Karya

Karya

Jumaat, 30 Januari 2015

bencana banjir di Kelantan (7): SELAMAT BERTUGAS CIKGU-CIKGU BARU!

Bagaimana agaknya jejaka dan gadis yang mendapat tahu diarahkan melaporkan diri di negeri yang jauh dari tanah tumpahnya? Dalam masa dua hari, pemuda-pemudi yang baru dua bulan habis ngaji di pusat latihan guru IPGM, mendapat tahu daripada berita di laman sesawang betapa mereka dimestikan hadir di Pejabat Pendidikan Daerah yang berkenaan dalam tempoh 48 jam.

Apa reaksi jejaka dan gadis yang masih belum sembuh luka emosi dan cacat kekal harta benda famili akibat dilanda bencana di Kelantan?

Demi tugas dan kerana mereka itu sudah dilatih sebaik-baiknya di IPGM, bergegaslah tanpa rungutan.

Ada yang menaiki bas ke Selatan, dan banyak bangat yang terbang ke Kuching.

Itu dilakukan patuh sekali dengan bajet dalam poket tak sampai lima ratus ringgit.

Harap-harap lagi tiga puluh hari masuklah gaji yang pertama di dalam akaun BSN!

Ini penghargaan dan kasih sayang untuk Syaimaa dan Iskandar serta rakan-rakan perguruan mereka yang bakal bertugas jauh dari kampung ayahanda dan bonda.


        

bencana banjir di Kelantan (6): DIA GURU PENJAGA KUBU

Ini puisi merupakan penghargaan kawe kepada sahabat-sahabat yang bertugas sebagai guru di daerah-daerah yang terlibat dengan bencana banjir di Kelantan, Pahang dan Terengganu pada bulan Disember 2014.

Cikgu Ahmad Yaakob di Machang, Cikgu Mat Musa di Chenor, dan Cikgu Idris Bidin di Kemaman.

Demo hebat-hebat belaka. Tidak jemu mendidik anak bangsa. Tidak terbang ke luar negeri bersantai sama famili atau menyembunyikan diri leka bercuti di kampung laman sendiri ketika sekolah tenggelam, dan sewaktu murid, guru serta kakitangan yang lain berpenat lelah membersihkan kelas, bilik guru, tandas, kantin dan pejabat.



Selasa, 20 Januari 2015

bencana banjir di Kelantan (5): KEK UNTUK AYAHANDA

Warkah ini kali adalah dedikasi kepada:-
                       1. Seorang sahabat yang hartanya tenggelam dek banjir.
                       2. Seorang kerabat yang menderma banyak benda kepada mangsa yang tak dikenal rupanya.
Kedua-duanya adalah lelaki budiman dan beriman yang lahir dalam bulan yang sama - Januari.



Rabu, 14 Januari 2015

Bencana banjir di Kelantan (4): BANTUAN UNTUK WARIS-WARAH DITIMPA MALAPETAKA.



Kawe mula berkawan dengan ‘orang macam orang Kelantan’ sejak masuk tingkatan satu  di SESMA, Wakaf Tembusu. Mengaji di Sekolah Berasrama Penuh (SBP) itu, bukan sekadar membuka pagar perkenalan dengan budak-budak dari kampung dan daerah lain di Darul Iman, tetapi juga menjalin ikatan persahabatan dengan budak-budak dari sempadan Kelantan dan Terengganu. 

Budak-budak fesyen dan sosio-budaya macam oghe Kelate tapi bukan orang Kelantan! Budak-budak dari pelbagai kampung di daerah Besut.

Itu yang mengajar kawe jadi reti kecek Kelate, dan mudah berkawan dengan oghe Kelate selepas habis sekolah.

Antara yang jadi ‘gu’ (kawan baik) ialah Roseler (Roslan). Gedebe budaknya. Antara ‘kepala ular’ yang tak reti takut siapa-siapa. Senior. Cikgu. Jaga. Termasuk jugak peraturan sekolah!  

Masa nginap sekali dalam satu domitari (kalau tak silap dalam tingkatan dua), pernah jugak kawe ngadu gagah dengan dia. Perihal siapa menang-kalah itu, kita royak waktu lain la deh!

Sewaktu ngaji di kampus Lembah Pantai, mudah serasi kawe dengan pemuda Kelate. Lepas graduasi, kawan baik masa kerja di sebuah kampus di Utara, orang dari Darul Naim jugak. Bahkan kawe pernah kerja di Kubang Kerian ketika pertengahan 90-an. Masa tu, kawe ‘gi maghi’ (berkawan) dengan Pok Weil – seorang guru Bahasa Inggeris, orang Kelantan tulen!

Sewaktu mastautin di UK pun, kawe saing dengan orang Kelate jugak. Dan waktu doh kelik ke Tanah Bonda, yang jadi saing kawe gi kenduri, surau dan ronda (kawalan kejirananan) ialah orang Kelate! Hinggakan ada jiran yang gelar kawe dengan saing tu ‘kembar’. Sebenarnya kembar yang banyak tak serupa. Kerana kerja, hobi, saiz dan rupa beza seghoti.

Kontemporari ini, udah setahun setengah kembali menetap di tanah tumpah darahku Darul Iman, hok saing dengan kawe oghe Kelate jugak.

Barangkali kerana itulah apabila diajak terlibat dengan rakan-rakan yang hulur bantuan kerana malapetaka di Kelate hujung tahun lepas (2014), maka kawe doklah rasa payah. Takdok rasa berat sikit jua untuk sertai konvoi rakan-rakan ke Rantau Panjang dan Kuala Krai.

Oghe Kelate. Kawe doh rasa macam waris-warah demo. Walaupun kawe takdok waris pun di Besut atau di Kelate! 

Worih-waroh daller kepayoher. Kitor lah weih kenor holor  batuwer!

Permisi. Dengan izin-Nya kita bisa ketemu lagi.

Isnin, 12 Januari 2015

bencana banjir di Kelantan (3): HERO-HEROIN YANG GERENTI TAK MASUK AKHBAR!

Kawe jumpa ramai sukarelawan sewaktu ziarah dan bantu di Rantau Panjang dan Kuala Krai. Hok maghi dari negeri berjiran, yang jauh dan dekat memang tak putusan. Hala pergi bertembung dengan banyak kenderaan. Hala balik suasana di jalanraya serupa itu jugak. Malahan waktu balik itu lagi teruk kerana jalanraya sudah sesak. Kenderaan yang banyak masuk-keluar kawasan bencana biasanya hok gagoh macam brand Triton, Hilux serta lori dan bas.

Antara sukarelawan yang kawe temui di tempat bencana ialah guru yang maghi dari kawasan aman. Kawe tengok mereka hulurkan tenaga dan bantuan tidak berkira sedikit pun. Bukan ganjaran wang ringgit yang ditagih. Dalam letih dan lelah itu tiadalah kawe dengar keluhan atau rintihan atau kririkan. Kebajikan yang diberikan nampak ikhlas bangat. Antara mereka itu ialah guru-guru yang datang dari kawasan selamat dan aman. Bukan hanya di sekolah tertentu mereka ringankan tulang. Malahan masuk kampung juga mereka menyinsing lengan!

Ini dedikasi untuk para guru yang jadi sukarelawan budiman.

 
    

Selasa, 6 Januari 2015

Bencana banjir di Kelantan (2): Bulan Pudar, Keris Tersandar

Di sebuah kampung, kawe ketemu seorang lelaki tua. duduk menengung di bendul katanya baru lepas mandi. dia tak risau rumahnya tak ada bekalan air. hakikatnya mana ada paip air! kerana dia selamanya duk karai timba, guna air dari telaga.
Dia duda yang sebatang kara.
Dia royak, masa bencana melanda, rumah kayunya itu, naik air melepasi tangga dan bendul.
Dalam rumah itu pula air tergenang sampai paras lutut. 

"Pokcik bulih batuwer ko?" kawe tanya ketika rakan-rakan yang lain menghulur kampit. Satunya terisi air mineral dan beras lima kilo.yang satu lagi mengandungkan tin sardin, mi segera, biskut, dan bihun kering.

Sambil matanya tertumpu kepada dua kampit yang dibaringkan di atas lambor, pokcik yang kurus itu, yang hanya berpelikat dikilas hingga paras lutut itu royak,
"Tokleh gapor-gapor. Kalu lapor, kawe gi pusat batuwer. Makhe pender-pender hok ada situ. Hok orghe massok situ."


Bencana Banjir di Kelantan (1): Kemanusiaan Tak Boleh Mati!

rakan-rakan siber yang budiman.
yang tertulis kali ini merupakan persepsi hasil ziarah ke Rantau Panjang dengan sahabat-sahabat satu taman.
bawa bantuan serba sedikit setakat mampu dan semuat kenderaan.
ke tempat yang tidak masuk tv dan tidak nampak pun menteri maghi.
paras tenggelam sebahagian kampung-kampungnya dan sengsara penduduknya sukar bangat mahu dinukilkan.