Perkenalan pertama dengannya mudah dan singkat. Berkawan pula tidak lama. Tak cukup setahun, kawe pindah ke Darul Iman.
Kawe ketemu dia di masjid. Lepas solat Jumaat. Biasanya kawe keluar lambat dari dewan utama Masjid Sungai Ramal Dalam.
Sudah jadi kebiasaan. Kawe akan keluar ketika yang tinggal imam, bilal dan petugas-petugas yang kira wang daripada tabung.
Melintasi ruang solat tambahan, kawe akan ketemu Pak Karim. Tok Siak yang pandai dalam soal seni-tanaman, dan ringan tulang jika diminta bantuan. Selepas bersalaman dan berbual sekejap, kawe akan bergegas ke parkir, mahu cepat pulang ke rumah kerana Ney-ney sudah menunggu untuk berjamu tengahari.
Pada suatu Jumaat kawe terlekat lama di masjid. Budak-budak sekolah yang bersamping hijau dua tiga orang yang selalunya bantu Pak Karim tak kelihatan. Anak-anak Pak Karim juga tak ada. Yang ada dua jejaka yang jimat bicara tapi bersungguh-sungguh mahu cepat selesaikan kerja gulung, lipat, pikul dan susun permaidani, tikar dan sejadah ke dalam stor.
Maka tergerak rasa nak tolong Pak Karim gulung tikar dan permaidani.
"Larat ke nak buat ni?" Pak Karim yang mudah senyum itu ketawa kecil. "Sakit pinggang karang, boleh susah pulak!" usikannya bersambung tapi tak bersambut sesiapa.
Kawe senyum sikit dan sekejap. "Boleh. Takdak masalah. Nak buktilah ni!" Kawe segera mula menggulung permaidani yang pertama.
Ugh, dalam lambat-lambat buat kerja masih mampu lagi gulung dan pikul permaidani sekeping. Tak sebesar mana, cuma agak panjang. Gulung-gulung jadi saiznya sebesar batang kelapa! Terus jugak tolong Pak Karim hingga habis walaupun muka dah terasa pucat dan badan mulai dingin berpeluh. Dah terlajak nak tunjuk handal, mana boleh berenti lagi. Malu besarlah.
Masih ada kemampuan tapi tak secepat dan sebanyak yang dibuat Pak Karim yang berbadan tegap itu.
Kami sama-sama gulung dan pikul hamparan di bahagian yang lebih luas dan banyak kepingan permaidani.
Hampir habis baru kawe perasan ada seorang pemuda buat kerja sorang-sorang. Kerja senyap-senyap di bahagian atas tangga bersebelahan tempat ambil wudhuk.
Kurus orangnya. Pakai Baju Melayu biru, berseluar kelabu. Songkoknya tidak dapat menyembunyikan rambut lurus turun mencecah bahu.
Hari itu, lepas habis kerja gulung, lipat, pikul dan susun itu kami singgah di warung tepi jalan besar Sungai Ramal Dalam. Popular warung ini. Pagi dan tengahari selalunya ramai pengunjung. Kalau Jumaat, sebelum solat ramai yang singgah.
Nama taukenya Mat. Budak-budak sekolah gemar singgah di sini. Magnetnya ialah permainan video dalam bilik hawa dingin.Tempat makan hanya tersedia kipas angin besar yang keluar semburan partikel air.
Itu harinya bagaimana kawe mula berkenalan dengan pemuda itu.
Selepas itu, tiap selesai solat Jumaat, rasa seronok pula bercampur 'pasukan' gulung, lipat, pikul dan susun permaidani, tikar dan sejadah. Tapi yang pergi makan-makan di warung Tauke Mat itu kami bertiga saja.
Beberapa kali bertemu masing-masing cerita sikit-sikit tentang latar diri.
Syafiq. Bujangan. Usia dua puluhan. Pemain gitar, dan boleh gubah lagu. Ada kugiran sendiri.
Segera datang lintasan: kawe nak mintak gubah lagu tema untuk novel Waris Kalung Naga.
Setuju dia tanpa musykil. Liriknya kawe tulis. Lagu itu dirakam di rumahnya. 'Studio'nya amat sederhana. Lebih tepatnya bukan studio rakaman pun. Kita cerita lain ruang tentang itu.
Kerana tiada pilihan, suara kawe dirakam untuk latar. Jika nak mintak orang lain yang bagus-bagus, kena bayar mahal!
Visual pula diambil dengan permisi daripada hasilan animasi NetCarbon, syarikat multi-media milik pemuda Kelate yang terbitkan siri Super Tots di TV3.
Ada terkehel sikit, tak jadi video klip tu masuk youtube. Sebab hasrat nak masuk studio di NetCarbon untuk buat rakaman suara latar tidak menjadi.
Akhirnya, lagu tema ciptaannya itu (dengan izin) kawe jadikan muzik latar untuk promosi novel on-line Rimau di Tepi Tasik http://www.youtube.com/watch?v=tJElFrdAevo
Beberapa kali kawe makan-makan di luar sesi pertemuan lazim lepas solat Jumaat. Kami selalu bertemu di Restoran Nim Little Island.
Biasanya Syafiq datang dengan imej amat berbeza dengan pertemuan di masjid.
Rambut lepas bebas mencecah bahu sengaja dibiarkan mengerbang. Ketika kami makan-makan dan sembang-sembang itu, kawe perasan ada mata-mata yang curi-curi pandang. Mungkin pelik tengok dua watak yang kontras nampak berkawan baik. Seorang pemuda rambut panjang, t-shirt sendat pakai jeans ketat boleh duduk-duduk dengan lelaki separuh abad, udah ketara uban, pakai jubah dan berkopiah!
Sewaktu Ramadhan tahun itu (2012) ada juga kawe ketemu Syafiq berjemaah di Surau al-Umm. Sempat sembang-sembang sewaktu jamah hidangan lepas tarawikh.
Sejak hijrah kekal di Darul Iman, kawe tak berhubung lagi dengan Syafiq. Sesekali tengok juga perkembangannya di Fb. Nampak makin rancak dan ligat dia dengan dunia seninya.
Kemarin melintas mesej daripada Syafiq, beritau tentang karya baru gubahannya. Lagu penghormatan untuk anak kapal dan penumpang MH370. Begitu kira-kira maksud ayat tertulis mengiring muzik video itu.
Apabila kawe dengar di youtube, terharu rasanya. Seorang pemuda serba sederhana seperti Syafiq bisa menghasilkan karya sebegitu. Prihatin senghoti dia akan episod malang dan duka insan yang lain.
Syafiq (nama seninya Rex Strike) merupakan seorang pemain gitar kumpulan rock Nuclear Strike.
Lagu khas untuk MH370 itu dia yang cipta melodi dan gubah muziknya.
Syafiq, rupa-rupanya kamu seorang rocker yang prihatin.
Bangga kawe punyai kawan seperti kamu.
Seorang rocker yang ikhlas berdoa untuk kebajikan insan yang ditimpa malang. Tidak sesekali ghairah menyebarkan khabar angin seperti segelintir pengkarya siber yang lain.
Syabas, Syafiq!
Sahabat alam siber sekalian, jika ada kelapangan, mari sama-sama hayati lagu ini.
http://youtu.be/cPHMFAPCxdI
DOA DARIPADA SEORANG ROCKER YANG RAJIN KE MASJID, UNTUK KESEJAHTERAAN ANAK KAPAL DAN PENUMPANG MH370.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan