(nota awal: ini cerita lama, waktu dekat-dekat
nak tamat tahun sudah. Selepas lima bulan kami kembali menetap di Tanah Tumpah
Darah, Darul Iman)
“Sedap Imam
baca tadi. Suara. Lagunya. Macam Imam MasjidilHaram. Nak maghi pulok masjid
ni!”
Lateefa
berhasrat macam berdoa, sebaik saja menutup pintu kereta.
Kawe
tidak respon. Tidak perlu. Hanya terasa sungguh puas hati. Pagi Jumaat itu
dapat membawa Lateefa solat di masjid berkenaan,
Hajatnya mahu solat Subuh dikepalai
imam yang baca surah as-sajdah tercapai.
Lima bulan kembali ke Tanah Kelahiran,
barulah ketemu imam yang berkemampuan sebegitu. Barangkali bukan tidak ada yang
mampu, Cuma ada imam yang tidak praktis baca as-Sajdah di Subuh Jumaat. Ada
pula yang berpendapat itu bukan wajib. Tak masuk dalam syarat sah solat!
Ketika
santai sambil hirup teh dan mamah ropal (kuih tradisional Ganu, rupa macam
murtabak mini, tapi jauh terlebih sedapnya!) di serambi, kami sambung
sembang-sembang. Tiada apa-apaan mahu digaduhkan. Jumaat hari cuti.
“Bukan
semua imam boleh baca as-Sajdah molek macam tu. Bukan semua imam tu hafiz. Ayat
tu panjang. Kalau bukan hafiz, imam kenalah biasa dah baca ayat tu.Calang-calang
imam tak mampu. Silap congak, buat berani nak baca jugak, lepas sujud sajdah
tu, bangun balik dah tak ingat nak sambung kat mana. Blank! Gaduh la jawabnya
jemaah!”
Lateefa
tunggu sambungan. Kawe boleh baca isyarat gerak badannya. Udah 25 tahun bersama
membina kota kasih. Kita tahu banyak perkara tentang dia, dan Lateefa tahu
banyak rahsia kita.
Lepas
hirup teh sampai tinggal suku, dan Lateefa jerungau sikit untuk menambah, kawe kecek
semula.
“Imam
tadi tu muda lagi. Manis wajahnya. Cerah. Sedap tengok. Mukanya macam terpancar nur. ”
Lateefa
ambil ropal separuh. Macam tak dengar pulak lagaknya.
“Dengar
cerita, kerja pensyarah. Bujangan lagi.”
Lateefa kunyah
ropal lambat-lambat.
“Kalau
dapat jadi menantu kita...”
Tidak
upaya dihabiskan. Ada salam di luar pagar. Pak Jaafar sedang berdiri di situ
sambil mengangkat setin cat.
Ugh,
baru teringat. Ada janji dengannya. Dua-dua dinding tempat mesin basuh perlu
dicat semula. Dek-dek mahu warna yang lain. Warna biru kundang lembut.
Kawe
ikut saja. Citarasa gadis yang udah masuk tahun tiga di kolej. Major Sastera
Inggeris. Minat seghoti hiasan dalaman.
@@@@@@@@
Malamnya
tiada bersambung kisah imam muda yang jatuh berkenan kita mahu jadikannya menantu.
Ugh, omongan saja. Mana bisa dipikat orang muda yang hebat begitu. Belum usia
30-an udah jadi imam dan khatib jugak. Dengar cerita pernah merantau ke Riau,
ngaji dalam pengajian Islam di UNIN.
Ini
orang muda Pencinta Masjid! Jauh bangat dengan kita!
Ugh, teringat
kawe kepada seorang lagi pemuda professional yang jiwanya mesra amat dengan
rumah Allah.
Kawe turunkan catatan lama tentang pemuda itu, yang ada
sabitan dengan kenang-kenangan kawe ketika menunaikan ibadah Haji.
@@@@@@@@@@
Tahun 2010.
Sampai
di KLIA, kami dimaklumkan penerbangan ke Madinah tertangguh tanpa dapat
dipastikan waktunya. Sudah menjelma dugaan yang pertama. Kekusutan mulai terbit
di wajah, dan gerak tubuh tidak upaya menudunginya. Seramai 450 bakal jemaah haji terpaksa menunggu tanpa
diberikan batas waktu akan terlerai.
Setengah
jam sebelum Subuh, berlaku kesesakan di tandas. Ketika berbaris menunggu
giliran, ada yang mulai bersungut. Tidak tahan menunggu lama kerana yang sudah
ada di dalam bilik-bilik kecil itu pula, semacam tidak punyai ehsan kepada
orang lain - curahan air kedengarannya macam bermandi-manda pula!
Selepas
solat Subuh, belum ternampak kembang kelopak harapan rombongan kami akan segera
dipanggil ke dewan perlepasan. Lateefa seperti
biasa, secara hafalan membaca al-Mathuraat.
Tiada ternampak sebarang kesedihan atau bintik-bintik kegusaran di wajahnya.
Berlainan
sekali dengan saya, keresahan membenih galak. Teringat akan kerja yang sudah
dilepaskan, dan tiada ketentuan akan beroleh kedudukan yang serupa apabila pula
dari Tanah Suci. Datang bergulung perlahan ombak kecil, bayang-bayangan tahap ketahanan
menghadapi dugaan yang bakal menimpa ketika musim ibadah yang panjang. Datang
menghimpit juga imbasan kenang-kenangan bersama arwah ayah dan ibu, yang kuat sekali
mengocak kolah ingatan.
Tidak
seperti waktu berangkat menunaikan umrah dahulu, kali ini hati saya amat mudah
tersentuh. Beberapa kali ketika solat pun, terutama minggu akhir sebelum
terbang sebagai Dhuyuf al-Rahman, air
mata mudah amat tertumpah.
Ketika
rakaat kedua solat Subuh Jumaat terakhir di surau, datang menangkap sebak di
dada, maka bahu pun bergoncang, dan linangan air mati tiada tertahan.
Barangkali sedar dan faham akan keadaan saya itu, selesai solat seorang jemaah
yang bersebelahan menepuk-nepuk bahu saya.
“Banyak
bersabar. Usah sedih. Nikmat dan rahmat-Nya menunggu di sana.”
Ketika
bersalaman saya tidak memandang pun wajahnya. Suara itu saya kenal benar. Tapi
tidak termampu saya memandang dia. Sebak di dada mengikat diri. Pagar emosi
amat rapuh. Boleh terhingguk-hingguk jadinya jika terpecah dan roboh pagar itu.
Ugh, malu amat nantinya kepada jemaah yang lain!
@@@@@@@@@@
Selepas
selesai zikir al-Maathurat, Lateefa
menyambung pula dengan surah ar-Rahman.
Kerana
tidak mahu mengganggu konsentrasinya, saya ambil telefon dan memeriksa
kalau-kalau ada mesej terbaru.
Ada lima
enam mesej daripada waris-warah dan kawan-kawan yang intipatinya: mengucapkan
kesejahteraan ke atas kami berdua; mohon berkirim salam kepada Rasulullah; dan
minta didoakan kemurahan rezeki serta keharmonian hidup mereka. Selain itu, ada
yang secara khusus mohon keredhaan-Nya supaya:-
·
segera mendapat jodoh;
·
mendapat anak kerana sudah lama kahwin;
·
lulus cemerlang dalam peperiksaan SPM; dan
·
peroleh panggilan Ilahi menjadi tetamu-Nya jua.
Sedang
saya mengetik butang pad untuk membalas beberapa mesej berkenaan, masuk satu
lagi sms. Rupa-rupanya daripada Jenol – waris yang sedang studi di UTP, Tronoh.
Menarik sungguh kirimannya.
‘Bila hati berjuang kerana Allah,
dugaan itu tempat bersinggah,
keperitan ditelan sebagai juadah,
kejayaan dianggap satu mimpi indah.
Andai ditakdirkan rebah, hati tetap redha
kerana Allah.
Selamat menunaikan haji dan mujahadah menempuh
tiap onak dan lurah, tiap agendaNya punya hikmah, agar hati diisi indahnya
kasih Allah.’
Wow,
hebat sekali!
Pandai
pula Jenol tulis gurindam! Bakal jurutera ini saya gelar dia ‘Pemuda Pencinta
Masjid’ kerana sejak zaman remajanya memang itu suatu kebiasaan baginya - ke
surau, masjid, usrah dan membaca al-Quran memang ada peruntukan waktunya.
Malahan jika dia bertandang ke rumah saya atas alasan apa jua, mesti ada
al-quran terjemahan saiz kecil dalam poket kemejanya.
Ketika
Umrah bersama kami pada tahun 2009, Masjid Nabawi dan Masjidilharam seolah-olah
sudah menjadi ‘rumah pertama’ baginya. Pulang ke bilik hotel pun jarang-jarang.
Dapat pula dia menunaikan pesannya ibunya supaya umrah sebanyak tujuh
kali.
Di
hujung gurindamnya itu, dicatat pula terjemahan sepotong ayat daripada surah ali-Imraan (139).
“Janganlah kamu bersikap
lemah, dan janganlah pula (kamu) bersedih hati, padahal kamulah orang-orang
yang paling tinggi (darjatnya), jika kamu orang-orang yang beriman.”
_________________
permisi. dengan izin-Nya kita bisa ketemu lagi.