Bicara kali ini, susulan posting kemarin ("Dosa Yang Tak Diampun di Bulan Kegembiraan").
Kita udah biasa dengar atau baca cerita tentang seorang pemuda yang punah imannya, tewas dek muslihat syaitan. Kerana tidak sanggup melakukan dosa besar, iaitu membunuh (tanpa sebab) dan berzina, atas pujukan syaitan, pemuda berkenaan pun memilih 'maksiat kecil'. Fikirnya, meneguk air haram itu enteng saja, tidak mensabitkan sesiapa, hanya dirinya semata-mata. Fikirnya, dia tidak akan bisa memudaratkan orang lain. Sudah termakan dengan tipu-daya syaitan, pemuda yang mabuk itu melakukan zina pula. Dia merogol seorang gadis. Kebetulan seorang budak melihat perbuatan terkutuk itu. Maka dibunuhnya budak itu kerana mahu melenyapkan saksi!
Ini naratif lama tentang bahaya minum arak. Meneguk minuman yang memabukkan itu, mendorong terbukanya pintu maksiat.
Molek benar diteliti kutipan berikut, yang terkandung mesej yang serupa. Arak dijadikan umpan untuk meranapkan keimanan seorang Muslim! Dulu sudah berlaku. Kini multi kemungkinan bisa terjadi jua.
Diriwayatkan bahawa al-Nadr bin al-Harith telah membeli seorang hamba sahaya perempuan yang mahir menyanyi. Justeru, sebaik sahaja dia mendengar ada seseorang yang cenderung memeluk Islam maka terus didatanginya dengan membawa (hamba) sahayanya itu sambil memberi perintah,"Berilah layanan terbaik kepadanya, jamulah dia makan dan hidangkan minuman keras kepadanya dan hiburkan dia dengan lagu-lagu yang mempesonakan." Dalam keadaan orang berkenaan hampir mabuk itulah beliau terus memujuknya dan mengatakan, "Hidangan arak dan nyanyian ini lebih baik daripada seruan Muhammad supaya mendirikan sembahyang, puasa dan ikut berperang bersama-samanya." (Tafsir Mubin, Juzuk 21 - terbitan DBP, hlm 48).
Bagaimana pula jika ada insan yang memberikan alasan 'perlu' teguk arak kerana boleh dijadikan penawar? Arak bisa digunakan untuk menyembuhkan penyakit! Arak bisa menyegarkan badan!
Dalam hadis yang diriwayatkan oleh Wail al-Hadhrami (Shahih Muslim: Jilid 6, hadis ke-89) bahawa Thariq bin Suwaid al-Ju'fi bertanya kepada Nabi SAW tentang minuman khamar. Lalu beliau melarangnya atau mencegah membuatnya. Kemudian Thariq berkata, "Sesungguhnya, aku membuatnya hanya untuk ubat!" Beliau menjawab, "Sesungguhnya, khamar bukanlah ubat, tetapi penyakit."
Lantas, yang mengecapi arak di bulan Ramadhan bukan saja tidak diampun dosanya oleh Allah swt, malahan yang masuk ke dalam badannya ialah penyakit semata-mata. Perbuatan tak berfaedah, yang memudaratkan. Seperti meneguk racun yang membawa kesakitan dan kerosakan secara perlahan-lahan kepada fizikal dan minda.
Alangkah rugi dan malangnya, kerana kerosakan fizikal dan minda itu datang pakej bersekali dengan bebanan dosa pula!
Permisi. Bisa ketemu lagi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan