Karya

Karya

Rabu, 19 Februari 2014

APABILA ANWAR MASUK KAJANG (2): Sir Alex Ferguson ganti David Moyes?

nota awal:
"politik itu macam bolasepak jugak. ada pemain. ada pengadil. ada piala. ada penyokong. ada pertaruhan kecil-besar. ada percaturan licik di sebalik tabir. bahkan ada yang mati kerana politik dan bola!"


Sesiapa yang minat bolasepak, tidak perlu diberitau siapa Alex Ferguson, dan apa yang sedang terjadi kepada prestasi Si Iblis Merah. Sesiapa yang minat Manchester United pula, yang minat sungguh-sungguh, dipupuk jadi peminat fanatik sejak baru reti menyepak bola di ruang tamu rumah sendiri, tentu naik sesak  dada setiap kali menonton Si Iblis Merah main bola tersiar di astro secara langsung.

Tidak kira main di padang lawan atau di Old Trafford, kehebatan Manchester United sudah terkikis banyak. Pasukan koman macam Sunderland itu pun boleh hentam pemegang rekod juara terbanyak BPL itu di gelanggang sendiri.

Kubu kukuh Old Trafford sudah goyang. Ada strukturnya sudah pecah-pecah dan retak-retak tunggu rebah. Jika tidak diambil langkah drastik untuk baik-pulih, peminat tegar tak payah mimpi nak tegok Si Iblis Merah masuk Liga Juara-Juara musim depan.

Silap congak boleh gelongsor bawah nombor sepuluh BPL!

Old Trafford sudah terlalu lama di tampuk kekuasaan Liga Inggeris. Era kepimpinan Sir Alex Ferguson selama hampir 23 tahun itu menjadikan Manchester United seolah-olah akan muncul juara BPL setiap musim, tak mungkin terkalah oleh siapa-siapa.

Tidak jirannya yang kaya-raya si Barisan Biru Manchester City atau Tentera Merah dari Anfield.

Tidak jugak pasukan budak-budak pencucuh meriam (roket) dari Stadium Emirates.

Macam tidak mungkin ketiga-tiga pasukan itu dapat mencalar betis mana-mana pemain Manchester United.

Itu cerita dulu.

Sir Alex Ferguson sudah mengundurkan diri. Terpancar di kaca tv  sekali-sekala jadi penonton yang tidak punyai kuasa untuk mengatur strategi atau menjual-beli pemain. Mana ada pemain nak dengar cakap orang tua yang bengkeng itu lagi.

Peminat setia yang jadi gerombolan Si Iblis Merah yang fanatik tentu hilang seronok apabila tiba hujung minggu. Entah pasukan kokak yang mana pulak yang akan memalukan Manchester United. Seri dengan pasukan seperti Fulham di Old Trafford dikira sudah kalah besar begitu!

Gitulah jadinya apabila pasukan hebat, kaya-raya dan tersohor  macam Manchester United diterajui seorang yang tidak berwibawa, tidak punyai rekod cemerlang, dan tidak punyai pengikut tegar seperti David Moyes.

Sudah kedengaran kritikan pedas daripada pemain ternama seperti  Rio Ferdinand.

Imej David Moyes mula tercalar dan terkikis. Goyang kedudukannya macam Manchester United yang tidak mungkin dapat rangkul mahkota BPL itu musim ini. Dan mungkin dua tiga musim mendatang gitulah nasibnya jika jejaka Scotland yang tak berapa bijak bicaranya itu masih memimpin Si Iblis Merah.

Itulah hakikatnya. Theatre of Dreams kini jadi Stage of Nightmares untuk peminat setia Red Devils. Selagi pemilik Manchester United tidak mengambil langkah yang wajar dan drastic untuk memendekkan khidmat David Moyes, kubu Old Trafford mudah diterobos mana-mana pasukan yang lekeh macam Swansea dan Cardiff dan yang makin gagah seperti Barisan Si Biru Manchester, Tentera Merah dari Anfield dan Budak-budak Pencucuh Meriam dari Stadium Emirates yang mahu meledakkan roketnya.  

Begitulah hitung-kiranya.

Jika David Moyes masih kekal di tampuk kepimpinan, Manchester di Old Trafford tidak akankekal United!
Begitulah hitung kiranya. Tak boleh tunggu lima tahun lagi. Krisis dalaman sudah menjadi retak yang lebar renggangnya.

Barisan Biru hanya tunggu perpecahan dari dalam saja. Tentera Merah pula memang terkenal tiada belas ehsan!

Bezanya kali ini, kira-kira 30 ribu penyokong akan menjadi penentu. Mereka akan menentukan siapa akan menang di gelanggang N25.

Kira-kira hanya sebulan lagi. Tempoh satu bulan yang sangat penting, yang akan menjelmakan Wajah Nasional 2020.

Kerana itulah Sir Alex Ferguson mahu masuk gelanggang walaupun terpaksa bermain jauh dari kampung halaman! Red Devils mesti diselamatkan segera. David Moyes sudah hampir pasti akan terpinggir. Kerana ada rencana mega untuk merampas mahkota di Stadium Putrajaya. 

Begitulah hitungan dan rasional penganalisis dan tukang atur strategi Serbegeth Rafizi.
Tapi kali ini bukan Wayne Rooney atau Van Persie yang menentukan kemenangan.
Ada kira-kira 30 ribu penyokong yang akan menentukan apakah  Sir Alex Ferguson akan menang di gelanggang N25, dan mencapai impian untuk menguasai tampuk pemerintahan di Shah Alam.

Permisi. Dengan izin-Nya kita bisa ketemu lagi.  

Jumaat, 7 Februari 2014

APABILA ANWAR MASUK KAJANG (1): Selamat Tinggal Selangor!




Hijrah pertama saya ke Kotaraya KL ketika mengaji dua tahun dalam tingkatan enam di Sekolah Alam Shah, Cheras.  Selepas habis studi di Universiti Malaya selama tiga tahun, saya sempat kembali berkhidmat sekejap di Darul Iman selama enam bulan. Kerja sebagai guru sambilan di pusat pendidikan sebuah agensi kerajaan negeri. Habis kontrak saya merantau semula   ke Kotaraya Kuala Lumpur. 

Tiga puluh satu tahun total saya meninggalkan Darul Iman.

Mastautin kerana kerja di berapa tempat termasuk Kota Bharu, Kuantan, Sungai Buluh, dan Alor Setar.
Paling jauh terbang ke England. Buka sebab kerja. Kerna tanggungjawab menemani isteri dan menguruskan hal domestic (termasuk anak-anaklah!) sewaktu Yang Tersayang mengejar impian mencapai PhD dalam bidang gerontologi. Sewaktu tinggal di negeri orang putih itu selama empat tahun, sempat juga buat kerja-kerja sambilan termasuk jadi data entry clerk di Royal Mail.

Kembali ke Tanah Bonda, hujung 2004 kami menetap di Kampung Sungai Ramal. Dalam perantauan selama 31 tahun itu, di kampung itulah tempat paling lama kami mastautin – selama lapan tahun.
Selepas balik dari England dan tinggal di Sungai Ramal, sempat mengundi dua kali.
Kedua-duanya di Bandar Tun Razak.

Kenapa tidak mengundi di Kajang atau Bangi atau balik kampung waktu PRU? Tunggu dulu. Jawapannya bukan kali ini. Lain ruang kita bicara tentang sebab-sebabnya.

Sungai Ramal Dalam, sebuah kampung Melayu yang tulen. Setahu saya (setakat 2012) tidak ada bukan Melayu menetap di sini, kecuali beroperasi dua buah kedai barangan logam kepunyaan orang China. Kalau kenduri-kendara, jika terserempak dengan tetamu bangsa lain, rasa janggal seghoti.  

Di Sungai Ramal Dalam, penduduknya terbahagi kepada tiga.
Yang tinggal di taman, yang tinggal di lot persendirian; dan penduduk asal kebanyakan bertali waris dari Tanah Seberang yang menghuni kawasan berhampiran masjid.

Saya fikir orang yang paling popular tinggal di kampung ini ialah tauke satey yang sangat terkenal jenamanya Satey Kajang Hj Samuri. Yang tinggal di taman-taman baru ialah golongan muda yang baru memulakan kehidupan. Yang tinggal di lot-lot persendirian ialah peneroka awal tanah-tanah getah yang dibangunkan menjadi kawasan banglo. 

Kebanyakan mereka adalah waris-warah atau kenalan sekerja yang berpakat membeli tanah-tanah lot di kawasan itu. Rata-ratanya sudah tiga puluh tahun membina keluarga. Ikatan persaudaraan antara tuan-tuan banglo ini erat sekali. Malahan surau lama di sini terbina atas insiatif mereka tanpa bantuan daripada pihak berwajib. 

Rata-rata mereka itu golongan profesional Melayu – jurutera, pensyarah, usahawan, arkitek, guru dan doktor yang begitu berjaya dalam bidang yang diceburi.

Di tengah-tengah Sungai Ramal Dalam, terbina sebuah kolej swasta yang beroperasi dalam premisnya Sekolah Rendah Islam dan Sekolah Menengah Islam. Dulunya, ini adalah sebuah pusat latihan (PLA) milik Angkatan Belia Islam Malaysia.

Semasa awal kes liwat supremo PKR, di situlah tunjang sokongan kepada DSAI. Selama beliau dipenjarakan, DSWA ada berkunjung ke sini kerana sokongan padu pertubuhan berkenaan kepada Parti Keadilan yang asal. Apabila DSAI bebas dan kembali bebas bergelut dalam gelanggang politik, PLA itu tetap menjadi tampuk pengaruhnya yang padu dan teguh.

Kini, Supremo PKR itu akan masuk bertanding sekali lagi. Di kawasan pilihanraya yang kecil saiznya tapi besar bangat impaknya kepada scenario politik kebangsaan. Akan tersebar kehangatannya ke seluruh Tanah Semenanjung. 

Akan menyala semangat pengundi dan  penduduk seluruh Kajang bulan Mac nanti, tidak kira sama ada puak yang melawan atau kumpulan yang menyokong. Kerana pilihanraya ini saiz daerahnya kecil tetapi skala impaknya mega! Bakal merooobahhh jiwa raga politik Tanah Bonda secara total.

    

Yang hampir pasti, panglima-panglima dari PLA itu akan turut masuk gelanggang dengan penuh iltizam, menggembleng pelbagai sumber kekuatan. Kembali ke medan kempen dengan semangat yang tentunya jadi berlipat-ganda. 

Kerana ini sudah jadi pertaruhan baru dengan kaedah dan muslihat yang sangat berbeza. Pertarungan di gelanggang politik kebangsaan sudah masuk era baru yang sulit dijangka tapi akan memberikan kesan mega kepada survival Melayu, dan akan melakar bayangan Wajah Nasional Tahun 2020.      

Dukacita, kawe dah tak ada di Kajang lagi.
Dukacita kawe tak boleh mengundi di Selangor lagi.

Selamat Tinggal Selangor!

Moga Allah limpahkan hidayah dan baraqah-Nya kepada pengundi-pengundi Kajang agar membuat keputusan yang benar dan betul demi agama bangsa dan Tanah Bonda.                   

Permisi. Dengan izin-Nya kita akan ketemu lagi.

________
nota: 
lukisan itu saya hasilkan pada tahun 2008. Zaman Peralihan Fasa 1 Menuju 2020. Tajuknya: "KELIRU!"