Karya

Karya

Selasa, 12 Jun 2012

MAHATHIR JADI DUTA SONGKOK!

7 JUN 2012.

Sudah lama tak berkunjung ke Alor Setar. Hampir lima belas tahun. Kembali menjengah di sini, rasa-rasa macam balik kampung saja.

Mastautin di Kedah selama lima tahun, mesra persekitaran dan manusianya memang menambat hati. Budiman orang Kedah serupa orang Ganu jugak! Anak sulung kami (Syai) dilahirkan di sini, di sebuah pusat pakar (nama lamanya Pusat Pakar Utara). Waktu itu saya duk mengajar di sebuah kampus IPTA, tersergam indah megah di Lembah Sintok. Yang Tersayang pula bertugas di Hospital Alor Setar (kemudian pindah ke Pusat Kesihatan Besar Jitra, akhirnya minta ditukar khidmat di Changlun - lebih dekat dengan Sintok).

Syai sudah boleh diharap memandu sorang-orang dari Bandar Baru Bangi ke Alor Setar. Ugh, sudah cecah usia 21. Periang, anggun dan dinamik macam ibunya juga. Lalu, sepanjang lapan jam perjalanan, langsung tak diberi saya menyentuh stering. Maka melayan mata sajalah, berdengkur di kusyen belakang ditemani Ney-ney (anak bongsu). Sesekali bangun kunyah kacang, mamah buah dan hirup teh hijau.

Kami tidak lama di Alor Setar. Singgah menginap satu malam saja. Matlamat mahu ke Kuala Perlis. Menyertai konvoi tiga buah kereta (13 penumpang) meraikan majlis pernikahan Ahnaf Jamal. Pemuda kacak ini, penyanyi utama kumpulan nasyid Al-Jebra, sudah kerja sebagai arkitek. Terjalin jodoh dengan Atiqah (dengar gosip ada kena waris dengan Shahir Juara AF8) - graduan bidang arkitek juga gadis manis dari Kuala Perlis ni.

Dua sebab kami singgah di Alor Setar.
Pertama: Nak menziarah Pak Mat dan Pak Manaf. Dua insan inilah yang alunkan iqamah ketika Syai baru dilahirkan.
Kedua: Nak pi Pekan Rabu, nooo!

Majoriti anggota konvoi tak pernah singgah di Pekan Rabu yang tersohor ini. Jadi ada ghairah yang tinggilah untuk ke situ.

Kerana tempat penginapan tak jauh, maka berjalan ramai-ramai kami ke 'pasaraya' dipenuhi kedai dan gerai milik peniaga-peniaga Melayu.

Perubahan paling besar? Nak pi ke bangunan lama ni, kena naik eskalator lintas jalan nooo!

Kerana sudah set hajat, tidaklah saya berlama-lama di gerai-gerai lain. Hanya beli sebungkus kuih siput dan jeruk salak. Sambil memamah jeruk salak yang agak rangup, turun naik bersilih dua paras juga mencari barangan yang terhajat di hati. Tak lama, dan tak lelah pun. Jumpa jugak capal kulit yang nampak bagus buatannya. Ketika nak bayar barulah terperasan. Itu pun Syai yang beritau: Ada Tun Mahathir dalam kedai itu!

Err...sebenarnya foto berbingkai saiz agak besar Negarawan hebat itu tergantung di dalam kedai. Sedang bergaya mencuba songkok baru!

Ikut taukenya, tiap tahun Tun akan ke situ membeli songkok.

Selepas melangkah keluar, barulah terperasan, ada papan iklan digantung di atas pintu kedai. Ralit duk cari capal, terlepas pandang yang bergantungan. Di papan itu tertera empat gambar Tun Mahathir di suatu Perhimpunan Agung. Segak memakai songkok dikatakan buatan tukang handal dari kedai itulah.

Di papan iklan yang sama dicetak testimoni bekas PM:
"Sesungguhnya songkok-songkok itu adalah yang terbaik daripada Encik Sardi, dari segi potongan dan kualitinya. Saya memakai songkok itu ketika menghadiri Majlis Minum Teh Sempena Keputeraan Yang diPertuan Agong."

Di sebelah kiri, rapat dengan testimoni tersebut, dicetak logo STYLE TUN. SONGKOK MALAYSIA.

Alahai, nampaknya udah jadi 'Duta Songkok' pula Che Det nooo!

Permisi. Bisa ketemu lagi.

3 ulasan:

  1. Awat kami tak tau Che Det kita rupanya duta noo

    BalasPadam
  2. pasai 'Naming' doh lame dok pi Pekan Rabu nooo :-)

    BalasPadam
  3. duta songkok yang kata 'melayu hapraaak' :(

    -aku anonymous-

    BalasPadam