Karya

Karya

Selasa, 31 Mei 2011

ALAHAI, RUPA-RUPANYA SAYA SERUPA DENGAN PM!


Salam kenalan di alam siber. Lama amat tidak ketemu. Ketat bangat jadual saya dengan pengkaryaan. Masih ada janji yang belum dilangsaikan dengan sang editor. Yang tertunggak lama, dan yang baru diikat janji. Sukar amat jadinya. Menuturkan janji mudah saja, mahu menunaikannya baru rasa bebanan di atas bahu.
Tiga hari selepas Ahad yang terkini (22 Mei) baru terasa mahu membaca halaman belakang akhbar. Sejak Ahad itu, terasa malu sangat. Kerana saya tiba-tiba jadi gatal dan menyombong tukar foto profile facebook. Sebelumnya kulit novel Waris Kalung Naga. Terkini, masih ada imej novel itu, cuma ditambah gambar saya jadi pelaku pegang novel dengan tangan tunjuk bagus, pakai jersi Syaitan Merah. Sebenarnya, gambar dalam aksi menyombong dengan jersi Manchester United itu telah dihantar kepada Mizi (ipar saya yang minat Liverpool). Ah, tentu seronok amat mengusik dan mengejek kerana Syaitan Merah sudah dapat 19 gelaran juara BPL, pintas pasukan Anfield yang pegang gelaran juara total 18. Kerana nak mengejek Mizi, sewaktu ke Padang Besar, terbelilah jersi Syaitan Merah itu. Ketika membelinya, anak saudara saya (Ahnaf)memilih jersi Barcelona dan track suit Sepanyol. Apabila selesai final Liga Juara-Juara Eropah, maka Ahnaf tulis dalam fb betapa bertuah dia membeli jersi Barcelona! Isteri tersayang pula hantar komen dengan kata-kata bermaksud 'jersi MU yang saya beli udah disimpan dalam almari'. Ahnaf membalas kira-kira begini: 'sedekah aje lebih baik jersi tu!'
Lepas final Liga Juara-Juara itu, saya tidak menghubungi Mizi lagi. Sudah malas mahu bercakap hal bola (termalu sebenarnya)! Inilah agaknya orang tua-tua kata: Terlajak perahu boleh undur, terlajak kata jadi binasa!
Cuma rasa terubat juga luka dan duka, apabila anak yang sulung (peminat Barcelona dan Arsenal!) tunjuk muka depan Berita Harian. Gambar PM kita menonton final Liga Juara-Juara dengan pembesar dan rakyat, memakai jersi Manchester United! Alahai, bertuah juga rupa-rupanya saya ini. Ada juga keserupaan dengan seorang Negarawan - PM yang kita sayangi. Permisi. Bisa ketemu lagi. Wassalam