Karya

Karya

Selasa, 27 November 2012

CINTA SI PEMIKAT BURUNG

Kisah 1

Rabu, minggu cuti Deepavali dan sambutan Awal Muharram, 2012.

Gempar kampung kami. Pencuri mengganas! Dalam satu malam, lima buah rumah dipecah masuk. Dijangka, kejadian itu berlaku di antara jam tujuh hingga sepuluh malam. Rumah sahabat saya Wan Pechal kena jugak pada malam itu. Seminggu sebelum itu, mangsanya ialah rumah Haji Stopa.

Dalam semua kejadian, rumah tiada penghuni kerana empunya punyai macam-macam komitmen luar kampung. Ada yang bercuti main air di Port Dickson. Ada yang bersuka-ria di Universal Studio Singapura. Ada pula yang sudah hampir enam bulan rumahnya kosong kerana bertugas di Timur Tengah. Ada tidak bercuti, tapi tiada di rumah seharian, balik-balik sudah diselongkari.

Yang paling dukacita tentunya Haji Stopa. Tauke yang ramah ini tinggalkan rumahnya kerana berjemaah Isyak di surau. Kira-kira dua ratus meter saja jaraknya. Kemudian dia terus memandu ke masjid menjemput isterinya yang mengikuti pengajian fardhu ain. Apabila pulang, didapati pencuri sudah kebas beberapa barangan berharga. Dalam masa sejam setengah dia tinggalkan banglo dua tingkatnya, penyamun sudah bolos melalui tingkap bilik belakang!

Nampaknya, corak pecah rumah sudah beralih waktu. Sebelum ini, kira-kira setahun dulu, sasaran ialah di waktu pagi. Ketika penghuni sudah berada di pejabat. Kemudian ada pula kes, rumah dimasuki pada waktu solat Jumaat. Selang beberapa bulan, terjadi pula kecurian di waktu penghuni sedang nyenyak. Di antara dua hingga empat pagi. Sebab itu kawasan kami mengadakan rondaan. Setelah reda kejadian itu, maka rondaan pun turut surut, dan kering terus!

Betul-betul setahun. Kembali lagi penyamun yang tidak punya belas ehsan ini.

Rata-rata kami berasa begitu marah. Dendam tiada yang lain: jika dapat cekup, mahu diganyang penyangak-penyangak itu sampai lembik!

Khamis, petang. Sehari selepas kejadian di rumah Wan Pechal. Kira-kira setengah jam selepas lima.

Sewaktu kami (saya, Wan Pechal, Azwe dan Zemi) ralit bersembang, melintas sebuah motosikal. Bukan jiran kami. Agak kurang sopan. Orang luar yang masuk kawasan kita tanpa menyapa pun.

Lima belas minit berlalu, tiada pula dia berpatah balik. Tiada jalan keluar yang lain, kerana hujung kejiranan kami itu jalan mati.

Kami naik khuatir dan syak.Jiran-jiran yang lain segera ditelefon. Minta pengesahan jika mereka ada dikunjungi tetamu yang menunggang motosikal merah darah. Jawapan negatif belaka. Maka kami pun mengatur langkah cepat-cepat. Sebahagian memeriksa motosikal yang ditongkat berselindung di sebalik pokok bunga yang agak rendang, sebahagian yang lain memeriksa di belakang rumah jiran yang kita tahu bercutian.

Tiada jumpa apa-apa. Tidak ternampak kesan tingkap terkuak kerana diumpil. Tidak jugak terjumpa siapa-siapa!

Apabila Wan Pechal dan Azua kembali, Zemi ajak saya 'round' dengan motosikalnya. Payah jugak nak kontrol motosikal di jalan belakang yang tidak bertar. Kerana hakisan air hujan yang kerap, jalan yang keras dan berbatu itu menjadi sukar untuk dilalui. Maka kami pun menapak saja. Tidak nampak apa-apa yang mencurigakan. Jadi santai sajalah saya dan Zemi melintasi semak-samun.

Dalam kelekaan main-main jenguk sana sini, tiba-tiba muncul seorang pemuda baju berbelang. Kaget jugak kami dibuatnya.
"Buat apa dalam semak tu?" Zemi segera bertanya. Nada jiran saya itu bunyinya mencabar saja.
"Tangkap burung, bang!" sambil kerinsing pemuda itu mengunjukkan burung yang tertekup dalam tangannya.

Namanya Midi. Entahlah. Betul tidaknya tidak upaya disahkan. Katanya dia selalu pikat burung di kawasan berdekatan sampah-sarap yang menimbun, di kawasan belakang kejiranan kami. Katanya dia pernah disergah anggota polis yang meronda di taman-taman sekitar.

Dua puluh minit jugak kami bersoal-jawab dengan Midi. Sambil bertanya itu dan ini, kami cuba cungkil sebab-sebab lain dia memikat burung di belukar itu. Midi beritau, burung-burung yang ditangkapnya, dijual kepada sesiapa yang berminat. Paling murah lima belas ringgit. Boleh cecah sekali ganda harganya. Bergantung kepada merdu alunan suara tekukur. Kerana saya ini budak sungai, tidak punyai pengalaman memikat burung. Budak sungai tak main tangkap-tangkap. Kami terus lastik saja!

Kerana lamanya kami berbual dengan Midi, menyebabkan Wan Pechal dan Azuwe menyusul. Beberapa minit lepas itu, Mokrim menyertai.

Midi pula sudah mula berkemas. 'Getah burung' disimpan di dalam bekas kecil. Denaknya dimasukkan ke dalam sangkar.

Ketika berselisih dengan kami, pemuda baju belang-belang itu mengunjukkan tangkapannya kepada Wan Pechal. "Kalau mahu, ambil saja!"
Saya menyampuk, "Berapa harga?"
Tanpa teragak-agak Midi membalas, "Tak perlu bayar. Ambil saja! Sudah banyak di rumah!"

Lepas Midi lesap, barulah kami rasa musykil. Segera hilang seronok dapat tekukur percuma apabila Zemi bersuara, "Kalau betullah dia ni datang nak pikat burung, takkanlah senang-senang saja beri percuma kat kita!"

Barulah kami teringat, tadinya pemuda baju belang-belang itu beritau dia jerat burung kerana mahu dijualnya!

Zemi bersuara lagi. Macam membebel bunyinya, "Tak kenal kita pun, tiba-tiba mudah saja nak kasi tekukurnya. Bukan senang nak jerat tu. Tapi mudah saja beri kat orang asing!"

Alamak, betul sungguh kata Zemi itu. Takkan singkat dan begitu mudah terlerai Cinta Seorang Pemikat Burung. Tekukur itu tentulah begitu berharga baginya! Dia mencari burung kerana itulah cara sampingan poketnya terisi.

Azuwe yang agak pendiam, tersengih-sengih sebelum buka bicara, "Entah-entah dia kelentong kita. Entah-entah, dia datang nak mengintai rumah-rumah di sini! Bukan nak pikat tekukur sangat!"

Ada yang garu kepala. Ada yang membetulkan kacamata. Ada yang menyeluk saku dalam-dalam!

Mungkin betul kata-kata Azuwe itu. Takkan semudah itu pemikat burung melepaskan tangkapannya. Atau memang begitu gelagatnya Cinta Si Pemikat Burung?

Kisah 2

Hujung minggu saya ketemu Samad. Kawan dari taman lain yang mudah diajak bicara. Dah lama tak bersua dengannya - pemuda yang rajin berjemaah di surau. Umurnya baru cecah empat puluh. Badan tegap. Mudah kembang kuntuman senyuman. Berjaya amat dalam profesion. Tentang kejayaannya mudah diukur secara fizikal. Di laman banglo dua tingkat miliknya, sesak dengan kereta. Mewah belaka. Dengar cerita dia mewarisi kekayaan ayahnya yang begitu sukses dalam perniagaan. Samad - orang muda yang bergaya, begitu sukses, dan kaya. Punyai isteri cantik, dan tiga anak comel-comel.

"Lama tak nampak?" saya membalas salam yang dihulurkannya.

"Sibuk sikit. Errr...dah bertambah sibuk. Ni nak pergi cuti di Changlun." Samad tersenyum kecil.

"Tak pulang ke Kuala Pilah? Buat apa di Changlun? Masuk hutan? Memburu? Menembak?" saya memandai cuba meneka kerana saya tahu di waktu senggang, kegemaran Samad menembak ayam hutan.

Samad ketawa kecil tapi singkat. "Dah jarang menembak. Main pikat burung pulak!"
Kerana teringatkan gelagat Midi si pemikat burung, spontan saya pantulkan soal, "Jerat tekukur?"

Samad senyum lebar. Dia bicara perlahan amat. Terlalu hati-hati. Nampak seperti khuatir jemaah yang masih duduk-duduk di beranda akan curi dengar. Saya turut senyum lebar, sambil geleng kepala sebaik bisikannya dah dinoktah.

Rupa-rupanya Samad sudah pasang satu lagi. Dah tambah cawangan baru di Changlun! Sebab itulah dah jarang-jarang ketemu di surau taman perumahan kami.

Ugh, ini sudah terzahir sisi lain Cinta Si Pemikat Burung!

Midi dari Kajang, susah-susah pikat burung, katanya mahu cari wang. Sudah dapat, senang-senang pula kasi kat orang.

Samad, pemuda kaya yang bergaya, katanya kembara jauh memikat burung. Rupa-rupanya membina masjid baru di dalam kampung!

Permisi. Dengan izin-Nya kita bisa ketemu lagi.

__________________
foto 1: si baju belang-belang
foto 2: denak yang menjerat bangsa sendiri!
foto 3: hadiah daripada Midi


Isnin, 19 November 2012

APABILA PONDOK JADI BENTENG POLITIK (2)


Kelantan, 1995.
Saya mastautin di Pasir Tumbuh, Kelate. Stesen kerja di Unit Bahasa & Terjemahan USM, Kubang Kerian. Mengajar ketrampilan Bahasa Melayu kepada siswa perubatan, dan yang ambil program jururawat.

Tugas lain yang lebih menarik, tentunya mengajar ‘Bahasa Melayu Komunikasi’ kepada pensyarah dan petugas perubatan dari negara asing yang berkhidmat di Pusat Perubatan USM. Murid saya ada yang asalnya dari England, India, Bangladesh, dan Timur Tengah. Nak ngajar Bahasa Melayu, tapi guna Bahasa Inggeris sebagai wahana. Kerana itu saya ambil cuti tanpa rekod ikut kursus di British Council (BC). Mahu asah lidah dan korek telinga. Moga cepat faham dan mudah bicara dalam bahasa global itu. Mahu biasakan diri guna bahasa orang putih.

Kursus di pusat bahasa BC yang letaknya hampir dengan Pasar Seni itu sangat berkesan. Saya fikir, inilah kursus bahasa Inggeris yang paling menyeronokkan. Cikgu-cikgunya orang putih belaka, memang pandai mengajar. Peralatan dalam darjah dan di makmal bahasa cukup lengkap. Dalam kelas kami pula majmuk ras. Sebahagian besarnya anak Malaysia -Melayu, India, Cina. Yang internasional ialah orang Itali dan Jepun.

Dua minggu kursus intensif di BC, berfikir pun dah dalam bahasa orang putih. Hatta, setiap hari, sebaik habis kelas, kepala dipengaruhi sepenuhnya bahasa itu. Bercakap dengan drebar teksi pun ikut slang British! Selepas dua minggu balik ke Kelate, hilang jugak akhirnya ketaman dan asahan bahasa di BC. Kembali cakap orang putih stail Malaysia, telor Ganu!

Setahun juga saya kerja di USM, Kubang Kerian. Pertengahan 1994 hingga pertengahan 1995.

Dua peristiwa lekat kejap dalam minda. Yang pertama berlaku hujung 1994. Menggelak lautan politik Tanah Bonda dibuatnya. Muntah lava gunung berapi jagoan-jagoan politik, terutamanya yang naik bahtera mengibarkan Bendera Keris.

Apa tidaknya? Seorang jagoan Parti Bulan dicekup di Hotel Perdana. Dituduh khalwat dengan isteri kawannya. Seorang gedebe politik (tidak masuk senarai sebagai jagoan) yang kini pimpin PERKASA, menyebut dalam serangannya terhadap panglima Parti Bulan itu, betapa sewaktu diserbu, keadaan katil dalam bilik hotel berkenaan “macam perang dunia ketiga!”

Panglima Parti Bulan itu melenting darjah tertinggi apabila menerima cemuhan daripada DSAI, Timbalan Presiden Parti Keris.

Saya ingat lagi kata-katanya kira-kira begini, “Dia tuduh aku khalwat. Tapi dia tak ingat waktu zaman sama-sama aktif dalam ABIM dulu. Biasanya, lepas apa-apa program, kalau Wan Azizah nak balik ke kampus, akulah yang jadi drebar. Kalau aku ni jahat, dah lama dah aku r***!”

Peristiwa besar yang kedua, tahun 1995 diadakan Piliharaya Umum (PIRAYU) ke-9. Panglima Parti Bulan yang dituduh khalwat itu masuk bertanding di Parlimen Kubang Kerian. Menang dia dengan majoriti selesa. Kejadian khalwat ditendang mahkamah. Buang kes. Tak cukup bukti. Dan tak cukup kuat jugak untuk tumbangkan jagoan politik dari Utara itu dalam PIRAYU ke-9.

Waktu itu, kami tinggal di kawasan perumahan kakitangan USM. Duduknya bersebelahan dengan MRSM, yang berhimpit pula dengan Pondok Pasir Tumbuh.

Hari Jumaat, saya solat di Masjid Pondok. Paling dekat dengan rumah. Kalau ada apa-apa ceramah, selalu jugak saya hadir. Rugi. Orang buat program ilmu depan tangga, takkanlah kita tak mahu jenguk. Jangan jadi sombong dengan ilmu!

Kerana musim pilihanraya, maka yang banyaknya ceramah politik. Seingat saya tiada jagoan dari Parti Keris yang singgah buat apa-apa program di Pasir Tumbuh. Pernah sekali ceramah pilihanraya diadakan hanya sepelaung dari rumah kami. Sesak kawasan perumahan itu. Ramai senghoti. Bendera yang berkibar tiada yang lain, Terang Bulan belaka. Penceramah utama, tokoh dari Kampung Pulau Melaka. Dia, tokguru yang jadi MB.

Sebahagian intipati ucapannya ada menyentuh tentang Pondok Pasir Tumbuh jugak. Disebutnya betapa fungsi pondok itu (dan pondok-pondok lainnya di Kelate) sangat penting dalam perjuangan Parti. Hubungan Pondok dan Parti Bulan dikatakan sangat akrab. Kerana parti itu memperjuangkan politik Islam, maka tidak boleh dipisahkan ia daripada institusi Pondok. Begitu katanya. Secara tradisinya sudah begitu. Bahkan parti dan pondok saling memerlukan dan sentiasa bergandingan. Tak boleh dipisahkan. Itu sebahagian isi utama ceramahnya.

Tokguru juga ada menyebut, “Pondok ini macam peluru, Parti kita pula ialah bedilnya! Jika tak ada peluru, macamana bedil nak menembak?”

Ugh, kalau dihitung lamanya Parti Bulan memerintah Kelate, tentu sudah ramai jagoan Parti Keris yang tumpas kena bedilan dari pondok! Tumbang mereka dalam beberapa PIRAYU sejak 1995!

9 November 2012.
Dato’ Bendahara umum nak pertahankan Sekolah Pondok. Disebut betapa pentingnya pondok sebagai benteng identiti Melayu-Islam. Maka diisytiharkan penubuhan Yayasan Pembangunan Pondok Malaysia. Diberikan pelbagai anugerah kepada tok-tokguru pondok yang hadir (sila rujuk bahagian pertama artikel ini).

Dalam senarai pondok yang dapat pengiktirafan, tak ada wakil Pondok Pasir Tumbuh dari Kelantan.

Agaknya, pondok di Pasir Tumbuh itu tidak perlu dipertahankan oleh pihak penguasa Persekutuan. Barangkali tidak begitu berfungsi ia sebagai benteng mempertahankan identiti Melayu-Islam berbanding pondok-pondok lain di Kelantan, Kedah, dan Terengganu. Maka tidak boleh ia dijadikan model kepada pondok-pondok yang lain.

Agaknya, kekalkan pondok itu menjadi benar dan betul dengan fungsi lamanya sebagaimana disebut dalam perumpamaan seorang TokGuru, “Pondok ini macam peluru, Parti kita ialah bedilnya!”

Permisi. Dengan izin-Nya kita bisa ketemu lagi.

Selasa, 13 November 2012

APABILA PONDOK JADI BENTENG POLITIK (1)


nota awal: artikel yang ditulis dalam dua bahagian ini merupakan reaksi, persepsi dan perspektif pengarang terhadap laporan
Berita Harian (9 November 2012) tentang tekad pihak pemerintah untuk mempertahankan Sekolah Pondok sebagai ‘Benteng Pulihara Identiti Melayu-Islam’.


______________________________
Tahun 1892. Paloh, Terengganu.
Mujahidin yang berperang menentang penjajahan Inggeris di Pahang telah berundur ke Darul Iman. Hulubalang-hulubalang Melayu yang dikepalai pejuang tersohor Dato’ Bahaman telah mendapatkan perlindungan di pondok kepunyaan seorang ulamak Ungku Saiyyid Abdul Rahman. Menyertai Dato’ Bahaman ialah pendekar handalan seperti Mat Kilau dan Tok Gajah.

Pada waktu itu, ulamak berkenaan terkenal bukan saja kerana ketinggian ilmu agama, malahan merupakan penasihat yang sangat berpengaruh kepada Sultan Terengganu. Beliau lebih dikenali sebagai Tokku Paloh.

Sepanjang tempoh perlindungan di pondok Tokku Paloh, para mujahidin dari Pahang dikatakan mendapat banyak manfaat. Di samping mendalami ilmu agama daripada ulamak terkenal itu, mereka turut menuntut ilmu perang!

Di akhir perguruan di Paloh, dikatakan Tokguru Ungku Saiyid Abdul Rahman telah menghadiahi Dato’ Bahaman sebilah pedang istimewa, yang terukir kalimah ayat-ayat suci Quran di matanya.

Bukan itu sahaja, hulubalang-hulubalang Terengganu turut menyertai Dato’ Bahaman meneruskan perjuangannya di Pahang. Ketika itu, yang turut membantu perjuangan suci itu ialah para mujahidin dari Kelantan.

Kebangkitan orang-orang Melayu menentang kerakusan penjajah Inggeris di Pahang itu merupakan sebahagian kisah perjuangan anak watan yang tercetus di Tanah Semenanjung.

Sebelum itu, sudah meledak Perang Naning (1831-1832), yang menyaksikan kira-kira empat ribu hulubalang dikepalai Dol Said memerangi soldadu Inggeris. Di Pasir Salak, kedurjanaan penjajah Barat terhadap penduduk pribumi, menyebabkan berlakunya pembunuhan JWW Birch (1875). Peristiwa ini telah menyemarakkan perjuangan orang-orang Melayu yang dipimpin oleh Dato’ Maharajalela. Manakala di Pasir Putih (1915), telah bermula kebangkitan rakyat yang dipimpin Haji Mat Hassan, yang lebih terkenal dengan gelaran Tok Janggut.

Tiga puluh enam tahun selepas Dato’ Bahaman berlindung dan berguru (ilmu agama dan muslihat perang) di Pondok Tokku Paloh, muncul seorang ulamak yang pemimpin rakyat menentang penjajah.

Pada tahun 1928, berlaku peristiwa sangat penting dalam sejarah ketamadunan Terengganu. Meledak perang terbuka terhadap Inggeris yang dikenali sebagai ‘Pemberontakan Tani’. Berbeza ia dengan kebangkitan rakyat di Pahang, Perak, Kelantan dan Naning itu. Kerana kebangkitan anak watan menentang penindasan penjajah British kali ini diketuai seorang ulamak - Haji Abdul Rahman Limbong. Beliau adalah anak murid kepada Tokku Paloh.

Haji Abdul Rahman Limbong ini sangat besar pengaruhnya, hingga digambarkan oleh pihak British betapa kepimpinannya seumpama Mahatma Ghandi, yang “capable of rallying thousands of Malays who would stand ready to follow blindly his bidding” (hlm 147, buku After Its Own Image – The Terengganu Experience; karangan Shaharil Talib: 1984).

Seperti perjuangan Dol Said, Dato’ Maharajalela, Dato’ Bahaman, dan Tok Janggut sebelumnya, kebangkitan rakyat yang dipimpin Tokguru Haji Abdul Rahman Limbong akhirnya juga menemui kegagalan. Sistem pemerintahan feudal pada zaman itu menjadi tembok penghalangnya. British memperkudakan feudalisme di Tanah Semenanjung sebaik-baiknya dan secara optimum untuk menyekat dan melumpuhkan nasionalisme Melayu daripada hidup dan berkembang.

Kelicikan British ini menyebabkan kebangkitan rakyat itu dilihat dan diperlihatkan sebagai suatu penderhakaan terhadap sultan. Muslihat British itulah menyebabkan kebangkitan nasionalisme Melayu dapat ditewaskan. Apabila British berjaya menjadikan pihak istana sebagai sekutu mereka, dan dapat meyakinkan sultan kedudukannya terjamin, maka terbantutlah dan padamlah perjuangan rakyat jelata. Kerana orang Melayu tidak menderhaka kepada rajanya!

Antara iktibar penting dalam rentetan kebangkitan rakyat atau nasionalisme Melayu itu ialah peranan yang dimainkan oleh ulamak seperti Tokku Paloh dan muridnya, Haji Abdul Rahman Limbong. Kedua-dua tokoh ternama ini lahir dalam sosio-budaya pondok. Ketika itu, pondok bukan hanya tempat menuntut ilmu akhirat. Yang diajar dan diamalkan ialah Islam sebagai addin. Yang meliputi segenap aspek kehidupan bermasyarakat – sosial, ekonomi dan politik.

Kerana itulah, pada waktu itu, pondok menjadi benteng agama, bangsa dan negeri.

Apabila PM Dato’ Seri Najib bertekad mahu ‘mempertahankan sekolah pondok’ sebagai ‘benteng pulihara identiti Melayu-Islam’, nampak keterbalikan kepada peristiwa yang pernah berlaku pada tahun 1892 dulu.

Waktu itu, orang kenamaan Pahang (Dato’ Bahaman) mencari perlindungan dan bantuan di pondok Tokku Paloh kerana menentang penjajah British.

Kini, pada zaman kontemporari ini, orang kenamaan dari Pahang juga (tapi statusnya terlebih tinggi kerana memimpin negara), bukan meminta perlindungan atau bantuan tetapi bertekad mempertahankan pula sekolah pondok yang ada di Tanah Semenanjung dengan penubuhan Yayasan Pembangunan Pondok Malaysia.

Secara hurufiah, nampaknya begitulah.

Tidak mungkinkah pondok akan dijadikan benteng politik pihak yang berkepentingan?

Permisi. Dengan izin-Nya kita bisa ketemu lagi.

_____________________________
nota akhir: dalam bahagian kedua perihal ‘pondok dan politik’ ini, akan disentuh bicara seorang Tokguru Kelate, “orang pondok itu peluru, parti itu bedil!”


Rabu, 7 November 2012

nota aidilAdha (3) BAHASA KITA ITU TUNJANGNYA AL-QURAN

(nota awal: kerana tahun 1433H masih berbaki; bulan Haji tinggal seminggu dua; tetamu Allah masih belum terbang pulang semuanya; dan sebelum muncul Awal Muharram, bertekad kita mahu ditunaikan hasrat untuk menggarap hal-ehwal yang ada kena-mengena dengan perayaan aidil-Adha baru-baru ini.)

Penduduk kampung kami di pinggir Bandar Baru Bangi ini sangat bertuah. Beberapa orang ilmuan yang terkenal seluruh Tanah Bonda tinggal di sini. Antaranya, seorang ahli fizik yang pernah dinobatkan sebagai Tokoh Maal Hijrah. Walaupun ‘dia orang sains’ tapi cukup disegani kerana pengetahuannya dalam hal-ehwal agama.

Saya pernah menghadiri ceramahnya. Ketika dihuraikannya mengenai asal-usul penulisan al-Quran, saya fikir boleh ternganga calang-calang ustaz. Malahan jika dibicaranya soal perjuangan bahasa Bonda, saya kira boleh termalu orang-orang bahasa dibuatnya. Nampaknya, dia lebih tahu dan lebih dalam kecintaannya kepada bahasa Bonda daripada sesetengah orang yang terdidik dalam bidang bahasa dan sastera. Saya fikir dialah antara ‘orang sains’ yang bisa digelar pejuang bahasa dan sastera Bonda, walaupun itu bukan bidang kepakarannya.

Khatib solat sunat Raya Korban tahun ini, dialah orangnya. Kerana sudah ditulis di papan kenyataan seminggu lebih awal, jadi sudah tekadlah niat nak bawa satu famili solat di pagi AidilAdha di surau berdekatan kediaman kami. Mahu dengar khutbah yang disampaikan seorang tokoh Maal Hijrah, jugak ahli fizik yang sangat cintakan bangsa dan bahasanya!

Intipati khutbah pagi itu mengupas tentang erti pengorbanan dan takdir kehidupan insan. Disebut mengenai gejala social yang menyakiti remaja kita – buang bayi, sumbang mahram, zina, arak, dadah, dan rempit.

Disebutnya betapa sudah ketentuan-Nya kita hidup dalam masyarakat yang dihambat masalah itu. Kita tidak bisa lari daripadanya, tapi jangan pula kita berpeluk tubuh. Jangan pula kita asyik menyalahkan semua yang lain di keliling kita. Inilah yang memerlukan pengorbanan dan perjuangan.

Kita ditakdirkan-Nya punyai pertalian ke-bangsa-an dengan sebilangan remaja yang terjebak dalam ‘kehidupan social yang nanar dan penuh mudarat’ itu. Kerana itu, kita dituntut supaya berkorban, ikut kemampuan (masa, tenaga, fikiran dan kewangan), bersama-sama berganding bahu menghadapi durjana sosial yang bisa meruntuhkan nilai-nilai akhlak murni, yang jadi jati diri kita.

Turut disebutnya, betapa dalam mengejar serba-serbi kemewahan, kemodenan dan kecanggihan kita jangan sekali-kali meminggirkan bahasa kita. Itu jati diri yang hakiki. Kita dilahirkan bersamanya. Itu sudah menjadi ketentuan Ilahi. Kerana itu, kitalah yang sepatutnya ‘berjuang dan berkorban’ demi bahasa kita. Itu hati nurani kita. Itu jiwa kita.

Malahan, konsep dan falsafah hidup beragama itu terkandung dalam budaya bahasa ibunda. Kita banyak ‘meminjam secara terus’ dan menerapkan istilah-istilah yang dikutip daripada kitab suci al-Quran.

Dikutipnya beberapa contoh. Perkataan seperti iman, taqwa, adil, dan ikhlas digunakan ‘macam bahasa asal kita sendiri’. Padahal semuanya itu asalnya tercatat dalam al-Quran sudah 1433 tahun!

Lantas dilontarkan cabaran kepada para jemaah:

Kenapa kita sibuk-sibuk dengan bahasa orang lain, dalam waktu yang sama menyisihkan bahasa sendiri? Memperlekeh dan mempersenda orang-orang yang prihatin akan bahasa ibunda? Memperkecilkan perjuangan bahasa sendiri? Tidak sedarkah kita, bahawa bahasa kita itu tunjangnya al-Quran?


Permisi. Dengan izin-Nya kita bisa ketemu lagi.

____________________________
foto: pemuda harapan agama dan bangsa. selepas solat sunat aidil-Adha, bergotong-royong menyempurnakan ibadah korban.