Karya

Karya

Ahad, 16 Mac 2014

APABILA ANWAR MASUK KAJANG (3): ini bukan perjuangan Melayu!

Tidak ada sempadan tarikh dan usia yang sohih jika mahu diukur timbul minat terhadap politik dalam riwayat kawe. Bukan minat hidup aktif sebagai orang politik. Tapi lebih condong jadi pemerhati yang jarang-jarang mendekat dan kalau terlibat pun itu kadangkala saja secara sipi-sipi. Kerana kehendak kerjaya belaka tu.  
Ada beberapa faktor yang sangat mempengaruhi kawe cenderung politik ini.

Yang dikira paling kuat pengaruhnya ialah latar keluarga. 

Ikut ceritera bonda, umbi yang mengakari ‘darah politik’ itu asalnya daripada Tokki kawe. Arwah waktu muda-mudanya dikatakan pernah menjadi pengikut Tuan Guru Hj Abdul Rahman Limbong. 

Sewaktu komunis mengganas period Lepas Perang Jepun, orang Bintang Tiga ada mencari Tokki kawe itu di kampung. Entah apa salahnya tiada kawe usul. Tapi ikut sejarah Tanah Melayu, sekiranya ada Melayu yang ‘dicari’ Bintang Tiga,maksudnya tiada lain – mahu disembelihnya.Tokki kawe tidak tertangkap. Komunis yang mahu mengganas balas dendam di kampung kawe tidak kesampaian hajatnya. Maka tidak berakhir hayat Tokki kawe itu di tangan komunis.

Daripada cakap-cakap wartis-warah terdekat dan sesekali ada peluang keemasan bersembang dengannya, jelas pendirian Tokki kawe – perjuangannya adalah  untuk Melayu.

Ayahanda kawe pula seorang aktivis politik tahun 50-an hingga 70-an. Waktu itu dia kenal baik dengan beberapa watak utama politik Melayu peringkat negeri dan kebangsaan,  termasuk tokoh yang pernah tunjuk keberanian nombor wahid bertarung dengan Mahathir untuk jawatan Presiden UMNO.

Sesekali pulang dari kampus, kawe sempat berbual-bual  dengan ayahanda tentang perjuangan UMNO. Zamannya berbanding era 80-an. Kerana kawe ngaji sejarah di tingkatan enam dan waktu di kampus juga (sempat masuk kuliah dan tutorial Mahaguru Sejarah Profesor Khoo Kay Kim), maka bicara tentang Politik Melayu timbul ketika berdepan dengan ayahanda. Yang menarik, sembang-sembang secara khususnya kepimpinan Mahathir.

Singkat rumusannya tentang negarawan itu. “Dia tidak berjuang untuk Melayu!”

Kawe tidak pasti rasional ayahanda bertutur sebegitu. Apakah kerana sahabatnya kalah dalam pertarungan sengit dengan Mahathir? Atau benarlah ikhlas ulasannya itu kerana ayahanda hidup cergas dalam dunia politik Era Tun Abdul Razak dan Tun Hussin jadi PM. Jadinya tentu bicara tentang Mahathir itu berdasarkan perbandingannya dengan dua tokoh yang terdahulu.

Kawe percaya kepada pegangan ayahanda kerana dia seorang aktivis yang bergiat lama dalam politik. Lagipun dia adalah ayah kawe!

Tapi tanggapan kawe itu goyah jua. Pengetahuan lanjut tentang sejarah Tanah Melayu dan situasi kontemporari politik yang boleh diakses sendiri tanpa bergantung maklumat daripada ayahanda, mengubah perspektif kawe. Berkaitan hal politik Melayu dan Mahathir jugak.

Telaah buku Dilema Melayu. Tafsir agenda Wawasan 2020. Menghitung-ukur tindakan-tindakan Mahathir dalam tempoh sepuluh tahun pertama jadi PM. Berpeluang membaca koleksi ucapan-ucapan presiden UMNO dari  Zaman Tunku hingga Mahathir. Tidak terelak, maka hadir perspektif yang berbeza.

Saya mulai percaya Mahathir bukan sebagaimana tanggapan ayahanda kawe. Dia adalah pejuang Melayu! Pendapat umum waktu itu serupa itu jugalah. Mahathir wira Melayu.

Apabila Kes Liwat Termasyhur (KLT) terjadi, dan berlakulah malapetaka yang menimpa umat Melayu yang turut mengubah scenario politik, social dan ekonomi Tanah Bonda, tsunami paradigma sendiri pun tunggang-terbalikkan akal budi kawe.

Persekitaran politik yang kucar-lanar bukan sekadar menggugat  kredibiliti kerajaan, malahan perjalanan sistem keadilan dikecam habis-habisan, dan penguat-kuasaan undang-undang (kepolisan) jadi bahan lelucon.

Maka jadi kelabulah akan siapa yang berjuang untuk Melayu dalam waktu maha gawat itu.
UMNO sebagai parti orang Melayu pula sudah jadi sangat goyah dan tercemar reputasinya.

Tiba-tiba Mahathir bukan lagi wira Melayu. Malahan dia ditempel dengan beberapa gelaran yang tercela.

Mahathir bukan wira. DSAI yang menentangnya itulah diangkat sebagai wira rakyat. Situasi gawat serba-serbi hujung 90-an itu macam itulah nampaknya. 

Bahkan dalam novel  SHIT karya SN Profesor Shahnon Ahmad, Timbalan Perdana Menteri yang dipecat waktu itu diangkat sebagai hero dengan nama Wirawan!

Tapi kawe tak pasti pula, apakah wirawan itu simbol hero Melayu atau tidak. Samar-samar sebenarnya.     

Dalam situasi gawat serba-serbi itu, muncul DSWA sebagai membawa obor perjuangan suaminya. Sewaktu pelancaran Parti Keadilan yang lambangnya mata (ambil aura kes mata lebam), diperdengarkan Teman Sejati sebagai lagu tema. Merujuk khusus kepada DSWA.                

Tapi DSWA terang dan lantang mengisytiharkan parti dipimpinnya itu bukan berjuang untuk Melayu!

Awal kempen PRK di Kajang (sebelum jatuh hukuman baru sabit kes liwat mega) wakil-wakil  PAS, PKR, DAP, BERSIH  bergabung di atas pentas menjadikan PM Pertama Persekutuan Tanah Melayu - Tunku Abdul Rahman al-Hajj - sebagai model perjuangan Pakatan Rakyat. Asasnya gabungan itu bersetuju dalam Forum Legasi Tunku itu bahawa mereka berjuang untuk Malaysia bukan untuk Melayu. Kata-kata Tunku jadi ‘slogan perang’ PRK N25.

Dalam forum di New Era College itu, DSAI dikatakan buat rumusan betapa masa depan rakyat bermula di Kajang!

Seingat kawe, sejak layak jadi pengundi pertengahan 80-an, dan turun mengundi dalam tiap PRU (kecuali waktu mastautin di UK empat tahun pertama alaf baru), inilah pertama kali kawe dengar  kata-kata Tunku ‘jadi azimat’ dalam kempen politik PAS, DAP, dan PKR.

Nampaknya, Forum Legasi Tunku itu jadi pentas untuk melonjak-kukuh Gagasan Malaysia parti-parti yang berkaitan.  

Setahu kawe, sebahagian pemimpin utama parti yang berkongsi pentas dan bergabung gagasan di New Era College itu sebelum ini tidak pernah me-wira-kan Tunku. Malahan sebahagian kata-kata serta tindakan Bapa Kemerdekaan itu lazimnya menjadi bahan momokan politik semata-mata!

Situasi kontemporari sempena PRK Kajang sudah terbalik kuang. Kata-kata dan tindakan Tunku menjadi ‘keramat dan  azimat’.  

Tujuannya boleh dirumuskan begini:-
                     1) Untuk terus mengukuhkan sokongan Cina kepada Pakatan Rakyat. 
                     2) Dalam waktu yang sama menyatakan perjuangan parti masing-masing bukan untuk Melayu.

Lantas mudahlah jua diambil kesimpulan: antara sebab pemilihan DSWA jadi calon kerana sudah jelas dinyatakannya lama dulu bahawa perjuangan partinya bukan untuk Melayu!

Jika PRK N25 yang diadakan di suatu kawasan majoriti Melayu itu dikatakan bukan untuk Melayu, lantas untuk siapa?

Permisi. Dengan izin-Nya kita bisa ketemu lagi. 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan