menghadapi risiko apa-apaan 'demi kedamaian Aidilfitri' penduduk yang lain, yang sudah berpestaan di kampung-kampung asal mereka.

Aidilfitri tahun lepas, tiada terlapor kecelakaan apa-apa di kalangan penduduk. Tidak terdengar ada rumah dicerobohi ketika cuti Aidilfitri. Nampak gaya, Ustaz Iqbal dan gengnya sudah menjalankan tugas rondaan dan kawalan yang bagus sekali.

Sebenarnya, ketika itu kami sekampung dalam kebimbangan. Pada awal Ramadhan lagi kes pecah rumah sudah berlaku. Ada kalanya satu malam sampai tiga empat rumah diceroboh penyamun. Rumah kenalan saya ditimpa kecelakaan sewaktu dia dan isterinya tarawih di surau.

Seriusnya kes kecurian itu hinggakan AJK kampung berusaha mengadakan temu-bincang dengan pihak polis. Nasihat akhirnya daripada pihak lelaki uniform biru itu kira-kira begini:

"Terserah kepada penduduk jugak. Nak harapkan polis saja, kami tak cukup tenaga. Tak sempat untuk kawal setiap kampung atau kawasan perumahan di seluruh Kajang. Jika penduduk bersepakat, kes jenayah di sini boleh dibendung. Tapi ada penduduk (di kawasan lain) bukan saja tak ambil berat, tak sepakat, tak ada semangat kejiranan...malahan buka lampu di parkir kereta sendiri pun tak nak. Macam-macam alasannya. Membazir. Kadang-kadang terlupa nak tutup sebab nak lekas pergi kerja. Kalau kena buka lampu jugak, kerajaan patut beri subsidi kos elektrik untuk sekuriti. Lagipun, tak boleh buka, mudah penyamun nak buat kerja dalam cerah!"

Atas semangat kejiranan, kampung kami mengadakan rondaan sepanjang Ramadhan tahun lepas. Ramai penduduk yang mendaftar dan bergiliran bertugas. Sempat juga saya dan geng (Wan, Mukrim dan Razman) menyelit. Meronda jugak empat kali. Dari jam dua hingga empat pagi. Slot yang kami pilih biasanya hujung minggu.

Lepas habis waktu ronda, kami lepak di beranda surau. Yang seronoknya, Razman selalu bawak bekal satu tarmos kopi panas diiringi sandwich atau bihun. Razman ni tauke katering. Isterinya handal memasak. Apa pun makanan yang dibawanya gerenti sedap.

Betul sungguh ungkapan yang selalu dimainkan dalam kempen rukun tetangga: 'Jiran Sepakat Membawa Berkat'.

Kekerapan penduduk buat ronda-ronda itu, geraf kecurian gelonsor turun. Kami pula makin rapat dan saling memahami. Jika tak ada rondaan ini, nak jumpa di hujung minggu pun payah. Sibuk komuniti profesional Melayu ini macam tak ada noktah. Faedah yang paling mahal, kami jelajah segenap pelosok kampung ini. Tahu semua lorong dan rumah di kejiranan kami. Razman yang jadi tukang beri info. Dia kenal semua orang.

Ketika meronda kami pakat bergilir kereta. Kali pertama kereta Mukrim. Kali kedua kereta Razman. Sebenarnya teksi. Di samping buat katering, kadang-kadang Razman jugak memandu teksi.

Meronda kali kedua itu yang paling mengujakan. Kerana tersilap komunikasi, kami terus meronda tanpa mengambil lampu kelap-kelip yang macam terlekat di atas kereta polis tu. Yang ada dua lampu suluh saja. Jurupandu Razman. Tukang suluh Wan. Galak jugak dia menyuluh rumah-rumah yang dilintasi. Kadangkala lama dililau pancaran lampu ke beberapa rumah yang agak gelap persekitarannya.

Ketika masuk satu jalan kecil tanpa tar, yang gelap tiada lampu jalan, ralit kami melihat gelagat seekor musang bermain di celah-celah pokok yang renek. Tidak hirau langsung ia akan kehadiran kami.

Sebaik Razman pulas stereng, pusing balik masuk semula ke jalan besar, tak sampai lima meter, tiba-tiba muncul sebuah Kembara. Cara dipandu ganas jugak. Macam nak dirempuh teksi Razman. Mujurlah teksi itu dipandu amat perlahan. Sempat dibrek cemas. Kembara itu pula cepat sekali dikilas dan berhenti betul-betul di depan teksi. Kami terus terhadang. Terpinga-pinga jadinya! Apakah pencuri sudah jadi perompak yang ganas? Sudah main kasar, mahu rompak cara terang-terangan?

Kereta sendat dengan rasa kaget. Saya pegang kemas-kemas rotan sebesar satu inci, sepanjang tiga kaki. Kalau dibalun kepada siapa-siapa boleh patah tulang! Mukrim yang duduk di sebelah saya hanya diam. Tak nampak reaksi segera daripada Wan. Saya tahu dia gedebe. Ujian sudah datang untuk si gedebe! Razman yang muka bengkeng tu pun nampak tenang saja. Cepat dia turunkan cermin di sebelah Wan kerana dua lelaki bergegas dari Kembara menuju ke situ.

Pintu Kembara dibiar terkangkang. Gaya jalannya macam samseng jalanan. Seorang tubuhnya sasa dan tinggi. Kedua-duanya pakai jeans dan t-shirt sendat. Yang berbadan sederhana mendekati pintu sebelah Wan dan menyapa. "Kami polis! Encik nak ke mana pagi-pagi buta ni?"

Wan tidak segera menjawab. Razman lebih cepat memotong, dan menerangkan serba-serbi. Dia petah bicara. Pandai dia buat ayat.

Rupa-rupanya berlaku kekeliruan. Ada penduduk yang telefon ke balai, beritau ada penyamun merayau-rayau dengan sebuah teksi. Menyuluh dan mencari-cari rumah yang bisa dicerobohi.

Ugh, silap kami jugak. Tak pasang lampu kelip-kelap di atas bumbung teksi macam kereta peronda polis. Kami ingat itu perkara enteng. Hal lekeh saja. Yang penting buat rondaan ikut jadual. Ugh, nak buat baik, kaedah tak betul!

Sebelum beredar, polis muda yang berpakaian rugged itu berseloroh, "Nampaknya, orang muda-muda belaka yang meronda! Bagus, kuat semangat nih!"

Kami pakat ketawa. Kami tahu dia mengusik. Benar sangat usikannya itu. Rata-rata kami berempat ini sudah melepasi pertengahan usia empat puluh lima. Razman mungkin dah cecah awal lima puluh. Yang paling muda Mukrim - awal empat puluh!

Kalaulah polis itu main kaut saja, terus tangkap tanpa periksa, agak-agak saya beginilah kira-kira tajuk sensasi dada depan tabloid:

'EMPAT PENYAMUN VETERAN DICEKUP SEBELUM SAHUR!'


Memang haru-biru akan berlaku. Di pagi buta itu kami berempat tak bawak dompet. Jadinya, kad pengenalan pun tak ada. Kalau polis muda itu periksa betul-betul ikut 'buku polis' memang sah ke balai. Kerana percayakan ayat-ayat Razman, dan mungkin nampak muka kamu tak macam penyangak, sebab itu bisa terlepas.

Rondaan kami selepas itu (kali ketiga dan keempat), ikut peraturan ditetap AJK Kampung - mesti ambil beacon dan lampu kelip-kelap di surau. Mesti bubuh di atas bumbung kereta. Tak mahu disergah dan ditahan polis lagi. Khuatir kali ini benar-benar dibawak ke balai dan bersahur di dalam lokap! Barulah jadi sensasi sungguh berita muka depan akhbar tabloid.

Permisi. Bisa ketemu lagi.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan