Karya

Karya

Jumaat, 27 April 2012

LAKSAMANA DATO' SERI NAJIB?

Jika ditelaah kitab Sejarah Melayu dan karya epik Hikayat Hang Tuah, jelas tiada takwil lagi, yang pertama menggunakan gelaran 'laksamana' itu tiada lain lagi hanya Pendekar Ulung Tun Tuah jua.

Dalam Sejarah Melayu mencatatkan peristiwa seorang Jawa mengamuk kerana dipersenda-sendakan orang. Akibatnya, ramailah yang mati dicantas dengan golok Sunda. Tiada sesiapa upaya menghadanginya. Akhirnya, tewas dia kepada kependekaran Hang Tuah. Atas sebab itulah tokoh legenda ini dikurniakan oleh sultan gelaran itu.

"Syahdan, maka dipersembahkan orang kepada Sultan Mansor Syah bahwa Jawa itu sudah mati dibunuh oleh Hang Tuah. Maka Sultan Mansor Syah menyuruh memanggil Hang Tuah diberi baginda persalin, serta diletakkan oleh baginda nama Laksamana itu. Maka kekallah Hang Tuah itu dipanggil orang Laksamana." (Sejarah Melayu; cetera ke-14: hlm 86)

Selepas kematiannya, jawatan dan gelaran Laksamana itu dipikul amanahnya oleh Khoja Hasan, menantu Hang Tuah. Kemudian daripadanya (sehingga kejatuhan Melaka di tangan Portugis), yang menjadi Laksamana ialah Hang Nadim - menantu Hang Tuah juga.


Karya epik Hikayat Hang Tuah pula mencatatkan, gelaran Laksamana itu adalah anugerah yang diberikan oleh Ratu Majapahit setelah sang panglima menumpaskan pendekar handalan Taming Sari. Ini merupakan penghargaan tertinggi pemerintah Majapahit itu mengenangkan jasa Hang Tuah menyelamatkan baginda dan Raja Melaka daripada amukan Taming Sari.

Maka titah Ratu Majapahit, "Adapun Kiai Tuah ini kita gelar Laksamana." (Hikayat Hang Tuah: hlm 157)

Iktibar daripada peristiwa yang tercatat dalam kedua-dua karya tersohor itu, gelaran atau jawatan Laksamana itu dianugerahkan oleh Sultan Melaka dan Ratu Majapahit kepada seorang perwira terbilang yang sangat berjasa kepada raja dan negara.

Ini bermakna, yang layak memberikan anugerah itu ialah orang yang paling berkuasa dalam sesebuah negara (dalam konteks ini Melaka dan Majapahit). Itu merupakan adat budaya yang tersulam dalam Hikayat Hang Tuah dan Sejarah Melayu. Tidaklah pula terkarang di mana-mana pun di dalam kedua-dua karya itu, seorang Dato' Bendahara dianugerah pula gelaran Laksamana.

Namun begitu, zaman sudah sangat berubah. Prinsip 'Biar mati anak, jangan mati adat' tidak relevan lagi. Bukan sahaja adat budaya sudah banyak yang terkikis dan dilupakan, hatta pendekar legenda Hang Tuah itu pun dipertikaikan kewujudannya. Padahal itulah simbol kehebatan dunia persilatan Melayu. Jika terbuktilah sahih pendekar unggul itu memang hanya watak rekaan semata-mata, tidak lebih daripada dongengan ciptaan pengarang kraton, maka gelaran dan jawatan Laksamana itu tiada wujudlah sebenarnya!

Permisi. Bisa ketemu lagi.

foto 1: Hikayat Hang Tuah dan kitab Sejarah Melayu.
foto 2: Laksamana Negara. muka depan Berita Harian (Khamis, 26 April 2012).







2 ulasan:

  1. pedas berlada nukilan saudara.. hmm kalau macam tu, apa sebabnya Piem tersenyum ceria bila turun pangkat dari Dato bendahara kepada laksamana sahaja? ish isk kena sejarah dan tanya Prof Koo Kay Kim ni..haha

    BalasPadam
    Balasan
    1. anonymous, kalau nak tau, dulu2 masa tahun pertama ngaji, saya masuk kuliah dan tutorial Prof Khoo. Kadangkala syok dengar dia sembang hal bola sebelum mula kuliah. selamba jer dia hisap rokok di dewan kuliah :-)

      Padam