nota awal: tersiar dalam akhbar dan blog tertentu, segelintir rakyat Malaysia berpiket di laman Masjid Nabawi, dan di sebuah restoran letaknya berhampiran Masjidilharam.
______________________________________________________
"Hamba-Mu datang menyahut penggilan-Mu ya, Allah. Hamba-Mu datang menyahut panggilan-Mu yang tidak ada sekutu bagi-Mu. Sesungguhnya segala pujian dan nikmat adalah kepunyaan-Mu yang tidak ada sekutu bagi-Mu."
Selepas memakai ihram dan berniat miqat di Bir Ali (Zulhulaifah), tiada lain yang menaikkan semangat para jemaah, inilah talbiah yang diulang-ulangi ketika perjalanan dari Kota Madinah menuju Kota Suci Mekah untuk menunaikan ibadah umrah atau haji. Tidak tergambar kesayuan dan kesyahduan di dalam bas. Sayu menusuk jauh ke sanubari kerana kita terasa sangat bertuah. Ini nikmat Allah yang amat besar dikurniakan-Nya kepada kita. Sepanjang hayat dalam kandungan badan. Bukan mudah untuk sampai ke Tanah Suci ini. Apatah lagi kita menjadi tetamu-Nya pula! Kebanyakan jemaah tidak upaya menahan air jernih yang turun deras hanya hentinya di hujung dagu.
Sebilangan kita tidak sampai hajatnya untuk menjejak kaki ke sini, hingga kembali dia kepada Yang Maha Pencipta tanpa punyai kesempatan merasai nikmat dan hikmah menunaikan haji dan umrah. Tentulah ada bermacam sebab yang munasabah menyebabkan gagal dia menunaikan sebahagian kewajipannya sebagai seorang Muslim. Orang yang masih hiduplah sepatutnya menggandakan usaha untuk berhasil sampai ke sana. Menjadi tetamu yang diredhai Allah.
"Orang yang mengerjakan haji dan umrah adalah tetamu agung kepada Allah swt, sekiranya mereka berdoa kepada-Nya nescaya Allah perkenankan doa mereka, sekiranya mereka mohon keampunan-Nya nescaya Allah ampunkan mereka." (terjemahan hadis diriwayatkan daripada al-Nasa'iy dan Ibnu Majah)
Manakala orang-orang yang berpeluang menunaikan umrah dan haji, alangkah beruntungnya mereka. Ketika di Kota Madinah, berupaya menunaikan ibadah di Masjid Nabawi itu sudah amat besar ganjarannya.
"Satu solat yang dikerjakan di masjidku ini (Masjid Nabawi), lebih utama dari seribu solat di masjid-masjid yang lain kecuali Masjidil Haram." (terjemahan hadis diriwayatkan oleh Abu Hurairah terkumpulan dalam Shahih Bukhari & Muslim).
Kemudian, ketika di dalam Masjid Nabawi pula, jemaah berlumbaan untuk merebut peluang menunaikan solat di kawasan Raudhah (satu daripada taman-taman syurga). Bayangkan nikmatnya jika kita berkesempatan menunaikan solat sunat tahajud, witir dan fardhu Subuh di dalam taman yang kudus ini!
Soalan Satu: Wahai Haji, apa perlunya rentang kain di laman masjid yang tersohor ini? Keberkatan itu di dalamnya, bukan di kawasan pejalan kaki!
Maha Suci Tuhan yang memberikan hidayah kepada nenek-moyang kita, maka kita pun lahir, membesar, hidup di atas lantasan agama yang diredhaiNya. InsyaAllah kita mohon supaya mati kita pun di atas jalan yang benar, di dalam hidayah dan keredhaanNya jua.
Satu anjuran Islam yang amat bermakna dan sungguh bermanfaat ialah hidup berjemaah (bermasyarakat dan berorganisasi). Ini suatu tanda kesatuan ummah. Bersatu teguh, bercerai roboh. Kerana itu, solat berjemaah itu sangat dituntut dalam agama. Ganjaran pahalanya berganda banyaknya daripada sembahyang sorang-sorang.
Ketika di Kota Suci Mekah, jemaah mendombakan solat di MasjidilHaram. Di situ letaknya Baitullah. Rumah ibadat, Rumah Allah yang pertama dibina di atas muka bumi ini. Di beberapa bahagian Kaabah itu dikatakan ada tempat-tempatnya mustajab untuk berdoa. Antaranya: depan pintu Kaabah, hijir Ismail, dan Multazam. Bukan berdoa sahaja, malahan jika tidak mampu mendekatinya kerana kesesakan jemaah, melihat (merenungi) bangunan Kaabah itu pun sudah dikatakan beroleh pahala. Sebab itulah agaknya, ada sebilangan jemaah yang seakan-akan melekatkan badan di dinding Kaabah dalam keadaan meratapi diri. Entah kerana taubat dan insaf, entah kerana gembira yang amat.
Selain dua masjid tersohor ini, Padang Arafah merupakan tempat dikatakan sangat mustajab untuk berdoa. Di sini, di kaki Jabal Rahmah turunnya ayat ketiga surah al-Maidah tentang perakuan Allah terhadap kesempurnaan Islam sebagai satu-satunya agama yang diredhaiNya. Wukuf di Arafah ketika musim haji pula merupakan Rukun Haji. Khutbah terakhir Rasulullah sebelum kewafatan Baginda, disampaikan di Padang Arafah inilah juga.
Soalan Dua: Wahai Haji, kenapa tak pergi rentang kain di Padang Arafah, betul-betul di kaki Jabal Rahmah? Kenapa tak panjat Jabal Rahmah dan pacak sepanduk di puncaknya? Barulah seronok dan boleh bermegah. Kerana ramai jemaah global boleh menonton keberanian anak Malaysia!
Bukan berani namanya jika sekadar main rentang kain di dalam sebuah restoran, yang letaknya di luar laman Masjidilharam, dan jauh pula dari Jabal Rahmah!
Permisi. Bisa ketemu lagi.
foto: berita dipetik daripada sebuah akhbar perdana, Ahad 6 Mei 2012. .
Bersihkan hati, jiwa raga sebelum ke tanah suci...
BalasPadamBerdemo di dataran agar suara mereka didengar oleh dunia luar.. berdemo di mekah agar suara mereka didengar oleh luar dunia.. cam berpuisi lak aku..
BalasPadam-aku anonymous-
hai 'aku anonymous', hebat mun. org pandai berpuisi biasanya rajin berfikir. dlm puisi ada falsafah. err falsafah piket tu :-)
Padam