Kira-kira dua bulan lalu.
Sebelum azan Maghrib lagi hujan sudah renyai-renyai. Lebat jadinya ketika sebahagian penduduk taman itu berjemaah Isyak di surau.
"Tak pergi tahlil?" seorang jemaah menyapa Sidin yang bersila di beranda.
"Malam ni tak boleh. Saya ada tamu. Jauh datangnya. Dari Jenjarom." Sidin mengalih pandangan kepada paparan di skrin telefonnya. Dia bangun dan masuk ruang solat. Sudah tidak ada jemaah yang lain. Ditutup pintu gelonsor rapat-rapat. Kedengaran bunyi dia bercakap dengan seseorang tetapi tidak jelas butir tuturnya.
"Haji pun tak pergi jugak?" jemaah yang agak berumur, berbaju Melayu biru gelap membetulkan silanya. Dia menepuk paha saya.
Saya kerising, kemudian cuba memberikan rasional yang boleh mematikan soalan susulan. "Dah janji nak ikut Sidin ke rumahnya. Dah dua malam saya pergi tahlil tu. Malam ni tak pulak rasanya. Dah beritau Mokhtar saya tak pergi rumahnya malam ni. Dah janji nak pergi rumah Sidin. Minggu lepas lagi dah janji. Pak Hasan tak pergi?"
Pak Hasan tersenyum. Dia menggelengkan kepala. "Tak boleh duduk lama-lama. Mudah nak terkencing. Kalau Ustaz Mahadi bawak, tahlilnya panjang. Saya tak tahan. Ni pun, tengah tunggu anak jemput, rasa nak ke tandas lagi. Penyakit dedas!"
Saya mengerut dahi.
Pak Hasan nampak reaksi itu. "Sakit orang tua. Sakit lelaki pencen. Kencing tak puas!" selepas itu, panjanglah pula cerita Pak Hasan tentang penyakitnya dan pelbagai kaedah perubatan yang dicubanya. Tiadalah upaya saya mencelah.
Asyik berbual dengannya, tak perasan Sidin sudah berdiri di anak tangga surau. Dia menggamit. Saya segera bersalam dengan Pak Hasan, dan menyertai Sidin.
"Ustaz Tolahah dah sesat. Hujan lebat, dia tak nampak jalan. Kita kena ambik dia!"
Setengah jam kemudian, di ruang tamu rumah Sidin.
Lelaki dalam usia pertengahan empat puluh itu menyapu mukanya dengan saputangan. Dia berdiri semula ketika mahu memasukkan saputangan bunga-bunga itu ke dalam poket jeans. Badannya gempal, mukanya bulat, warna kulit agak gelap, misai agak tebal. Tingginya kira-kira lima kaki lima inci. Saya memilih untuk membisu kerana mahu menjadi pemerhati saja malam ini. Bukan senang dapat pengalaman luar biasa ini.
Setelah membetulkan duduknya di kerusi empuk itu, dia bersuara, "Saya bukan ustaz. Panggil saya Tolahah saja. Ilmu saya ni bukan saya tuntut. Jangan silap, ya? Saya bukan bomoh. Ini amalan guru saya yang amanahkan. Saya bukan menuntut dengan mana-mana bomoh."
Sidin hanya tunduk. Matanya terpaku ke permaidani saja. Saya mengangguk kecil. Masih tidak mahu berkata apa-apa.
Tolahah memejamkan mata. Kedengaran dia menarik nafas dalam-dalam. Lepas itu dia mendengus agak kuat. "Saya nak tengok kat mana duduknya. Kurang-kurang ada empat ekor ni!"
Tolahah memejam mata lagi. Nampak seolah-olah dia cuba mengesan sesuatu. Barangkali dia menggunakan panca-inderanya yang keenam!
Tiba-tiba dia bangun dan bergegas ke arah dapur. Sidin segera mengekori. Saya bangun cepat-cepat. Ini peluang amat baik. Peluang keemasan yang luar biasa. Saya sudah pasang kamera telefon dengan mode video. Malangnya, hajat saya tidak kesampaian. Sebaik mahu difokus kepada Tolahah, tangan kiri Sidin menghadang. Jari telunjuknya yang kiri memberikan isyarat supaya saya batalkan saja hajat itu.
Tolahah berhenti di pintu dapur yang terbuka. Dia merenung keliling. Kemudian langkahnya dibuka. Tiada bunga silat dikirai. Saya nampak macam gaya ultra-man saja! Tangannya mencantas, mencucuk, menghentak. Disusuli pula gayanya seolah-olah sedang melempar tali,macam mahu menjerut leher lembu! Kemudian dengan tangkas dia berlagak seperti menarik sesuatu yang sebenarnya tiada. Dikepal tangannya. Ditekup ke mulut. Dengan segera ditekup pula mulut botol yang terpegang erat di tangan kirinya. Seolah-olah ada benda yang sudah dimasukkan ke dalam botol itu.
Selesai di dapur, Tolahah beralih ke tandas. Perlakuan dan kaedahnya serupa. Sidin dan saya jadi pak turut, mengekori Tolahah naik ke dua bilik tidur di tingkat atas.
Sejam kemudian kami kembali ke ruang tamu.
Kali ini Tolahah bersila di depan sebaldi air. Dikeluarkan tangkal kecil dari poket baju. Bulat sebesar duit lima puluh sen. Dia memejamkan mata. Sambil dicelup tangkal itu ke dalam air, mulutnya membaca sesuatu. Tapi tidak jelas butirannya. Kemudian dia mencelup pula tangkal itu ke dalam botol air mineral yang agak besar. Selesai saja, dia menggamit Sidin.
Pesannya, "Air dalam baldi, untuk bilasan. Buat lepas mandi. Air dalam botol, minum. Jangan lupa selawat kepada Nabi. Ingat, mesti ngadap kiblat!"
Sidin hanya mengangguk. Patuh sungguh dia.
Sebaik Tolahah sudah nampak kembali tenang di kerusi, saya memberanikan diri. Mahu sangat tersampai hajat. "Pak Tolahah, boleh saya tangkap gambar?"
Tanpa teragak-agak lelaki gempal itu memberikan permisi. "Boleh. Boleh. Tapi nasib jugak. Kadang-kadang nampak. Kadang-kadang tak nampak apa-apa pun!"
Empat lima kali saya mengetik kamera. Untuk pengesahan saya tunjukkan kepada Tolahah.
Dia memerhati dengan teliti. "Yang nampak jalur macam asap...itu badannya. Yang merah tu...matanya!"
Jam sudah pukul sebelas setengah. Tolahah sudah lama pergi. Saya sudah mengantuk.
Sebelum mohon permisi untuk pulang, saya ungkit musykil. "Sidin, berapa dia caj kamu?"
Perlahan saja dia menjawab, "Lima ratus."
Terlopong juga saya jadinya. Sidin cepat menambah. Yakin campur ceria. "Pak Tolahah cakap, biasanya kalau di KL, dia caj dua ratus seekor! Yang penting, masalah aku selesai. Aku rasa tak takut lagi dah. Badan terasa segar ni. Jembalang dalam rmah aku ni, dah ditangkap semuanya! Semua dah disumbat dalam botol. Pak Tolahah akan buang, jauh-jauh ke tengah laut!"
Sebelum menyarung capal, saya ajukan musykil yang akhir. "Botol apa Pak Tolahah guna tadi?"
Sidin tersengih. "Botol jus oren. Aku beli di supermarket. Jus aku tuang ke longkang!"
Saya ketawa kecil, rasa mahu berlucu pula. Tak jadi kerana simpati pula melihat Sidin.
Tapi hati berbisik juga. "Jin dalam botol jus oren!"
Sekian. Permisi. Bisa ketemu lagi.
nota: Kisah yang benar-benar dialami sendiri. Cuma ditukar nama-nama watak. Lokasi dirahsiakan.
foto: jin di dalam botol jus oren!
Tiada ulasan:
Catat Ulasan