Karya

Karya

Ahad, 26 April 2015

ceritera Tok Guru (2): KEGHAIRAHAN NAK LIHAT KEAJAIBAN!



Ketika kesedihan menggantikan cerah putih biru awan-gemawan, dan ratapan bercampur-baur dengan bacaan ayat-ayat suci menggantikan nyanyian alam, pada period itu jadi viral-lah juga suatu gambar yang dikhabarkan dirakam di Pulau Melaka.
Yang ditonjolkan dan dihebah-hebohkan itu ialah imej yang dikatakan terbentuk di atas kubah masjid di kawasan perumahan al-marhum Tok Guru. Seolah-olah ternampak awan menyimpul dan berpintal membetuk kalimah maha agung ‘Allah’.
Begitu yang dipercayai ramai orang. Ketika terpintal awan jadi sebegitu, ramai sungguh orang di dalam masjid di perkarangan rumah al-marhum. Tentunya mereka itu ralit dan ikhlas tahlil, tahmid, takbir dan membaca ayat-ayat suci seperti lazimnya penziarah yang reti adab sopan ketika hadir di suatu kematian. Apatah lagi kewafatan seorang tokoh yang tersohor melepasi sempadan Tanah Melayu dan Nusantara.
Maka bergerak terlalu pantaslah berita membawa imejan itu: ‘Ada kalimah suci seolah-olah perkataan Allah sudah terbentuk di atas kubah masjid TokGuru ketika jenazah al-marhum sedang dipersiapkan. Begitulah yang sangat diyakini ramai orang.
Apakah ini suatu karamah yang melambangkan kehebatan al-marhum?
Kadangkala apa yang diimpiankan jadi keterlaluan, dan yang dicita-citakan sangat-sangat mahu terjadi maka itulah yang nampak macam betul-betul terzahir. Tambahan apabila banyak orang yang mahukan ia terjadi walaupun mustahil barangkali dirakam lensa kamera, maka terjadilah jua ia jika tidak pun dalam alam nyata, tetap terbentuk dalam minda masing-masing yang teruja dan memuja!
Al-Marhum seorang ahli politik terbilang malahan seorang Tok Guru yang mashyur pula. Tentunya ramai orang percaya akan berlaku keajaiban dan karamah sebagai petunjuk kehebatannya itu. Sebagai sesuai dengan peribadi dan tanggapan orang-orang yang terlampau menyayanginya sampai tahap pemujaan.
Begitulah jugalah dengan posting dalam Grup WhatsApp saing-saing lama kawe yang cuba memaparkan karamah yang sedemikian rupa (seperti posting terdahulu dalam blog kawe. Sila jenguk).
Dinukil puisi kecil membawa maksud yang berani dan lantang betapa bah mega yang membawa malapetaka itu adalah kerja pembersihan bumi sebagai persediaan untuk menerima jasad insan yang disayangi terlalu ramai orang itu. Hujan lebat yang menjadikan kucar-lanar dan meningkatkan isipadu air menenggelamkan Gua Musang dan Kuala Krai itu dikatakan fenomena langit menangis dan meratapi lebih  awal sebelum kewafatan al-marhum!
Metafora dan analogi sekaligus yang diungkap dalam puisi kecil itu terjadi tidak lain lagi sebabnya kecuali realiti dan fantasi sudah jadi sebati. Sempadannya terkambus oleh impian dan ketakjuban yang melampaui batasan!
Hakikatnya, bukan fenomena luar biasa jadinya apabila imej awan bersimpul-kait berpintal menjadi kalimah agung Allah! Hakikatnya, tidak perlu dikaitkan dengan karamah insan atau keajaiban ilmu seseorang.
Apabila melibat posting itu berlegar dalam beberapa grup WhatsApp yang kawe inapi, maka segeralah teringat akan sekeping gambar yang tersimpan dalam tumbdrive.
Kawe belek-belek folder, maka terjumpa jua gambar yang dirakam di UTM, Skudai kurang-kurang lima tahun dulu.
Ketika itu kawe baru sudah solat sunat. Dalam ronda-ronda lihat keliling sementara menunggu Lateefa dan anak-anak selesai munajat di dalam masjid, kawe ketik kamera telefon mobil. Balik ke KL, apabila kawe nak tulis tentang pertemuan dengan seorang sahabat yang dah lama jadi pensyarah di IPTA itu, barulah terperasan gambar masjid yang dirakam ketika duk tunggu yang tersayang dan anak-anak itu, ada suatu keanehan.
Berapungan berhampiran kubahnya nampak seolah-olah awan saiz kecil terpintal membentuk kalimah agung - Allah!
Kawe tunjuk kepada anak-anak dan beberapa kawan. Tidaklah mereka itu teruja nampaknya. Gerak badan dan bicara spontan refleksi betapa mereka tak kisah dan tidak percaya!
Apabila tersebar dalam grup WhatsApp disertai hebah-heboh foto kalimah yang dikatakan terbentuk di atas kubah masjid di Pulau Melaka, kawe lihat ramai bangat yang percaya tanpa takwil.
Ini bersebab. Kerana karamah atau keajaiban dipercayai boleh berlaku kepada orang-orang yang tinggi darjat ketaqwaan dan keimanan serta punyai prinsip teguh perjuangannya dalam Islam.
Sebab itu apabila gambar terpintal awan di atas kubah membentuk kalimah Allah, itu dipercayai sengoti oleh ramai penghuni  laman-laman sosial.
Perihal karamah dan keajaiban yang berlaku ketika perginya orang baik-baik dan diketahui ketaqwaan dan keimanannya, pernah kawe tengok sendiri ketika jenayah dimandikan.
Sewaktu air dilalukan ke tubuh yang terkujur, tiba-tiba mencurah hujan di atas atap. Nampak jelas sengoti betapa curahan hujan berlumbaan hinggap di atas sekeping atap yang transperen.
Cuma semua yang ada dalam bilik mandian jenazah tidak berkata apa-apa. Tidak dalam bilik itu. Dan tidak dihebah-hebohkan ketika ketemu para tetamu atau ketika tahlil. Tapi kejadian itu tidak aneh jika benarlah berlaku dan bukan ‘kesilapan mata’ atau pukauan sihir. Kerana almarhumah dikenali sebagai seorang yang baik hati, tidak mudah tersembur api amarah, taat kepada suami, dan masa lapangnya bukan di depan tv tapi terisi dengan mengaji. Tiap subuh Jumaat diceritakan anak-anaknya almarhumah tak pernah terlepas berjemaah di masjid kerana mendombakan sujud sajadah. Amalan yang dipusakai daripada sumainya – seorang imam yang disegani.
Dia adalah seorang guru mengaji yang sudah sukar bangat mahu dicari kini, yang boleh mengajar al-Quran dari arah bertentangan dengan muridnya yang mengadap kitab suci. Dibaca dari sudut yang terbalik itu lancar tiada cacat! Bahkan orang yang mengadap al-Quran itu pula tergagap-gagap bacaannya!
Lantas tidak heran kalau terlalu ramai yang percaya dengan peristiwa kalimah Allah terpintal di atas kubah masjid Kampung Pulau Melaka. Tersebar berita itu cepat dan meluas , tanpa perlu disohihkan orang udah percaya.
Kawe ini siapa?
Tunjuk gambar rakam sendiri kalimah terpintal di atas kubah masjid UTM Skudai, tak bilangan pun yang ambil peduli. Nampak reaksinya macam kawe udah guna perisian tertentu untuk sunting.
Sumpah tidak bohong. Patutnya kawe bersumpah di masjid. Baru orang ambil pusing, dan mungkin akan percaya!  Kalau tak percaya, itu tandanya tak percayakan Tuhan!  Sebab kawe udah sumpah dengan nama Tuhan.
Kalau tak silap kawe, rasa-rasanya ada Pak Menteri yang sebut lagu tu pada tahun 2015 ini!
Ugh, politik orang parti yang jadi menteri!
Molek kembali pada soal  foto kalimah terpintal di atas kubah.
Itu gambar kawe rakam dengan telefon mobil di laman masjid UTM, Skudai.
Pada waktu itu sekumpulan remaja sedang bersila melingkungi seorang guru, dalam kelas al-Quran ngaji ramai-ramai di dewan solat utama. Lokasinya betul-betul di bawah kubah masjid!

Apakah dengan bacaan ayat-ayat suci secara ramai-ramai begitu di masjid UTM dan di Masjid Pulau Melaka menyebabkan terpintal awan membentuk kalimah agung – Allah? 
Hanya Dia jualah yang Maha Mengetahui. Hanya Dia-lah Yang Maha Bijaksana. Hanya Dia-lah Yang Maha Pencipta. Hanya Dia sahajalah Yang Kekal Abadi!
Awan terpintal menjadi kalimah atau bentuk apa jua, itu semua adalah atas kehendak-Nya.
Maksud firman Allah, “Apabila Dia menghendaki sesuatu hanyalah dikatakan: ‘Jadilah’, maka terjadilah ia.” (surah Yaasin; ayat ke-82)
Soal karamah atau keajaiban itu adalah dalam pengetahuan dan kekuasaan-Nya jua.
Yang penting janganlah kita menggunakan kecanggihan teknologi maklumat (laman sosial dan seumpamanya) untuk cipta sensasi yang bertapak pada pembohongan hasil rekaan teknologi ICT jugak.
Jika kita teruja amat mahu melihat keajaiban dan karamah, kadangkala tersilap langkah dan menyebar maklumat yang palsu. Jika itu kita lakukan, maka jadilah kita seperti dimaksudkan dalam terjemahan hadis berikut:-
Sabda Rasulullah SAW, "Tanda-tanda orang munafik ada tiga iaitu, apabila berbicara ia bohong, apabila berjanji ia berkhianat dan apabila dipercaya ia curang" (Bukhori dan Muslim)
Permisi. Dengan izin-Nya kita bisa ketemu lagi.


NOTA:SILA BANDINGKAN KEDUA-DUA FOTO BERIKUT.

 
     1. KALIMAH TERPINTAL DI ATAS KUBAH MASJID UTM, SKUDAI   
     2. KEJADIAN HAMPIR SERUPA DI ATAS KUBAH MASJID KG PULAU MELAKA, KELANTAN.