Karya

Karya

Isnin, 4 November 2013

Penagih Rokok Di Kota Suci


(nota awal: Ini adalah catatan terakhir kenang-kenangan ibadah di Tanah Suci sebagai penutup tahun ini. Hadis Rasulullah ada menyebut, maksudnya: Haji Mabrur tiada balasan lain kecuali syurga; melaksanakan Rukun Islam Ke-5 itu pula adalah serupa jihad di medan perang; dan orang yang menyempurnakan ibadahnya itu umpama bayi yang baru lahir. Begitulah janji Allah dan Rasul-Nya. Bagaimana gelagat jemaah yang ketagih rokok ketika di Tanah Suci? mari hayati lakaran ini. moga bermanfaat untuk kita sekalian)
_____________________________


Kerajaan Arab Saudi sudah menjalankan kempen ‘Kota Mekah Bersih Daripada Rokok’. Saya fikir tiada lain sebabnya, tentulah menghormati jemaah yang datang untuk beribadah dan mengabadikan diri kepada Allah ketika musim haji. Di negara kita sendiri,  di kebanyakan negeri merokok difatwakan haram hukumnya. Di beberapa masjid dan surau di Lembah Klang yang pernah saya singgahi, di papan kenyataan tertampal poster rasional di sebalik pengharaman itu. Bahkan kempen mega ‘tak nak’ merokok itu pula menelan belanja puluhan juta ringgit.

Kadangkala apabila melihat nikmatnya lelaki menghisap rokok, tanpa terlihat rasa bersalah atau menghormati orang lain, rasa-rasanya pengharaman dan kempen itu seolah-olah bukan ditujukan kepada mereka. Nampaknya ‘yang haram’ itu hanya untuk orang yang tidak merokok pula seperti saya. Malahan tabiat perokok yang tidak mempedulikan orang lain terbawa-bawa ketika ibadah Haji.

Suatu hari (ketika masih di Kota Mekah), sebaik selepas Isyak, saya dan Lateefa memenuhi pelawaan seorang kenalan (Nasir) untuk makan malam. Enak sekali berjamu selera dengan menu makanan Malaysia  di Felda d’Saji. Di restoran itu bisa saja kita peroleh roti canai, murtabak, nasi ayam dan satay. Enak makanan resipi tanahair tidak mampu menceriakan wajah Nasir. Arkitek berusia awal empat puluhan ini nampak sugul. Kami berbual tanpa menghiraukan Lateefa yang begitu mesra dengan isterinya Munirah.

“Di Madinah nanti, keadaan bilik hotel macam ini juga? Sesak dengan tujuh orang sebilik?”
Pertanyaan tiada langsung diiringi ceria.

“Jauh bezanya. Maksimum empat sebilik. Kalau nasib baik dapat duduk dua sebilik. Tapi teman sebilik lelaki juga! Di Madinah, hotel empat bintang. Nikmatnya, hanya di sebelah  pagar Masjid Nabawi.” Saya cuba menaikkan semangatnya. Nasir dan Munirah masuk Mekah dulu. Mereka sampai dua minggu sebelum wukuf. Kesesakan di Masjidilharam dan kemudahan amat sederhana di dalam bilik hotel memberikan tekanan kepada Nasir.

“Rakan sebilik masih yang sama?” Nasir masih sugul.

“Kenapa?” Saya mengunyah murtabak yang dicecah kuah kari. Dalam hati sudah menjangka tentu Nasir punyai masalah dengan teman sebilik. 

Sambil mengeluh Nasir memberitau. “Saya tak kisah soal jauh dekat dengan masjid. Yang saya tak tahan dengan tabiat rakan sebilik yang merokok. Tiga orang memang tahi rokok. Empat yang lain, termasuk saya jadi mangsa. Merokok langsung tak hormat orang lain. Main sedut dan hempus di atas katil saja! Bengang kepala. Hidu asap rokok dalam bilik aircon! Susah sungguh duduk sebilik dengan orang sewel!”

Penghuni bilik saya tidak pula mengalami episod duka itu. Dalam bilik kami ada dua orang perokok tegar. Tidak pula mereka merokok di dalam bilik. Ada tiga tempat kedua-duanya bersidai melepaskan gian – tandas, bercongok di tangga hotel, atau di depan kedai runcit berdepan hotel.

Di Mekah ini, tidak sukar mendapat bekalan rokok. Biasa sangat saya disapa Bangla pekerja am Hotel Janadriyah yang menjual rokok. Mereka ini juga jual kad telefon dan tambahnilai. Kalau rajin jalan-jalan di lorong hotel-hotel lama tidak jauh dari Masjidilharam, mudah sangat terjumpa remaja lelaki menjual rokok pelbagai jenama. Kempen ‘Kota Mekah Bebas Rokok’  bukan untuk mereka!


Orang kita pula, dalam berihram pun masih merokok juga. Sewaktu balik dari masjid bersebelahan Hotel Janadriyah, saya terpaksa menunggu di tangga pintu besar kerana rombongan jemaah yang baru sampai sedang berkumpul di lobi untuk ke Masjdilharam. Saya perhatikan seorang pemuda (dalam pakaian ihram) tengah ralit menghisap rokok. Gelagatnya macam mahu melepaskan gian sembunyi-sembunyi tanpa dilihat oleh anggota rombongannya yang lain. 

Sebaik barisan pertama jemaah keluar dari pintu besar, cepat-cepat pemuda itu menjatuhkan rokoknya, terus digenyeh di bawah selipar. Tergesa-gesa dia menapak anak tangga, macam nak meloncat terus ke lobi. Tidak sampai dua minit, keluar semula dia. Terus mendahului jemaah yang lain. Sambil membetul-betulkan kain ihram yang melingkar leher, sebelah tangannya yang lain mengangkat tinggi sepanduk tertulis nombor maktab dan KT (penerbangan). 

Rupa-rupanya pemuda ketagih rokok itu dilantik menjadi pemegang sepanduk rombongannya! Maknanya, dia akan mengepalai para jemaah menuju Masjidilharam untuk melakukan tawaf dan saie. Pembawa ‘panji-panji’ yang ketagih rokok ini akan jalan beriringan dengan mutawif!

Permisi. Dengan izin-Nya kita bisa ketemu lagi.
Moga kita sentiasa dalam baraqah Ilahi. Selamat menyambut Maal Hijrah. Jangan lupa ke masjid Maghrib nanti!

Tiada ulasan:

Catat Ulasan