Saya lahir di sebuah kampung yang bukan pulau, tapi dipangkal
gelarannya terlekat nama haiwan yang
nakal dan jahat. Dalam budaya bahasa Melayu dikenal sebagai makhluk berbahaya
yang mengintip dan membunuh – “musang berbulu ayam”.
Gamaknya, negara pulau yang berahi ngintip jirannya itu boleh
digelar musang berbulu ayam jugak. Nama singa tapi tabiat macam musang!
Pulau Musang duduknya di tebing Sungai Terengganu, yang umbi
alirannya bermula dari pergunungan di Kenyir.
Seingat saya tiada seorang pun yang bukan Melayu dan bukan
Islam yang lahir atau menetap di kampung tepi sungai yang kerap dilanda banjir tahun
60-an dan 70-an. Reda masalah bah besar kecil yang datang bermusim itu apabila terbina
Empangan Kenyir.
Pada era itu, budak-budak dari tebing sungai bersekolah di
Kuala Bekah. Berjalan ramai-ramai kira-kira dua kilometer pergi balik ke
kampung darat yang terbelah dek sebatang jalanraya muat-muat dua kenderaan.
Selain budak-budak sungai, sekolah serba sederhana itu ramai
muridnya budak-budak dari kampung darat sekitar Kuala Bekah – Wakaf Che Kapur,
Kubang Bakung, Kubang Terap, dan Kubang Kekura.
Saya reti main di parit, cekup sekilau, dan panjat duku kerana rajin berkawan dengan budak-budak
darat itulah.
Bangunan sekolah Kuala Bekah diperbuat daripada kayu. Bentuknya
macam berek askar. Yang uniknya berlantai tanah liat. Tingkap papannya jika
mahu dibuka mestilah disendal dengan batang kayu panjang sedepa. Tebal dan
lebar dua kali dua inci.
Tidak ada cikgu bangsa lain. Melayu belaka.
Masuk darjah tiga saya berpindah ke sekolah di Chabang Tiga.
Kira-kira lima kilometer ke Bandar Kuala Terengganu.
Ini dunia baru untuk budak kampung yang asal dari tebing
sungai.
Sekolah baru ini memang
terlebih baik daripada Kuala Bekah. Bandingan dari sudut mana pun, tewas
dan tertinggal sekolah darat itu. Walaupun begitu, budak-budak sekelas di
sekolah baru itu tidaklah semuanya lebih bagus daripada saya dalam hal tulis,
kira, dan baca!
Yang sangat berbeza, pertama kali saya belajar dengan guru
Cina!
Belajar bahasa Inggeris dalam kelasnya memang tension. Kecut
perut memancang. Jika tersalah sebut, silap jawab atau bisu terus kerana takut ditertawakan
kawan-kawan sebab tak reti bahasa orang putih, maka Cikgu Lim akan cengkam urat
bahu kuat-kuat sampai kita mengaduh! Tanda
amaran supaya esoknya hafal perkataan yang tak reti disebut dan tak difaham
maknanya.
Bengkeng sungguh cikgu Cina ini. Tapi tak ada siapa pun yang
komplen. Dia ajar kami bahasa Inggeris hingga darjah enam. Dalam kepala kami
dialah yang paling pandai cakap orang putih di seluruh Terengganu. Dalam kepala
kami waktu itu, hanya orang Cina yang reti cakap dan ngajar bahasa
Inggeris!
Dari tingkatan satu hingga lima, interaksi langsung dengan
guru berbangsa Cina hanya dalam subjek yang susah-susah - sains paduan,
biologi, kimia dan fizik.
Guru bahasa Inggeris ialah pemuda Melayu – Cikgu Razali. Sempat jugak ngaji dengan mat saleh - Mr Fowler
yang datang sebagai sukarelawan.
Semasa di tingkatan enam, yang mengajar geografi (ekonomi
dan pembangunan) ialah Cikgu Chua. Memang handal dia. Masuk kelas tak pernah
bawak nota. Bekalannya beberapa batang kapur. Dari mula masuk kelas, kerjanya
menulis nota di papan hitam. Sambil bercakap tentang topik hariannya tidak
henti-henti, dia menulis tanpa menoleh kepada siapa pun. Kerja kami cepat-cepat
salin ke buku nota sebelum Cikgu Chua padam tulisan di papan hitam untuk
teruskan sembang geografinya.
Ketika ngaji di universiti, selain berpeluang menuntut ilmu
bahasa dan sastera daripada sarjana terkenal seperti Profesor Abu Bakar Hamid
dan Profesor Asmah Hj Omar, dapat masuk kuliah dan tutorial seorang Mahaguru
Sejarah Malaysia – Profesor Khoo Kay Kim.
Selama menuntut pengajian media di kampus Lembah Pantai itu,
ada tiga gadis Cina dalam kelas kami. Dua daripadanya - Heng Gi Wa dan Yong Kam
Wah – orang Terengganu belaka. Yong itu adalah antara kawan baik saya semasa
studi. Dia pandai bahasa orang putih. Pernah jadi wartawan di NST. Kini satu famili
sudah hijrah ke Timur Tengah.
Yang muncul graduan terbaik bukan jejaka Ganu dan bukan
gadis Cina. Yang dapat kelas pertama ialah seorang siswa keturunan Jawa bernama
Alaudin. Kini dia sudah punyai PhD, dan sandang jawatan tinggi di sebuah
institut latihan awam.
Itu cebisan latar kerangka interaksi saya secara peribadi
dengan orang Cina. Ada lagi yang boleh ditambah. Untuk kali ini dihadkan takat
itu dulu.
Apabila kembali menetap di tanah tumpah darah ini,
ditakdirkan-Nya saya interaksi semula dengan orang Cina. Melalui aktiviti kelab
kebajikan saya mengenali Lee. Dia turut terpilih sebagai AJK.
Pekat seghoti bertutur loghat Terengganu. Bila diajukan
musykil Lee memberikan rasional:
“Aku orang Ganu. Beranok di bandor.
Kawang-kawang Melayu belaka!”
Suatu petang dalam musim tengkujuh inilah, atas urusan
kelab, saya janji ketemu dengannya.
Dia sampai lewat sepuluh minit daripada yang dijanjikan.
Ugh, nampaknya janji Melayu menang kali ini!
Sambil sembang kami hirup teh tarik. Tiada makanan diminta
kerana sama-sama sudah kenyang. Makan tengahari belum sampai dua jam.
Petang itu, dia banyak berkisah tentang dirinya. Saya
menjadi pendengar dan pencatat. Sikit-sikit saja bicara tentang latar diri,
itupun apabila Lee macam baru teringat nak tanya.
Inilah catatan kecil tentang Lee
yang diroyatnya petang itu.
Lahir di Bandar KT. Sekolah rendah dan menengah di Sultan
Sulaiman (sekolah ternama di Terengganu). Tak habis tingkatan dua sudah berhenti
sekolah. Kerja di restoran milik bapanya. Pandai masak sampai sekarang. Dalam
hal masak, isterinya tak boleh lawan. Jika mahu jamu hidangan istimewa Cina,
maka Lee akan turun ke dapur.
Masuk umur 16,
Lee kerja di kedai besi. Sebagai tukang welding. Ayahnya sakit tak boleh kerja
lagi. Diserang angin ahmar. Restoran bapanya itu diambil-alih abang Lee yang
sulung. Kerana dia tak habis sekolah, dilabel tak cerdik, maka Lee pun fikir tak
ada harapan dia akan dapat jadi pengurus restoran ayahnya itu. Sebab itu dia
beralih kerja di kedai besi.
Selepas sepuluh tahun jadi tukang kimpal di Pulau Kambing,
sudah mampu dia buka kedai sendiri. Pada usianya hampir 27, Lee jadi tauke
besi.
Kini umurnya dah masuk lima puluh satu. Lee dikenali sebagai
‘pakar besi’, punyai sebuah kilang di kawasan perindustrian utama di Darul Iman,
dah biasa dapat kontrak kerajaan dalam hal-ehwal besi. Dia beritau baru habis
siapkan projek taman haiwan berhampiran sebuah resort.
Dia pun unjuk smartphone
kepada saya. Dengan bangga dia buka cerita di sebalik dua tiga foto berkaitan projeknya
itu.
Kemudian dia lakarkan sesuatu di kertas.
“Ini...Aji panggil apa? BENDERA ka? Ini saya buat jugak.
Kita boleh lintas sini, tengok binatang
lalu ikut bawah.”
Saya jeling lakarannya itu.
“Ini bukan BENDERA, Lee! Ini MENARA!” Mujur juga teh yang
dihirup sudah habis meresap. Jika tidak boleh tersembur balik percik ke lcd
telefonnya!
Terkini dia giat bina sebuah sangkar burung saiz mega.
Projek kerajaan jugak.
Cuma dia kata banyak pening
kepala. Jurutera yang kendali projek tak mahu dengar nasihat Lee yang ‘pandai
besi’.
Kata Lee, “Jurutera belajar tinggi sampai oversea. Aku apa
sijil pun tak ada. Sekolah tak sampai SRP!”
Tambahnya, “Projek sangkar burung ni masalah besar. Jurutera
degil. Aku kata drawing dia kena ubah. Sebab nak sambung besi besar
tinggi-tinggi kena buat struktur elok-elok. Drawing dia tak betul. Sebab tu aku
susah nak pasang jaring. Tapi jurutera tak mahu ikut cakap aku. Hari ni, dia
sudah susah. Projek tak boleh jalan. Jaring tak boleh pasang. Dia sudah takut.
Sebab EXCO sudah tanya. EXCO mahu datang tengok! Itu jurutera telefon. Mintak
tolong sama aku. Itulah, awal-awal tak mahu ikut cakap aku. Kerja besi ni aku
memang tahu. Sudah masuk campur dalam darah daging aku!”
Dua jam kemudian kami berpisah. Ada janji akan ketemu lagi.
Dia juga pelawa saya ikut lawat projek taman haiwannya.
Di parkir, ketika Lee membetulkan duduknya di kusyen dan
meramas perlahan stereng, saya mengusik.
“Tauke, kereta ni tak boleh bawak pergi tengok gajah! Tenggelam dalam selut!”
Lee ketawa besar. Kemudian dia memulas stereng dan berlalu.
Saya memerhati kereta mewah model terbaru itu hilang di
selekoh yang terlindung pohon besar dan rendang.
Dalam kepala datang lintasan kata-kata Lee ketika
sembang-sembang sambil hirup teh tarik.
“Aku bukan orang pandai. Sekolah tak habis, Aji. Takat
tingkatan dua sudah cabut. Baca tulis aku tak reti. Nak isi borang ni pun,
isteri aku yang buat. Dia pandai baca tulis. Dia sekolah tinggi.”
Saya tak akan bisa lupa kata-kata hujungnya sebelum teh dihirup
habis ke pantat koleh.
“Aku ni orang bodoh, Aji. Abang dan kakak aku semua
pandai-pandai. Dia tu semua lepas sekolah tinggi belaka. Tapi dia tu semua tak
fokus. Buat kerja tak serius. Banyak sangat mahu buat. Macam-macam mahu buat.
Aku ni yang bodoh sekali. Hanya pandai buat kerja besi. Dari dulu aku tak buat
kerja lain. Sudah tiga puluh tahun lebih aku buat kerja ni. Aku tak pandai buat
kerja lain. Sebab aku bodoh. Baca tak pandai. Tulis tak pandai. Kerja besi
kerja orang bodoh. Tapi aku tak malu buat kerja yang aku tahu sungguh.”
Saya cepat menambah di hujung ayatnya. “Salah tu, Lee! Kamu
bukan bodoh. Sebenarnya kamu tak habis sekolah. Peduli apa orang lain nak kata kamu
bodoh. Kalau banding dengan kakak dan abang, sah kamulah yang berjaya sekali. Jadi
tauke besar dan paling kaya.”
Permisi. Dengan izin-Nya kita bisa ketemu lagi.
___________________________________
Nota: kerana tak dapat izin, foto Lee tak boleh dirakam dalam catatan ini.