Karya

Karya

Sabtu, 23 Jun 2012

ALAHAI RAFIZI RAMLI, JADI GEMBALA LEMBU LAGI BAIK!

Belum ada kejutan besar EURO 2012. Keupayaan Greece menewaskan Russia, dan kemenangan bergaya Sweden mengatasi Perancis tiada luar biasanya. Greece pernah jadi juara EURO 2004. Manakala Sweden pula 'kempis nasib' dalam pertembungan dengan England dan Ukraine. Jika Greece dapat tumbangkan Jerman, dan England pula berjaya jadi juara, itulah kejutan yang sebenar. Luar biasa jadinya.

Setakat ini, dalam bulan kegilaan EURO 2012, yang mengejutkan dan menghampakan bukan pertembungan di atas padang bola. Tidak pula berlaku di Poland atau Ukraine. Yang dramatik itu terjadi di Tanah Semenanjung.

Kita bicara soal kehampaan itu dulu.

Ini berkaitan debat politik kali ketiga saya nonton di televisyen.Yang pertama antara supremo PKR dengan seorang Menteri Penerangan. Yang kedua antara Rafizi dengan Khairy Jamaluddin. Tertarik sangat nak nonton yang ketiga baru-baru ini kerana dua orang ternama yang terlibat.

Mediatornya merupakan profesor disegani kerana bijaksana dan budiman. Waktu zaman di kampus Universiti Malaya dulu, pernah jugak saya mengaji dengan sarjana kelahiran Seberang Takir ini. Waktu itu, tahun 1985. Profesor Muhammad mengajar 'Isu-isu Antarabangsa Semasa' untuk siswa tahun ketiga Pengajian Media. Hebat sungguh orangnya.

Saya masih ingat, sebaik melangkah masuk ke dalam bilik seminar, terus saja beliau bersyarah tentang topik mingguan. Tak berhenti. Bicaranya jelas dan lantang. Lenguh jugaklah menulis nota selama 45 minit! Tak siapa mencelah untuk tanya apa-apa. takut tersasul soalan bodoh. Tiap butir tututnya terasa betul belaka.

Timbalan Menteri yang menjadi pendebat pihak kerajaan itu, saya kenal sewaktu di tahun satu. Tapi tidaklah pula dia mengenali saya...err sampai sekarang! Bahkan dalam suatu jamuan yang diadakan di Kompleks Karangkraf, saya duduk makan semeja pun dia tak perasan!

Segar lagi ingatan pada zaman awal lapan puluhan. Waktu itu berlangsung pilihanraya kampus. Saifuddin masuk geng dengan Shabery Chek dan Husam Musa. Kempen calon-calon yang bertanding begitu konvensional dan rugged. Guna loudhailer pancing undi dan untuk hebahkan propaganda. Mencelah masuk dewan kuliah sebelum pensyarah tiba. Naik lori keliling kampus ajak mahasiswa mengundi.

Geng orang bertiga ini (Saifuddin, Shabery dan Husam) menggelarkan diri mereka 'The Dynamic Group'. Ketiga-tiganya memang punyai personaliti sebagai pemimpin. Bijak bicara dan punyai ketokohan. Waktu itu, yang jadi Presiden PMUM ialah Menteri Belia dan Sukan sekarang inilah. Yang dua lagi itu, panglimanya yang handal belaka.

Sekarang, semua rakyat Malaysia yang rajin baca akhbar (Utusan Malaysia, Sinar dan Harakah) dan nonton Berita Perdana kenal siapa orang bertiga itu, dan kedudukan mereka dalam politik Tanah Bonda. Cuma saya masih sangat hampa, debat ketiga di Kompleks Media Karangkraf tidak sebagus yang pertama dan yang kedua.Anggota 'Dynamic Group' itu kelihatan sidah hilang bisanya! Cukup separuh masa, tiada minat lagi untuk menonton. Tajuknya pun nampak serupa dengan kertas karangan tingkatan enam sahaja. Kedua-dua pendebat pula macam beri taklimat saja gayanya. Jauh lebih berbaloi menonton debat Rafizi dengan Khairy. Debat Saifuddin dan Salahudin cukup menghampakan.

Rafizi letak jawatan! Ini kejutan terbesar dan luar biasa sepanjang bulan demam EURO 2012. Sukar mahu mencari lojiknya, terjadi ia kepada seorang politikus muda yang mencanak naik reputasinya selepas berdebat dengan Ketua Pemuda UMNO. Petah bicara, licik dan bijaksana. Nampak ketara aura seorang pemimpin masa depan. Ketika parti yang diwakili Khairy jadi terkedu dan senak perut hasil perdebatan itu, entah kenapa 'Rafizi yang menang' debat tiba-tiba memilih untuk jadi 'orang yang kalah'. Ketika jentera propaganda parti tulang belakang kerajaan sudah gabra kerana khuatir 'golongan muda' makin jauh terlepas, datang penyelamat dari sumber tidak diduga. 'Pengebom berani mati' muncul meledakkan kem sendiri!

Kerana saya ini pernah kenal sikit-sikit pemuda budiman dan bijaksana yang pernah menang Debat Dalam TV, maka izinkan saya catatkan suara hati:-

Rafizi, moleknya kamu sajalah yang jadi gembala lembu. Kerana sudah tak ada kerja sekarang, mohon saja jawatan CEO di NFCop. Kamu tahu cacatnya yang dulu. Mohon kepada Dato' Bendahara. Pemuda bijak macam kamu ni memang banyak pihak yang mahu pinang. Sahut cabaran. Bikin biar serupa cakap. Ambil teraju ladang ternak itu. Baiki, dan jadilah gembala yang baik. Kamu memang layak. Cuma jangan rasuah. Jangan pecah amanah. Paling penting, jangan ghairah untuk terus jadi pemburu lembu nombor satu. Kerana kamu tidak akan dianggap handal hanya asyik memburu lembu di dalam kandang, dan yang dicucuk hidungnya!

Satu lagi: Kalau Rafizi mahu terus berpencak dalam gelanggang politik, antara geng bertiga dalam 'Dynamic Group' tu ada yang boleh dijadikan teladan dan sempadan. Mereka itu, masa muda-muda dulu, 'pernah terdidik di bawah asuhan' Supremo PKR. Cuma sekarang cabang jalannya sudah berbeza-beza dan bertentangan. Macam kamu jugak, yang sekarang ini belayar satu kapal dengan tokoh berkenaan, sebagai politikus muda yang dinamik dan berbakat.

Cuma janganlah sekali-kali lempar bom dalam kapal sendiri! Takut bukan kapten dan awak-awak saja yang akan kelemasan, dengan lembu-lembu NFCorp itu pun ikut tenggelam sekali. Rugi. Rugi. Sangatlah rugi!

Permisi. Bisa ketemu lagi.


8 ulasan:

  1. Rasululah pernah jadi gembala kambing

    BalasPadam
    Balasan
    1. Nabi Musa & Luqman al-Hakim gembala kambing jugak :-)

      Padam
    2. gembala kambing dengan gembala lembu lain-tak sama-kambing lagi agresif-susah nak dijaga

      Padam
    3. hahaha nampak gaya macam ada pengalaman jer :-) yang import atau baka lokal? atau glokal?

      Padam
  2. mung kena jadi penulis 'politik' pulok aku rasa. Best.. dok puas baca..

    BalasPadam
    Balasan
    1. bab politik ni, aku kena berguru dengan mat che muda dulu :-)

      Padam
  3. semalam ku punya mimpi
    si rafizi akan menjadi seorang menteri
    adakah mimpi dah bertukar tragedi
    kerana dia dah cabut lari

    -aku anonymous-

    BalasPadam
  4. hahaha falsafah 'aku anonymous' dalam dan menyengat sokmo :-)

    BalasPadam