Karya

Karya

Sabtu, 19 Mei 2012

SELAMAT HARI GURU. MOGA TENANGLAH JIWAMU, CIKGU!


Menonton forum perdana sempena hari guru tak habis. Sekerat jalan sudah alih siaran. Kerana seorang panelnya orang politik, tidak dapat lari dia daripada imej parti yang diwakili. Petah dia bicara tetapi boleh dipegang tang mana agaknya kata-kata hebat dan bijaksana politikus? Seorang lagi motivator yang terkenal. Tertarik jua kepada sebutannya tentang suatu kajian. Katanya dilakukan terhadap tujuh ribu orang guru sebagai responden.

Dapatan yang diroyak itu suatu gambaran pilu: 70 peratus guru sakit jiwa! Entah bila kajian itu dilakukan saya tidak pasti. Kata sang motivator di sekolah-sekolah tertentu di beberapa negeri. Tapi dapatan itu banyak pula timbul sangsinya:

Tidak pula dinyatakan tentang status sekolah berkenaan.
Tidak diketahui sekolah rendah atau menengah.
Tidak dinyatakan guru-guru itu lepasan IPTA atau IPGM.
Tidak dinyatakan lokasi sebenar (luar bandar, pedalaman atau di tengah-tengah kotaraya).
Tidak diberitau guru subjek apa yang paling sakit hatinya?

Kemudian motivator (bekas pensyarah komunikasi sebuah IPTA) sebut lagi ranking yang menyedihkan juga. Katanya, dari segi ranking stress profesion, guru duduk di tempat keempat selepas warden penjara dan jururawat! Ugh, sayang sekali, profesion yang mana jadi ‘juara stress’ tak tertangkap dek telinga pula. Tak pasti sama ada FRU, polis atau doktor yang duduk di puncak.

Itu kesedihan di hari sepatutnya kegembiraan kepada warga guru kerana dihargai seluruh negara. Malahan ahli politik turut membaca beberapa bait dikutip daripada sajak klasik dan tersohor karya SN Usman Awang. Memang hebat sajak itu. Jadi benar dan percaya kita pula kepada kata-kata orang politik kerana yang diucapkan itu ungkapan hatinurani seorang pujangga yang tiada memihak belah mana-mana, tidak dikibarkannya bendera siapa-siapa.

Cuma naik pelik jugak dengar data kajian macam tu. Kalau begitu teruknya 'merana jiwa cikgu', watpe pulok tiap tahun lepas keputusan SPM, kira-kira seratus ribu (100,000) mohon masuk IPGM nak jadi cikgu? Yang dipanggil temuduga sepuluh ribu (10,000). Yang dapat tempat di IPGM maksimumnya enam ribu (6,000) saja. Kalau benar jadi cikgu boleh menyebabkan sakit jiwa, maka yang enam ribu dilatih tiap-tiap tahun itu boleh dikatakan untuk graduate jadi 'pesakit jiwa' gamaknya. Yang 'jiwa merana' inilah, jika ditempatkan di sekolah-sekolah di seluruh Tanah Bonda, maka akan jadi benarlah kata pujangga tentang "Guru kencing berdiri, anak murid kencing berlari!" Rupa-rupanya barulah hari ini saya faham maksudnya. Yang kencing berdiri itu guru-guru yang merana itulah! Tapi pelik juga. Sekarang ini tandas memang dibina supaya guru tak boleh kencing sambil duduk. Jadi, yang salahnya tukang rekabentuk tandaslah. Sengaja direkanya tandas yang memaksana 'guru kencing berdiri'!

Sempena Hari Kegembiraan Para Guru, akhbar perdana muka depannya sarat dengan Hadiah Mega Hari Guru! Dua puluh empat ribu (24,000) guru dinaikkan pangkat. Tak tahulah sepatutnya sudah lama atau sengaja ditunggu Hari Guru baru diisytiharkan oleh sang penguasa! Macam juga bonus dan kebajikan yang dihebohkan sewaktu Hari Pekerja.

Guane-guane pun, bagus belaka tu. Syabas guru sekalian. Moga-moga sebahagian besar yang naik pangkat itu termasuk jua yang menjadi responden kajian disebut ahli motivasi tersebut. Kurang-kurang itu boleh mententeramkan jiwa yang sakit kerana terbeban dek tugas yang banyak.

Kalau ikut Menteri yang menguruskan hal pendidikan, agenda terbesar ialah untuk melaksanakan suatu transformasi. Pelbagai pihak dirujuk dan diajak bincang. Ini suatu bentuk Perundingan Pendidikan Jelajah Malaysia. Yang terbaru di Putrajaya. Rakyat boleh beri pandangan, ramai pakar diajak bincang. Bagus sekali.

Hari ini (Sabtu 18Mei 2012), menyusul pula berita muka depan akhbar perdana: pendidikan negara bakal berubah. Bukan setakat tadika, malahan lebih awal lagi. Yang masih dalam buaian itu pun akan dititik-beratkan soal pendidikannya. Konsep terbaru ini ‘pendidikan dari buaian hingga kerjaya’.

Ikut berita itu, mahu melahirkan Pemenang Hadiah Nobel melalui pendekatan yang terbaru ini. Sudah pakat sign MoU di New York. Mahu guna model pendidikan dari Amerika Syarikat, yang sudah diguna di 27 negeri di sana.
Kalau tak silap, awal tahun banyak jugak cakap-cakap daripada autoriti nak guna model pendidikan dari Australia. Tak tahulah pulak jika itu hanya untuk menggagah bahasa Inggeris di Persekutuan Tanah Melayu ini.

Lantas, yang nak guna model buatan New York ini guane pulok?

Menteri Pendidikan sedang keliling negara ajak rakyat dan jemput pakar bincang transformasi. Delegasi Dato’ Bendahara terbang ke New York kerana berkenan model pendidikan yang hebat dan sempurna barangkali.

Di Hari Guru, di samping hadiah naik pangkat, cikgu sekalian dapat pula peluang besar melaksanakan model terbaru untuk sistem pendidikan kita. Model sempurna dari Barat kerana sudah dilaksanakan di 27 negeri di Amerika Syarikat.

Mungkin di Forum Perdana tahun depan sempena Hari Guru, pakar motivasi akan beritau kita dapatan baru kajian terkini. Sudah sangat kurang guru yang sakit jiwa. Tiada kedengaran guru terkeliru akalnya. Kerana model pendidikan sempurna yang boleh melahirkan Pemenang Hadiah Nobel bisa menyelesaikan banyak kecacatan dalam sistem yang ada sekarang.

Cuma satu musykil: Tranformasi Pendidikan yang dicanangkan seluruh tanahair itu yang mana pulak? Ugh, jelajah seluruh tanahair, MoU-nya dimeterai di Amerika.

Selamat Hari Guru. Tenteramkan jiwa. Usahlah keliru, wahai cikgu!

Bisa ketemu lagi. Wassalam.

keratan akhbar. MoU di New York.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan