Karya

Karya

Ahad, 8 Julai 2012

PERIHAL ULAR YANG TAK SEMPAT JADI JIN!

Lewat petang, hujung minggu lepas.

Rumah saya jadi kecoh. Yang Tersayang tergesa-gesa naik ke tingkat atas. Kedengaran pintu bilik utama ditutup dalam cemas. Lepas itu, tiada respon lagi daripadanya. Dipanggil tidak menyahut. Menjenguk tidak. Bertanya dari jarak jauh pun tidak. Diamnya itu penanda tidak akan turun-turun lagi.

Syai yang baru seminggu jalani pembedahan di kepala lutut, susah-payah naik tangga dengan tongkat di tangan kanan. Senget punggungnya mahu imbangan kaki kirinya yang masih berbalut. Tangan kirinya menggagah pagar tangga. Hanya terdaya memanjat separuh tangga. Dia berlunjur di situ.

Tiada siapa boleh menolong. Bukan tidak mahu membantu. Niat ada. Kebolehan dan keupayaan kami yang tiada. Semua orang - Ney-ney, saya dan bibik ada tugas cemas.

Ibu mentua saya diam di kerusi, yang mengepung meja makan. Saya tidak pasti sama ada dia turut cemas atau tenang. Atau sedang membaca ayat-ayat suci. Bibik sudah masuk dalam stor. Saya berdiri di depan pintu. Ney-ney pula mengangkat beg dan kotak ke ruang tamu. Tidak teratur letaknya. Bertindihan dan simpang-siur.

Sudah hampir satu jam. Bibik sudah kepenatan. Lantas giliran saya pula masuk ke dalam stor. Barangan tinggal sepertiga lagi. Kini Ney-ney pula yang menunggu di depan pintu.

Sambil menyambut kotak sederhana besar, dia membisik, "Bibik cakap, kalau tak ada...kalau tak jumpa, itu bukan ular! Itu jin!Kita kena pindah!" Nampak sangat kegusaran di wajahnya.

Syai yang jadi pemerhati, menekap mukanya di pagar tangga. Dia mencelah, "Telefon bomba!"

Cadangan itu tidak bersambut. Tercabar rasanya maruah saya. Anak kampungan, ular masuk rumah mahu panggil bomba. Ugh, malu bangat, sih!

Zaman remaja dulu, ular tidak menusuk ketakutan dalam hati. Malahan, nampak ular, mahu saja membedal dengan buluh atau kayu.

Waktu itu (awal tahun 70-an), biasa amat ular sawa masuk ke reban ayam. Seingat saya, tidak pernah panggil jiran atau sesiapa membantu. Jauh sekali mahu dipanggil bomba. Ular sawa yang kadangkala hampir sebesar paha mesti tewas. Ada kalanya ayah saya tembak. Satu das sudah cukup. Peluru penabur bisa memecahkan kepala. Jika terkena perut, terburai!

Kadangkala tak sempat ditembak, saya dan Aweng (anak lelaki ketiga dalam famili, kini jadi perunding legal) hentak saja kepala ular dengan cangkul. Ular sawa yang baru menelan ayam gerakannya terhad. Mudah saja ditewaskan.

Selain ular sawa, yang selalu datang mencuri telur, ialah biawak. Jika tak sempat lari, maka pasti terkorban ia di dalam reban. Biasanya, apabila dah terperangkap dalam reban, kami radak saja perutnya dengan kayu rel yang tajam hujung. Bisa amat. Menggelupur biawak sebesar betis itu tak sampai setengah jam.

Yang paling handal di kalangan adik-beradik lelaki ialah PokDeng (yang sulung). Jerut ular sawa yang terperangkap di dalam reban atau merejam biawak, PokDeng tak layan. Dia buat apa yang tidak termampu kami buat. Masuk hutan jerat kancil, dan tembak seladang. Pergi ikut orang jerat kerbau liar bukan perkara pelik. Bukan takat Terengganu Mati, bahkan sampai ke sempadan Siam dia pergi memburu!

Itu lama dulu. Zaman remaja sudah sangat lama berlalu. Yang remaja kini ialah anak-anak gadis. Yang tidak reti apa-apa dengan gaya hidup kampungan yang saya tempuhi dulu-dulu.

Ikut ibu mentua, dia amat pasti ular yang menyelinap masuk ke dalam stor kecil saja. Malangnya, saiz yang kecil itu dan jenisnya tidak dapat dipastikan. Tapi saya tetap degil tidak mahu memanggil bomba. Buat malu saja. Ah, pengalaman zaman remaja datang membawa keberanian dan keyakinan.

Ketika barangan dari stor sudah berlambakan di ruang tamu, dan yang berbaki hanya empat kota lagi, datang juga rasa khuatir. Bukan takut ular bingkas dan mematuk. Tapi bimbang omongan bibik jadi kenyataan:

"Kalau tak jumpa, maknanya ular udah ghaib. Jika hilang, itu bukan ular. Itu jin! Kita harus pindah, pak!"

Ketika sudah rasa lenguh sangat, dan yang dicari tidak menampakkan diri, maka mudahlah kehampaan menguasai diri. Mulalah yang karut-marut mahu dipercayai. Mungkin betul sungguh omongan bibik itu!

Sebaik menujah dengan hujung batang penyapu ke dinding kotak besar di penjuru stor, mata menangkap badan yang melingkar, hitam warnanya. Kecil saja. Sebesar ibu jari tangan. Tapi bahayanya tidak terduga.

Si hitam berkilat yang kecil itu memanggung kepala. Mahu melawan usikan hujung batang penyapu.

Saya belum bertindak. Hanya menunggu tindakbalasnya. Sah, ini bukan tedung. Kepalanya tidak kembang.

Saat yang ditunggu pun tiba. Ruang sudah terbuka. Sewaktu ia menurunkan kepalanya menyentuh lantai, bedalan pertama pun hinggap. Tanpa belas. Deras dan keras. Mujur sungguh. Serangan pertama itu terus melumpuhkannya! Kepalanya tidak terdaya diangkat lagi. Hanya badan dan ekor menggelapar.

Berkali-kali dipanggil, dengan suara yang perlu dikeraskan, dalam ketakutan, Ney-ney menghulurkan cekup sampah, dan cepat meminggir dari pintu. Segera saya kuiskan ular yang menggeliat liar itu. Sambil berdiri di depan pintu, saya unjukkan cekup sampah ke arah bibik. Beristighfar panjang dia. Pucat mukanya.

"Bibik...ini bukan jin! Pukul sampai mati. Buang di longkang!"


Permisi, bisa ketemu lagi.




2 ulasan:

  1. berdiri bulu roma baca nukilan harleem dan buat aku teringat ceramah Ust. Harun Din. dia kata kalau ular masuk rumah, tanya dulu, engkau ni ular betul ke jin? kalau jin, mintak keluar...tapi kalau tak de reaksi apa2, tu ular betul la tu...

    teringat jugak aku pada pesan atuk. dia kata mana2 ular boleh dibunuh dalam rumah. tapi pastikan bukan ular tedung atau ular senduk. Pasangannya pasti akan datang cari kekasihnya yang hilang.

    sekadar berkongsi
    -aku anonymous-

    BalasPadam
    Balasan
    1. salam 'aku anonymous' banyok2 terima kasih atas info. tapi tengoh duk kalut, mana teringat nak 'dialog dgn ular' & nak perhati jenis dan jantinanya :-)

      Padam