Karya

Karya

Ahad, 13 Mei 2012

SELAMAT HARI IBU. JANGAN BUANG ANAKMU!

khusus kepada segelintir insan yang tidak mahu menjadi ibu, tapi tidak bisa mengelaknya.


Ini bukan zaman Firaun. Ketika anak-anak (bayi) lelaki dibunuh kerana bisa menjatuhkan mahkotanya.

Kerana kasih seorang ibu, dan taatnya kepada perintah Yang Esa, anak kecil dihanyutkan di dalam peti. Tidak rela melihat anaknya terkorban dek kezaliman pemerintah yang rasa dia adalah Tuhan! Tapi anak dari kalangan rakyat itu, akhirnya terdidik dan dibesarkan dalam istana Firaun jua. Bahkan disusukan oleh ibu kandungnya (Yukabad) pula. Firaun tidak sedar pun, inilah seorang anak yang mahu dihapuskan seluruh generasinya.

Kerana ibunya seorang yang beriman dan bertawakal, anak yang difikirkan tiada peluang untuk hidup, terpilih menjadi Pesuruh Allah. Membawa risalah ‘amal maaruf nahi mungkar. Kekayaan, kekuasaan dan kekuatan pemerintah yang zalim terkubur ditelan lautan.

Ini bukan zaman Firaun. Tiada pemerintah yang membunuh budak-budak lelaki kerana khuatir tergugat mahkotanya. Yang ada, ibu-ibu yang mengorbankan anaknya (tak kira lelaki atau perempuan) atas alasan keterlanjuran.

Ingat, kamu bukan Maryam! yang melahirkan seorang putera tanpa bapa, tapi asal kejadiannya (bayi itu) daripada roh yang kudus. Maryam itu perawan suci, daripada keturunan baik-baik, terdidik dalam bimbingan seorang Nabi, iaitu Zakariya.

Sanggup sang ibu kembali dengan mendukung anak kecil berdepan masyarakat (yang jahil dan kufur) atas nama kebenaran. Anak yang masih kecil bisa berkata-kata menidakkan tohmahan dan fitnah. Tapi manusia yang kufur bertelagah pada perkara yang lain pula. Berselisihan tentang Tuhan yang dipercayai mereka mempunyai anak - Nabi Isa itulah!

Insaflah, walaupun kamu bukan Maryam, dan yang dikandung itu bukan kejadiannya daripada roh yang kududs, tapi kamu tetap wajib bertanggungjawab. Yang kamu kandung itu (walau tanpa bapa), adalah manusia bukan binatang!

Ini sudah tersohor di seluruh alam. Tidak langsung terbenih di hati Hajar untuk meninggalkan Ismail menangis terseksa keseorangan. Berterjangan kaki lapar dan dahaga di bawah panas terik, bumi gersang. Tapi berlari Hajar dari bukit Safa dan Marwah, mencari jalan dan pertolongan, demi kehidupan anaknya. Kotemporari ini, perlakuan itu menjadi suatu ketetapan dipanggil Saie. Pelengkap rukun dalam ibadah Haji. Juga suatu daripada lambang syiar Islam.

Wahai ibu, kamu memang bukan Hajar. Tetapi jangan sekali-kali biarkan anak-anak kecil keseorangan dan kelaparan. Meraung minta dibelai, disusukan dan diberikan makanan!

Wahai ibu (yang punyai anak tiada bapa), jangan sekali-kali membuang anakmu. Itu adalah hak Allah yang dimandatkan kepada kamu.

Jangan dibiarkan tergolek di tepi longkang. Bisa lemas dihanyutkan banjir kilat. Jangan ditinggalkan di dalam tandas. Bisa terlekat dalam saluran najis. Jangan diperap di dalam baldi. Itu bukan sepatu. Ia bukan tuala baju. Jangan dilontar ke timbunan sampah. Yang akan menemaninya ialah ulat, lalat, dan anjing liar.

Wahai ibu, jangan buang anakmu! Walaupun tiada lelaki atau bapa di sisimu, ingatlah tentang Isa, Musa dan Ismail. Yang tetap berjaya meneruskan hidup dan berjasa besar kepada manusia kerana kegigihan, pengorbanan dan keimanan ibu mereka!

Jadilah ibu yang berkorban untuk anak-anaknya, bukan menjadikan mereka sebagai korban!

Marilah, kita pakat-pakat luangkan masa. Buka Kitab Suci. Ambil iktibar daripada maksud ayat 89 surah al-Israa’:

“ Dan sesungguhnya kami telah mengulang-ulang kepada manusia dalam Al-Quran ini tiap-tiap macam perumpamaan, tapi kebanyakan manusia tidak menyukai kecuali mengingkari(nya)”.

Selamat hari ibu. Selamatkan anakmu. Jangan buang dia.
Selamat hari ibu. Insaf. Taubat. Sujud kepada-Nya jua.

Permisi. Bisa ketemu lagi.

nota: posting kali ini dituliskan berdasarkan bacaan tafsir al-Azhar (karya HAMKA) ayat-ayat daripada surah Maryam (21, 22 & 23); al-Qashash (7,10, 11); Thaha (40).

4 ulasan:

  1. penulisan saudara unik

    BalasPadam
  2. perspektif menarik dari saudara.. tapi yang aku faham dari penulisan di atas, Maryam hanya sekali aje beranak tanpa bapa.. ni kalau dah berkali kali ter'beranak' tanpa bapa..

    -aku anonymous-

    BalasPadam
    Balasan
    1. sdr 'aku anonymous' ni termasuk dlm golongan org2 yg berfikir :-)

      Padam