Karya

Karya

Rabu, 7 Julai 2010

TIGA PERISTIWA, SAYA DENGAR UCAPAN DATO' SERI NAJIB

Kemarin (6 Julai 2010) saya di Shah Alam, menghadiri upacara perasmian akhbar SINAR terbitan Kumpulan Karangkraf. Waktu bujangan, ketika masih panas-panas keluar sebagai graduan hasilan kampus di Lembah Pantai, saya pernah bekerja di Karya Bistari, syarikat di bawah bumbung Karangkraf. Waktu itu, pejabat induknya di Taman Tun Dr Ismail. Kali ini saya hadir sebagai tetamu (dijemput kerana kini saya berkarya di bawah panji-panji BUKU PRIMA – anak syarikat Krangkraf). Ketika berhabis masa menunggu ketibaan Perdana Menteri, saya sempat merayau di khemah khas tetamu dan media. Sempat juga ketemu penulis novel misteri yang prolifik dan tersohor Ramlee Awang Mursyid – 17 novelnya terbit di bawah Alaf21. Dia di situ kerana akan menerima penghargaan khas daripada Krangkraf, yang akan disampaikan oleh PM. Agak lama saya bersembang dengannya. Murah hatinya kerana memberikan beberapa petua kepada saya dalam berkarya. Tidak bolehlah disebarkan apa rahsianya, kerana saya peroleh secara peribadi, bukan dalam mana-mana bengkel. Lagipun, ditakdirkan-Nya, hanya saya berdua yang berdiri sambil berbual sambil mamah kacang dan maruku, di birai meja bulat kecil kakinya tinggi tiga kaki. Kami terpisah sewaktu duduk di khemah utama, kerana tetamu macam saya (penulis tidak ternama) duduknya di kerusi plastik kelabu, manakala Ramlee di kerusi lebih empuk di barisan paling hadapan khas untuk penerima anugerah. Pada petang kemarin, PM menyampaikan ucapan dengan penuh semangat. Pandai mengatur jalan pemikirannya, dan sesekali diungkap jenaka yang mencuit intelektual. Malahan wanita di sebelah saya yang merungut rimas dan panas, terkekeh-kekeh ketika PM berlucu. Ucapan PM berpulur kepada ‘keperluan menghasilkan karya yang membijaksanakan akal budi’. Ini merupakan peristiwa ketiga saya menghadiri majlis Dato’ Seri Najib menjadi tetamu kehormat.

Peristiwa pertama ialah ketika saya masih mengaji dalam tingkatan enam di Sekolah Alam Shah, Cheras. Itu, dua puluh tahun sebelum alaf baru! Waktu itu, kami menghadiri perhimpunan khas di dewan besar SAS, dan tetamu kehormat ialah Najib, pemuda anak bangsawan (belum punyai apa-apa gelaran) yang baru pulang ke tanahair selepas tamat pengajian di UK. Saya tidak ingat lagi apa intipati ucapan beliau. Yang saya ingat, ucapannya penuh bersemangat jua. Cuma pentas dewan besar SAS itu, saya injak juga dua kali (selepas setahun anak bangsawan itu berkunjung ke sekolah kami). Pertama ketika menerima hadiah tempat pertama pertandingan tulis sajak untuk majalah sekolah. Judulnya kekal dalam ingatan: “SEANDAINYA AKU BERKEPAK DAN BERIDIP”. Kali kedua ketika lepas minggu orientasi di kampus UM – dapat hadiah pencapain terbaik kertas Bahasa Melayu dan Sejarah peperiksaan STP. Inilah suatu ironi kehidupan. Waktu di tingkatan enam rendah, saya bosan amat dengan subjek Sejarah. Tidak pernah mendapat markah yang bagus. Malahan pernah sekali disergah Cikgu Yunus kerana saya tertidur sepanjang dia mengajar sejarah! Malu amat dibuatnya kerana berderai ketawa seluruh kelas kerana saya disindir pula oleh guru sejarah itu!

Peristiwa kedua, waktu masih bujangan menyewa ramai-ramai sebuah banglo dua tingkat di Jalan Enggang Selatan, Keramat (tidak jauh dari bengkel bas MARA). Waktu itu iklim politik tanahair menggelegak dengan ISU PERIBUMI. Ketika pertubuhan-pertubuhan Cina mengadakan perjumpaan di sebuah kuil, ada pihak yang menganjurkan Perhimpunan Pemuda Melayu di stadium TPCA, Kampung Baru. Seingat saya, semua penghuni lantai bawah (Johari, Lukman, Termizi, Tuan Rohim, dan Harleem) menaiki bas ke stadium (baru jadi graduan, tidak mampu beli kereta atau motosikal). Penghuni lantai atas (Yasin, Aziz dan Naseh) tidak menyertai. Saya tidak pula tahu kenapa. Dengan api yang menyala dalam diri dan membakar rasional di kepala, dengan iringan paluan gendang (pasukan dari ITM) kami bertakbir, menyanyi lagu-lagu patriotik, bertempik melaungkan kata-kata berani bersama puluhan ribu pemuda-pemudi Melayu (dari IPTA, pertubuhan politik dan NGO). Beberapa pemimpin muda ketika itu, berucap dengan penuh semangat. Tampilnya jantan sekali. Seolah-olah mahu berpencak silat di atas pentas, dan nampak tidak sabar-sabar mahu berlari ke luar stadium, terus mengamuk di dada kotaraya! Sorakan, tempikan, takbir dan nyanyian tidak berhenti walaupun hujan sudah turun dan guruh mula berdentum. Saya masih ingat, yang berucap berapi-api hingga serak suaranya, ialah Ketua Pemuda UMNO, Dato Seri Najib. Ketika tamat perhimpunan, kami tidak dapat menaiki bas. Penuh belaka. Manakala teksi pula enggan berhenti. Maka berjalan kakilah kami berlima dari Stadium TPCA hingga ke Jalan Enggang Selatan. Sepanjang jalan, kami lihat askar lengkap bersenjata begitu waspada berkawal di celah bangunan. Rupa-rupanya, esok harinya kami dapat tahu, sudah pecah cerita seluruh negara, ada darurat di Kampung Baru! Kerana Perhimpunan Pemuda Melayu di Stadium TPCA itu berkebetulan pula jadinya dengan amukan Prebet Adam di Jalan Chow Kit. Mudahnya khabar angin dipercayai seperti yang betul tanpa diketahui kejadian asal dan benar, padahal perhimpunan di Stadium TPCA dan amukan di Jalan Chow Kit tiada apa-apa kaitan jua.

Akhirul kalam: Johari, Lukman dan Termizi kini pegawai kanan LHDN. Tuan Rohim, udah jawat Pengarah Belia Negeri. Aziz dan Yasin pegawai kanan (PTD). Naseh baru naik pangkat jadi pengetua. Harleem? Sedang bicara dengan anda di alam siber!

Tiada ulasan:

Catat Ulasan