Karya

Karya

Jumaat, 27 April 2012

LAKSAMANA DATO' SERI NAJIB?

Jika ditelaah kitab Sejarah Melayu dan karya epik Hikayat Hang Tuah, jelas tiada takwil lagi, yang pertama menggunakan gelaran 'laksamana' itu tiada lain lagi hanya Pendekar Ulung Tun Tuah jua.

Dalam Sejarah Melayu mencatatkan peristiwa seorang Jawa mengamuk kerana dipersenda-sendakan orang. Akibatnya, ramailah yang mati dicantas dengan golok Sunda. Tiada sesiapa upaya menghadanginya. Akhirnya, tewas dia kepada kependekaran Hang Tuah. Atas sebab itulah tokoh legenda ini dikurniakan oleh sultan gelaran itu.

"Syahdan, maka dipersembahkan orang kepada Sultan Mansor Syah bahwa Jawa itu sudah mati dibunuh oleh Hang Tuah. Maka Sultan Mansor Syah menyuruh memanggil Hang Tuah diberi baginda persalin, serta diletakkan oleh baginda nama Laksamana itu. Maka kekallah Hang Tuah itu dipanggil orang Laksamana." (Sejarah Melayu; cetera ke-14: hlm 86)

Selepas kematiannya, jawatan dan gelaran Laksamana itu dipikul amanahnya oleh Khoja Hasan, menantu Hang Tuah. Kemudian daripadanya (sehingga kejatuhan Melaka di tangan Portugis), yang menjadi Laksamana ialah Hang Nadim - menantu Hang Tuah juga.


Karya epik Hikayat Hang Tuah pula mencatatkan, gelaran Laksamana itu adalah anugerah yang diberikan oleh Ratu Majapahit setelah sang panglima menumpaskan pendekar handalan Taming Sari. Ini merupakan penghargaan tertinggi pemerintah Majapahit itu mengenangkan jasa Hang Tuah menyelamatkan baginda dan Raja Melaka daripada amukan Taming Sari.

Maka titah Ratu Majapahit, "Adapun Kiai Tuah ini kita gelar Laksamana." (Hikayat Hang Tuah: hlm 157)

Iktibar daripada peristiwa yang tercatat dalam kedua-dua karya tersohor itu, gelaran atau jawatan Laksamana itu dianugerahkan oleh Sultan Melaka dan Ratu Majapahit kepada seorang perwira terbilang yang sangat berjasa kepada raja dan negara.

Ini bermakna, yang layak memberikan anugerah itu ialah orang yang paling berkuasa dalam sesebuah negara (dalam konteks ini Melaka dan Majapahit). Itu merupakan adat budaya yang tersulam dalam Hikayat Hang Tuah dan Sejarah Melayu. Tidaklah pula terkarang di mana-mana pun di dalam kedua-dua karya itu, seorang Dato' Bendahara dianugerah pula gelaran Laksamana.

Namun begitu, zaman sudah sangat berubah. Prinsip 'Biar mati anak, jangan mati adat' tidak relevan lagi. Bukan sahaja adat budaya sudah banyak yang terkikis dan dilupakan, hatta pendekar legenda Hang Tuah itu pun dipertikaikan kewujudannya. Padahal itulah simbol kehebatan dunia persilatan Melayu. Jika terbuktilah sahih pendekar unggul itu memang hanya watak rekaan semata-mata, tidak lebih daripada dongengan ciptaan pengarang kraton, maka gelaran dan jawatan Laksamana itu tiada wujudlah sebenarnya!

Permisi. Bisa ketemu lagi.

foto 1: Hikayat Hang Tuah dan kitab Sejarah Melayu.
foto 2: Laksamana Negara. muka depan Berita Harian (Khamis, 26 April 2012).







Selasa, 24 April 2012

alahai Sang Penyu, nampak gaya macam Red Devils!

Salam hormat untuk sahabat-sahabat siber yang dihormati sekalian. Kali kita kecek hal bola. Naik syok pulak tengok senario bola sekarang. Sudah hampir pasti matador-matador dari Real Madrid akan rampas piala kejuaraan daripada Barcelona. Tewas dalam el Classico di Nou Camp di hujung minggu, menutup rekod gemilang Barcelona menjadi juara La Liga tiga tahun berturut-turut. Dalam perlawanan itu, Ronaldo menjadi matador yang sangat berbisa. Messi pula terjepit, gagal menyerlah. Terperangkap dengan kelicikan strategi yang diatur Jose Mourinho.

Selasa depan, Raja EPL dijangka akan muncul selepas pertembungan antara Red Devils dengan Manchester City di Stadium Etihad. Siapa yang menang di kubu kebal 'The Blues' itu, juaralah jadinya. Kalau The Red Devils kalah, duka lara dimalukan 6-1 oleh Manchester City akan tambahlah parahnya. Kalau tengok prestasi semasa, The Blues memang menakutkan. Tambahan pula belum tewas di tempat sendiri musim ini!

Hebat bangat tu, pak! Moga-moga Red Devils bisa menang. Menang tipis satu gol pun dikira sudah sangat memadai. Kurang-kurang malu tertewas 6-1 di Old Trafford dapat ditebus dengan kejayaan menjuarai EPL untuk kali ke-20. Kurang-kurang dapatlah tinggalkan Liverpool jauh-jauh (dari segi total kejuaraan EPL)!

Tapi permainan bola sukar mahu diramal. Ingat Piala Liga Eropah 1999? Siapa sangka gol Bayern Munich akan dibolosi dua kali pada minit-minit? Lantas barisan muda didikan Alex Ferguson muncul juara? Minggu lepas, terlopong mulut nonton Manchester United tersungkur 0-1 di tangan Wigan. Tak tergamak nak tengok siaran ulangan Everton upaya dapat seri empat sama di Old Trafford! Itulah yang seronoknya tengok bola. Dramatik sungguh.

Senario bola domestik dramatik jugak. Cuma yang mendebarkan itu berlaku di luar padang. Mula-mula semarak isu Annuar Musa dihukum gantung dua tahun oleh FAM. Sebabnya, mengkritik prestasi pasukan Harimau secara terbuka. Kedudukannya dalam FAM tidak membenarkan dia berbuat begitu.

Kemudian, pecah kemarahan penyokong Sang Penyu kerana kalah lagi. Tewas kepada Kelab Sime Darby dalam Piala FA, Sabtu baru-baru ni.

Sebelum itu, waktu kena belasah 6-1 di tangan Selangor, tidaklah nampak orang Ganu marah sangat. Mungkin sebab sama macam The Red Devils yang tumpas dengan jumlah serupa di tangan Manchester City.

Tewas, tapi ada kelas kerana punyai rekod sama dengan Manchester United! Lagipun, seingat saya, Terengganu pernah tewas lebih teruk. Lapan kosong di tangan Singapura. Waktu itu, yang jadi ketua jurulatih ialah Abdullah Muhammad.

Saya pernah berbual dengannya tentang kekalahan yang memalukan itu. Jawabnya selamba, "Budak-budak kita tak biasa main di stadium besar macam Kallang! Ketor! Dokleh nak main!"

Sabtu lepas (21 April) pasukan Penyu kalah kepada Sime Darby dengan jaringan nipis 2-1. Tapi agak memalukan. Kalah kepada pasukan berstatus kelab dalam pertandingan Piala FA. Nak beri alasan macam kalah dengan Singapura lapan gol itu, tentulah tak masuk akal. Kerana permainan diadakan tengah-tengah bandar, di stadium lama yang kecil saja. Tidak di stadium besar dan luas di Kompleks Sukan Gong Badak.

Maka nampak gayanya jadi bengang dan bengkaklah kepala dan jiwa penyokong Terengganu.

Zaman saya rajin menonton bola di stadium dulu, bukan luar biasa jadinya jika penyokong Terengganu bergaduh dengan penyokong lawan. Hatta pernah ada kes bas pasukan lawan dibakar di Kuala Terengganu!

Ugh, zaman sudah berubah. Kini bukan lagi penyokong Terengganu bakar bas atau berkelahi dengan penyokong lawan. Mereka sudah beralih sasaran. Marah dan hampa dihalakan pula kepada Presiden Persatuan Bola Terengganu (PBSNT). Rusuhan kecil berlaku di depan banglo milik sang presiden. Tiada kecederaan. Tiada kebakaran. Hanya beberapa butir batu melayang.

Pada awal 2010, ketika Manchester United menanggung hutang sejumlah £716.5 juta ($1.17 billion),para peminat setianya memprotes, desak pengunduran tuan punya kelab tersohor itu - Malcolm Glazer. Sebahagian mereka ke Stadium Old Trafford dengan memakai jersi hijau dan kuning. Ini merupakan warna jersi pasukan Newton Heath - kelab asal Manchester United. Mereka memprotes bukan kerana prestasi di atas padang, tetapi hutang bertimbun implikasi sepak-terajang dunia korporat yang menguasai kelab bolasepak terkaya di dunia itu.

Dalam soal ini, lain pula nampak gayanya tabiat penyokong-penyokong Sang Penyu. Memprotes, merusuh kecil dan membaling batu kerana ketewasan 2-1 kepada kelab yang dikatakan kecil (Sime Darby), di sebuah stadium yang lama dan kecil jugak! Dramatik sekali!

Permisi. Bisa ketemu lagi.

foto: Bengkeng sungguh orang Ganu! dikutip daripada berita muka depan akhbar Kosmo! (Isnin 23 April 2012).

Isnin, 2 April 2012

JIN DI DALAM BOTOL JUS OREN

Kira-kira dua bulan lalu.
Sebelum azan Maghrib lagi hujan sudah renyai-renyai. Lebat jadinya ketika sebahagian penduduk taman itu berjemaah Isyak di surau.
"Tak pergi tahlil?" seorang jemaah menyapa Sidin yang bersila di beranda.
"Malam ni tak boleh. Saya ada tamu. Jauh datangnya. Dari Jenjarom." Sidin mengalih pandangan kepada paparan di skrin telefonnya. Dia bangun dan masuk ruang solat. Sudah tidak ada jemaah yang lain. Ditutup pintu gelonsor rapat-rapat. Kedengaran bunyi dia bercakap dengan seseorang tetapi tidak jelas butir tuturnya.
"Haji pun tak pergi jugak?" jemaah yang agak berumur, berbaju Melayu biru gelap membetulkan silanya. Dia menepuk paha saya.

Saya kerising, kemudian cuba memberikan rasional yang boleh mematikan soalan susulan. "Dah janji nak ikut Sidin ke rumahnya. Dah dua malam saya pergi tahlil tu. Malam ni tak pulak rasanya. Dah beritau Mokhtar saya tak pergi rumahnya malam ni. Dah janji nak pergi rumah Sidin. Minggu lepas lagi dah janji. Pak Hasan tak pergi?"
Pak Hasan tersenyum. Dia menggelengkan kepala. "Tak boleh duduk lama-lama. Mudah nak terkencing. Kalau Ustaz Mahadi bawak, tahlilnya panjang. Saya tak tahan. Ni pun, tengah tunggu anak jemput, rasa nak ke tandas lagi. Penyakit dedas!"
Saya mengerut dahi.

Pak Hasan nampak reaksi itu. "Sakit orang tua. Sakit lelaki pencen. Kencing tak puas!" selepas itu, panjanglah pula cerita Pak Hasan tentang penyakitnya dan pelbagai kaedah perubatan yang dicubanya. Tiadalah upaya saya mencelah.
Asyik berbual dengannya, tak perasan Sidin sudah berdiri di anak tangga surau. Dia menggamit. Saya segera bersalam dengan Pak Hasan, dan menyertai Sidin.
"Ustaz Tolahah dah sesat. Hujan lebat, dia tak nampak jalan. Kita kena ambik dia!"

Setengah jam kemudian, di ruang tamu rumah Sidin.
Lelaki dalam usia pertengahan empat puluh itu menyapu mukanya dengan saputangan. Dia berdiri semula ketika mahu memasukkan saputangan bunga-bunga itu ke dalam poket jeans. Badannya gempal, mukanya bulat, warna kulit agak gelap, misai agak tebal. Tingginya kira-kira lima kaki lima inci. Saya memilih untuk membisu kerana mahu menjadi pemerhati saja malam ini. Bukan senang dapat pengalaman luar biasa ini.
Setelah membetulkan duduknya di kerusi empuk itu, dia bersuara, "Saya bukan ustaz. Panggil saya Tolahah saja. Ilmu saya ni bukan saya tuntut. Jangan silap, ya? Saya bukan bomoh. Ini amalan guru saya yang amanahkan. Saya bukan menuntut dengan mana-mana bomoh."

Sidin hanya tunduk. Matanya terpaku ke permaidani saja. Saya mengangguk kecil. Masih tidak mahu berkata apa-apa.
Tolahah memejamkan mata. Kedengaran dia menarik nafas dalam-dalam. Lepas itu dia mendengus agak kuat. "Saya nak tengok kat mana duduknya. Kurang-kurang ada empat ekor ni!"
Tolahah memejam mata lagi. Nampak seolah-olah dia cuba mengesan sesuatu. Barangkali dia menggunakan panca-inderanya yang keenam!

Tiba-tiba dia bangun dan bergegas ke arah dapur. Sidin segera mengekori. Saya bangun cepat-cepat. Ini peluang amat baik. Peluang keemasan yang luar biasa. Saya sudah pasang kamera telefon dengan mode video. Malangnya, hajat saya tidak kesampaian. Sebaik mahu difokus kepada Tolahah, tangan kiri Sidin menghadang. Jari telunjuknya yang kiri memberikan isyarat supaya saya batalkan saja hajat itu.

Tolahah berhenti di pintu dapur yang terbuka. Dia merenung keliling. Kemudian langkahnya dibuka. Tiada bunga silat dikirai. Saya nampak macam gaya ultra-man saja! Tangannya mencantas, mencucuk, menghentak. Disusuli pula gayanya seolah-olah sedang melempar tali,macam mahu menjerut leher lembu! Kemudian dengan tangkas dia berlagak seperti menarik sesuatu yang sebenarnya tiada. Dikepal tangannya. Ditekup ke mulut. Dengan segera ditekup pula mulut botol yang terpegang erat di tangan kirinya. Seolah-olah ada benda yang sudah dimasukkan ke dalam botol itu.

Selesai di dapur, Tolahah beralih ke tandas. Perlakuan dan kaedahnya serupa. Sidin dan saya jadi pak turut, mengekori Tolahah naik ke dua bilik tidur di tingkat atas.
Sejam kemudian kami kembali ke ruang tamu.

Kali ini Tolahah bersila di depan sebaldi air. Dikeluarkan tangkal kecil dari poket baju. Bulat sebesar duit lima puluh sen. Dia memejamkan mata. Sambil dicelup tangkal itu ke dalam air, mulutnya membaca sesuatu. Tapi tidak jelas butirannya. Kemudian dia mencelup pula tangkal itu ke dalam botol air mineral yang agak besar. Selesai saja, dia menggamit Sidin.

Pesannya, "Air dalam baldi, untuk bilasan. Buat lepas mandi. Air dalam botol, minum. Jangan lupa selawat kepada Nabi. Ingat, mesti ngadap kiblat!"
Sidin hanya mengangguk. Patuh sungguh dia.

Sebaik Tolahah sudah nampak kembali tenang di kerusi, saya memberanikan diri. Mahu sangat tersampai hajat. "Pak Tolahah, boleh saya tangkap gambar?"

Tanpa teragak-agak lelaki gempal itu memberikan permisi. "Boleh. Boleh. Tapi nasib jugak. Kadang-kadang nampak. Kadang-kadang tak nampak apa-apa pun!"

Empat lima kali saya mengetik kamera. Untuk pengesahan saya tunjukkan kepada Tolahah.
Dia memerhati dengan teliti. "Yang nampak jalur macam asap...itu badannya. Yang merah tu...matanya!"

Jam sudah pukul sebelas setengah. Tolahah sudah lama pergi. Saya sudah mengantuk.

Sebelum mohon permisi untuk pulang, saya ungkit musykil. "Sidin, berapa dia caj kamu?"
Perlahan saja dia menjawab, "Lima ratus."

Terlopong juga saya jadinya. Sidin cepat menambah. Yakin campur ceria. "Pak Tolahah cakap, biasanya kalau di KL, dia caj dua ratus seekor! Yang penting, masalah aku selesai. Aku rasa tak takut lagi dah. Badan terasa segar ni. Jembalang dalam rmah aku ni, dah ditangkap semuanya! Semua dah disumbat dalam botol. Pak Tolahah akan buang, jauh-jauh ke tengah laut!"

Sebelum menyarung capal, saya ajukan musykil yang akhir. "Botol apa Pak Tolahah guna tadi?"
Sidin tersengih. "Botol jus oren. Aku beli di supermarket. Jus aku tuang ke longkang!"

Saya ketawa kecil, rasa mahu berlucu pula. Tak jadi kerana simpati pula melihat Sidin.

Tapi hati berbisik juga. "Jin dalam botol jus oren!"

Sekian. Permisi. Bisa ketemu lagi.

nota: Kisah yang benar-benar dialami sendiri. Cuma ditukar nama-nama watak. Lokasi dirahsiakan.

foto: jin di dalam botol jus oren!