Karya

Karya

Sabtu, 5 Mac 2011

mari fikir tentang Laksamana Tun Tuah

salam perayau dan kenalan di alam siber. sudah lama tidak ketemu. memang disengajakan kerna saya tenggelam, menyelam dan berenang dalam alam pengkaryaan. tidak bisa untuk memberikan waktu menulis dalam blog ini. syukur kepada Yang Maha Esa, kini dapat kembali di laman ini walaupun sudah terlajak masuk bulan ketiga tahun baru 2011. kali ini, saya tidak akan pos catatan kembara ketika di UK kerana keseluruhan karya setebal dua ratus dua puluh dua halaman itu sudah saya jilid dan kemukakan kepada sebuah penerbit yang terkemuka di Tanah Bonda. sementara sang editor sedang menimbang-tara kelayakan kumpulan artikel semasa saya mastautin di UK terbit di bawah panji-panji syarikat berkenaan, afdhal sekali saya henti mengepos bahagian-bahagian seterusnya ke laman ini.
Untuk kali ini, kerana pada sub-kepala laman ini dipetik gurindamnya daripada Sejarah Melayu, molek benar kita bicara hal yang ada sangkut-paut dengan karya agung dan klasik buah tangan Tun Sri Lanang itu. kita akan bicara ringkas sahaja:tentang panglima tersohor Laksamana Hang Tuah. saya fikir ramai yang menonton filem Puteri Gunung Ledang (kalau ikut tokguru skrip itu sebenarnya filem Hang Tuah!). Mari kita ingat kembali kepada peristiwa Hang Tuah membuang dirinya dari Istana Melaka kerana kehampaan cinta yang tidak terjadi dan kegilaannya kepada seorang wanita - Puteri Gunung Ledang itulah! Satu adegan menarik dalam filem itu menunjukkan sang laksamana berguling dalam lumpur dan selut (menjadi sasau) kerana panah asmaranya patah!
Barangkali itu tafsiran seorang penulis skrip dan pengarah sebuah filem. jika ditelaah Sejarah Melayu (dua tiga kali saya khatam membacanya ketika studi di tingkatan enam di Sekolah Alam Shah, Cheras) tidaklah saya jumpai di mana-mana jua tentang gambaran Laksamana Tuah menggilai mana-mana wanita jua. Malahan digambarkan pula betapa sang wanitalah yang tergila-gilakan Tun Tuah. Sewaktu rombongan Sultan Melaka ke Majapahit, hebat Tun Tuah sangat menyerlah. Hatta digambarkan betapa ketika Sang Laksamana berjalan-jalan di pinggir rumah rakyat jelata, isteri yang dalam pangkuan suami pun bangkit menerpa ke jendela tidak tahan gelora di dada mahu melihat kelibat Laksamana!
tidaklah kita mahu memanjang-manjangkan hal ini kerana mungkin penulis skrip dan pengarah filem PGL tidak mentelaah dan meneliti sungguh-sungguh kitab Sejarah Melayu. mungkin dirujuk kitab epik Hikayat Hang Tuah semata-mata. Cuma, saya tidak menjumpai pula adegan panglima terbilang itu gila bercinta dengan Puteri Gunung Ledang! sumpah tidak terbaca saya apa-apa ayat tentang itu!
Saya ada menyimpan VCD Hang Tuah lakonan Tan Sri P Ramlee. Daripada gambaran yang saya fahami dipaparkan di dalam Hikayat Hang Tuah, filem itulah yang berjaya memberikan tafsiran yang lebih adil terhadap perwatakan Laksamana yang terkemuka itu. Gagah, berani, kacak, bijak, dan budiman!
Orait. permisi dulu. lama tak bersilat bicara dalam laman ini, kita berhenti lenguh takat ini dulu. permisi.