Karya

Karya

Rabu, 19 Februari 2014

APABILA ANWAR MASUK KAJANG (2): Sir Alex Ferguson ganti David Moyes?

nota awal:
"politik itu macam bolasepak jugak. ada pemain. ada pengadil. ada piala. ada penyokong. ada pertaruhan kecil-besar. ada percaturan licik di sebalik tabir. bahkan ada yang mati kerana politik dan bola!"


Sesiapa yang minat bolasepak, tidak perlu diberitau siapa Alex Ferguson, dan apa yang sedang terjadi kepada prestasi Si Iblis Merah. Sesiapa yang minat Manchester United pula, yang minat sungguh-sungguh, dipupuk jadi peminat fanatik sejak baru reti menyepak bola di ruang tamu rumah sendiri, tentu naik sesak  dada setiap kali menonton Si Iblis Merah main bola tersiar di astro secara langsung.

Tidak kira main di padang lawan atau di Old Trafford, kehebatan Manchester United sudah terkikis banyak. Pasukan koman macam Sunderland itu pun boleh hentam pemegang rekod juara terbanyak BPL itu di gelanggang sendiri.

Kubu kukuh Old Trafford sudah goyang. Ada strukturnya sudah pecah-pecah dan retak-retak tunggu rebah. Jika tidak diambil langkah drastik untuk baik-pulih, peminat tegar tak payah mimpi nak tegok Si Iblis Merah masuk Liga Juara-Juara musim depan.

Silap congak boleh gelongsor bawah nombor sepuluh BPL!

Old Trafford sudah terlalu lama di tampuk kekuasaan Liga Inggeris. Era kepimpinan Sir Alex Ferguson selama hampir 23 tahun itu menjadikan Manchester United seolah-olah akan muncul juara BPL setiap musim, tak mungkin terkalah oleh siapa-siapa.

Tidak jirannya yang kaya-raya si Barisan Biru Manchester City atau Tentera Merah dari Anfield.

Tidak jugak pasukan budak-budak pencucuh meriam (roket) dari Stadium Emirates.

Macam tidak mungkin ketiga-tiga pasukan itu dapat mencalar betis mana-mana pemain Manchester United.

Itu cerita dulu.

Sir Alex Ferguson sudah mengundurkan diri. Terpancar di kaca tv  sekali-sekala jadi penonton yang tidak punyai kuasa untuk mengatur strategi atau menjual-beli pemain. Mana ada pemain nak dengar cakap orang tua yang bengkeng itu lagi.

Peminat setia yang jadi gerombolan Si Iblis Merah yang fanatik tentu hilang seronok apabila tiba hujung minggu. Entah pasukan kokak yang mana pulak yang akan memalukan Manchester United. Seri dengan pasukan seperti Fulham di Old Trafford dikira sudah kalah besar begitu!

Gitulah jadinya apabila pasukan hebat, kaya-raya dan tersohor  macam Manchester United diterajui seorang yang tidak berwibawa, tidak punyai rekod cemerlang, dan tidak punyai pengikut tegar seperti David Moyes.

Sudah kedengaran kritikan pedas daripada pemain ternama seperti  Rio Ferdinand.

Imej David Moyes mula tercalar dan terkikis. Goyang kedudukannya macam Manchester United yang tidak mungkin dapat rangkul mahkota BPL itu musim ini. Dan mungkin dua tiga musim mendatang gitulah nasibnya jika jejaka Scotland yang tak berapa bijak bicaranya itu masih memimpin Si Iblis Merah.

Itulah hakikatnya. Theatre of Dreams kini jadi Stage of Nightmares untuk peminat setia Red Devils. Selagi pemilik Manchester United tidak mengambil langkah yang wajar dan drastic untuk memendekkan khidmat David Moyes, kubu Old Trafford mudah diterobos mana-mana pasukan yang lekeh macam Swansea dan Cardiff dan yang makin gagah seperti Barisan Si Biru Manchester, Tentera Merah dari Anfield dan Budak-budak Pencucuh Meriam dari Stadium Emirates yang mahu meledakkan roketnya.  

Begitulah hitung-kiranya.

Jika David Moyes masih kekal di tampuk kepimpinan, Manchester di Old Trafford tidak akankekal United!
Begitulah hitung kiranya. Tak boleh tunggu lima tahun lagi. Krisis dalaman sudah menjadi retak yang lebar renggangnya.

Barisan Biru hanya tunggu perpecahan dari dalam saja. Tentera Merah pula memang terkenal tiada belas ehsan!

Bezanya kali ini, kira-kira 30 ribu penyokong akan menjadi penentu. Mereka akan menentukan siapa akan menang di gelanggang N25.

Kira-kira hanya sebulan lagi. Tempoh satu bulan yang sangat penting, yang akan menjelmakan Wajah Nasional 2020.

Kerana itulah Sir Alex Ferguson mahu masuk gelanggang walaupun terpaksa bermain jauh dari kampung halaman! Red Devils mesti diselamatkan segera. David Moyes sudah hampir pasti akan terpinggir. Kerana ada rencana mega untuk merampas mahkota di Stadium Putrajaya. 

Begitulah hitungan dan rasional penganalisis dan tukang atur strategi Serbegeth Rafizi.
Tapi kali ini bukan Wayne Rooney atau Van Persie yang menentukan kemenangan.
Ada kira-kira 30 ribu penyokong yang akan menentukan apakah  Sir Alex Ferguson akan menang di gelanggang N25, dan mencapai impian untuk menguasai tampuk pemerintahan di Shah Alam.

Permisi. Dengan izin-Nya kita bisa ketemu lagi.  

Tiada ulasan:

Catat Ulasan