Hujung minggu pertama Ramadhan.
Seperti biasa, selepas Isyak imam menyampaikan tazkirah. Disebutnya tentang amalan-amalan yang dianjurkan di Bulan Kegembiraan ini. Kira-kira sepuluh semuanya. Dua yang terlekat elok dalam kepala.
Satu: Bagus sungguh kalau berdoa, kita faham maknanya. Jika tak reti bahasa Arab, jangan duk paksa nak doa jugak dalam bahasa itu. Takut silap sebut, jadi lain maksudnya. Yang parahnya, kalau baca doa yang kita tak faham, takut-takut hajat nak minta kesihatan, tersasul jadi mohon kesakitan!
Pesan ustaz, jangan malu berdoa dalam bahasa Melayu. Jangan bimbang. Doa dalam apa-apa bahasa pun, pentingnya ikhlas. Jangan ingat doa dalam bahasa Arab saja yang boleh meluncur laju naik ke langit. Yang pentingnya taqwa. Jangan ingat doa dalam bahasa Melayu itu koman. Nilai hamba di sisi-Nya ialah tahap iman. Tuhan tidak memilih bangsa, bahasa dan warna kulit. Tuhan mendengar semua doa daripada hamba-Nya yang bertasbih dan bertaubat - dalam bahasa apa jua. Tuhan itu Maha Pencipta, Maha Mendengar, Maha Mengetahui dan Maha Pengampun.
Masalah orang kita, kadangkala jahil tetapi tak mahu bertanya. Bukan kerana apa-apa, hanyalah malu semata-mata. Takut orang kata, budak-budak tadika pun pandai baca doa macam-macam. Ni dah pencen, ‘kepala doa’ pun tak ingat!
Kerana malu dan tak mahu bertanya kita akan menjadi orang jahil. Kemudian marahkan Allah kerana tak makbulkan doa. Padahal kita sudah silap baca doa. Ini sikap lalai dan tidak ambil berat dalam bab ibadah.
Macam orang yang silap isi borang kerana degil tak mahu bertanya kepada petugas di kaunter. Riak dan berasa kita tau semua benda, dan jadi koman kalau bertanya. Bagaimana nak diproses permohonannya jika dikemukakan borang yang salah? Bahkan, dalam borang yang guna Bahasa Kebangsaan pun kita masih silap isi maklumatnya.
Jadi, berdoalah dalam bahasa yang kita faham. Alangkah rugi, berdoa panjang-panjang dan banyak-banyak di Bulan Kegembiraan ini, tapi sia-sia belaka. Hanya kerana kita tak faham dan tersilap baca doa!
Kesilapan terjadi kerana kejahilan sendiri. Kejahilan terhasil kerana kita lalai, tidak mengisi masa untuk menambah dan memantapkan pengetahuan dalam ibadah harian. Kejahilan campur kelalaian membawa kepada kesilapan yang besar: Marahkan Tuhan kerana doa tidak termakbul!
Sama-sama kita hayati maksud dua hadis ini (riwayat al-Tirmidzi):
1. ‘Seorang hamba yang berdoa kepada Allah pasti akan dimakbulkan, iaitu sama ada disegerakan untuknya di dunia atau disimpan kebaikan untuknya di akhirat atau sama ada dihapuskan dosa-dosanya mengikut kadar doanya selagi yang didoakannya itu bukan berbentuk dosa atau memutus persaudaraan atau ia bergopohan. Sahabat bertanya, “Wahai Rasulullah, apa yang dimaksudkan dengan kegopohannya? Sabda Baginda, “Iaitu apabila ia berkata, aku telah berdoa kepada Tuhanku, tetapi Dia tidak memperkenankan untukku.”
2. “Berdoalah kepada Allah dalam keadaan kamu meyakini akan diperkenankan, dan ketahuilah bahawa Allah tidak memperkenankan doa yang terbit dari hati yang lalai.”
Ustaz usul musykil secara berseloroh, “Tanya diri sendiri. Dah 30 tahun solat tarawih, kita faham atau tidak doa dibaca tiap lepas empat rakaat itu? atau kita main ‘ameen’ saja, serah kat Tok Imam saja yang faham maksudnya. Kalau Tok Imam baca doa khusus untuk diri dia sendiri, bagaimana? Kerana tak faham, maka kita mintak makbul doa untuk diri imam sajalah nampaknya. Kalau imam selit ayat mohon kawin satu lagi, maka sangat mujurlah dia, kerana makmum pakat setuju ramai-ramai dan sebut ‘ameen’ belaka. Termasuk isteri imam yang tengah khusyuk menadah di kalangan jemaah wanita!”
Yang kedua? Kita bicara lain kali. InsyaAllah selepas kelik dari Ganu. Mahu pulang berpuasa di tanah tumpah darah beberapa hari. Solat tarawih di surau pusaka ayahanda, dan ziarah bonda yang bersemadi di sebelah kekasihnya itu.
Permisi. Bisa ketemu lagi.
nota: kedua-dua maksud hadis itu dipetik daripada buku “Doa&Zikir Daripada Al-Quran dan As-Sunnah”, karangan Muhammad Ramzi Omar, terbitan Sinar Media Services: 2007, hlm 3 & 8
tika baca kesah imam tu.. cara otomatis kedua tanganku terangkat menadah kelangit (di depan pc) dan bibir ku terus sebut 'ameen..ameeen...aaaameeeen"
BalasPadam-aku anonymous-