Kawe ini anak orang sungai. Lahir di tebing Sungai
Terengganu dalam sebuah rumah kayu, tiangnya terdiri tinggi. Itu kaedah orang
lama menghadapi banjir. Selain itu senang nak bina ghok ayam dan pagar itik di
bawah rumah. Kalau banjir, ketika anak tangga tinggal tiga atau empat saja
lagi, maka jawabnya ayam pun naik sama di atas lambor /serambi. Itik berdayung
selamba entah lesap entah ke mana.
Di kampung kawe ada sebuah jeti. Jika dijenguk dari jendela
dapur akan nampak jelas bangunnya berhampiran pohon rengas yang rendang, yang batangnya
macam balak hampir dua pemeluk lelaki dewasa. Akarnya yang berserabai ke dalam
air, tempat budak-budak tangguk udang.
Jeti kayu yang tangganya simen dibina oleh ayah kawe. Jika
air pasang, budak-budak akan main terjun dari atas pagar. Tangganya pula bukan
sekadar jadi pemudah naik perahu, bot atau rakit, ia dijadikan tempat untuk
membasuh pakaian. Tempat terbina jeti ini di panggil pengkalan.
Di kiri kanan jeti itu biasanya tertambat bot, perahu jalur
dan perahu kotak. Kadang-kadang rakit singgah bawak barangan orang Ulu – biasanya
jagung dan pisang. Jika dah dipunggah semua barangan, rakit buluh itu akan jadi
tempat budak-budak lelaki main panjat, bercokoh dan terjun ke sungai.
Bot Nambang yang ulang-alik dari Ulu ke Kuala Terengganu,
akan singgah di jeti itu untuk mengambil penumpang atau barangan niaga.
Pasar Payang atau Kedai Payang yang tersohor - itu stesen yang
utama dan terakhir.
Ikon Darul Iman yang sudah lama terkenal.
Ini warisan Ganu Kiter. Pasar Payang yang menjadi tempat
persinggahan bot-bot barangan niaga yang
datang dari Ulu Sungai Terengganu.
Hakikatnya, urusan niaga di muara sungai yang terbina Pasar Payang
itu adalah suatu warisan kegiatan ekonomi , yang turut menggambarkan
sosio-budaya masyarakat tempatan.
Kalau rajin telaah kitab sejarah, akan terjumpa catatan tentang
pedagang-pedagang dari China dan Peranchis berlabuh di Muara Sungai Terengganu
untuk mendapatkan bekalan air bersih, ikan, ayam, dan buah-buahan. Bukan itu
sahaja, kerbau dan kereta lembu pun dimuat naik ke atas kapal.
Barangan yang didambakan itu, datang dari kampung-kampung
pinggir sungai Terengganu. Tentu termasuk jugalah kampung kawe – Pulau Musang!
Minggu lepas, kawe berkesempatan kecek-kecek dengan seorang
pegawai kanan yang luas pengalaman, jauh pandangan dan berpengaruh.
Dalam beberapa hal yang dibualkan, timbul tentang slogan yang
sama lama umurnya dengan Taman Tamadun Islam.
“Bandaraya Warisan Pesisir Air”.
Maka rasa terlontarlah cabaran kepada kawe untuk memberikan
tafsirannya.
Seminggu jugak kawe duk mikir lagu mana nak beri takrifan yang
sudah lama menjadi slogan di papan-papan tanda kerajaan.
Rasa-rasa kawe, tafsiran itu boleh dibuat dari banyak sudut.
Dikumpulkan semuanya, digaul dan ‘biar kamil’ dengan molek,
maka akan bolehlah diberikan suatu rumusan untuk mentakrif slogan “Bandaraya Warisan
Pesisir Air” itu.
Kawe fikir, fungsi dan kedudukan Kedai Payang itu menjadi
satu aspek yang boleh dijadikan modal menghuraikan slogan yang berkenaan.
Ia adalah warisan sebuah kota yang kini menjadi bandaraya.
Duduknya di tebing muara sungai utama yang menjadi nadi kegiatan niaga dan
perdagangan Darul Iman.
Tafsiran umum yang pertama boleh diaturkan begini:-
Warisan kegiatan ekonomi yang menggunakan jalan air sebagai
pengangkutan barangan bahan mentah.
Kuala
sungai utama menjadi tempat persinggahan, pertemuan, dan urusniaga.
Kerana itu, atas sebab lokasi dan sejarah, maka Pasar Payang
kenalah dikembalikan kegemilangannya dengan imej yang sesuai. Warisan yang
hidup pragmatik dalam dunia kontemporari.
Satu daripada caranya (yang mungkin nampak kecik),
dihidupkan kembali servis bot penambang yang membawa barang dagangan. Mungkin
buat permulaan tidak perlu dimulakan dengan servis dari Ulu.
Mungkin dalam skel
kecil dimulakan dari Kampung Pulau Manis atau Pulau Musang.
Kedua-dua tempat ini ada sejarah penting tersendiri.
Kampung
yang pertama itu merupakan tempat tinggal ulama terkenal Tok Ku Pulau Manis
(Syeikh Abdul Malik).
Manakala kampung kawe itu pula, menjadi tempat berlindung
waris-warah Tok Guru Hj Abdul Rahman Limbong yang tersohor kerana disabitkan
dengan Pemberontakan Tani tahun 1928.
Barangan yang boleh diniagakan melalui penghidupan kembali servis
bot penambang itu ialah duku dan ikan tilapia sangkar. Gred duku gebu dan tilapia
segar yang datang dari Pulau Musang dan Pulau Manis memang nombor wahid.
Jadinya, kalaulah diberikan nafas baru aktiviti angkut duku dan
ikan sungai dari kedua-dua kampung itu menggunakan bot yang akhirnya singgah di
Pasar Payang, alangkah klasiknya!
Inilah sebahagian kecil warisan yang ada kena-mengena dengan
Pasar Payang dan kegiatan ekonomi masyarakat tempatan dan pedagang antarbangsa
di muara Sungai Terengganu.
Jika ada pelancong yang punyai hasrat makan buah duku di
kebun atau nak cuba panjat pohonnya, jangan sekjali-kali dibawa debgan kereta
atau van. Bawak naik bot penambang dari Jeti Kedai Payang singgah di Pulau
Musang atau Pulau Manis!
Permisi. Dengan izin-Nya kita bisa ketemu lagi.