Karya

Karya

Khamis, 28 November 2013

HIRUP TEH BERSAMA SEORANG CINA YANG BODOH!



Saya lahir di sebuah kampung yang bukan pulau, tapi dipangkal gelarannya terlekat  nama haiwan yang nakal dan jahat. Dalam budaya bahasa Melayu dikenal sebagai makhluk berbahaya yang mengintip dan membunuh – “musang berbulu ayam”.

Gamaknya, negara pulau yang berahi ngintip jirannya itu boleh digelar musang berbulu ayam jugak. Nama singa tapi tabiat macam musang!   

Pulau Musang duduknya di tebing Sungai Terengganu, yang umbi alirannya bermula dari pergunungan di Kenyir.

Seingat saya tiada seorang pun yang bukan Melayu dan bukan Islam yang lahir atau menetap di kampung tepi sungai yang kerap dilanda banjir tahun 60-an dan 70-an. Reda masalah bah besar kecil yang datang bermusim itu apabila terbina Empangan Kenyir.   

Pada era itu, budak-budak dari tebing sungai bersekolah di Kuala Bekah. Berjalan ramai-ramai kira-kira dua kilometer pergi balik ke kampung darat yang terbelah dek sebatang jalanraya muat-muat dua kenderaan.
Selain budak-budak sungai, sekolah serba sederhana itu ramai muridnya budak-budak dari kampung darat sekitar Kuala Bekah – Wakaf Che Kapur, Kubang Bakung, Kubang Terap, dan Kubang Kekura.

Saya reti main di parit, cekup sekilau,  dan panjat duku  kerana rajin berkawan dengan budak-budak darat itulah.  

Bangunan sekolah Kuala Bekah diperbuat daripada kayu. Bentuknya macam berek askar. Yang uniknya berlantai tanah liat. Tingkap papannya jika mahu dibuka mestilah disendal dengan batang kayu panjang sedepa. Tebal dan lebar dua kali dua inci.

Tidak ada cikgu bangsa lain. Melayu belaka.

Masuk darjah tiga saya berpindah ke sekolah di Chabang Tiga. Kira-kira lima kilometer ke Bandar Kuala Terengganu.

Ini dunia baru untuk budak kampung yang asal dari tebing sungai.

Sekolah baru ini memang  terlebih baik daripada Kuala Bekah. Bandingan dari sudut mana pun, tewas dan tertinggal sekolah darat itu. Walaupun begitu, budak-budak sekelas di sekolah baru itu tidaklah semuanya lebih bagus daripada saya dalam hal tulis, kira, dan baca!

Yang sangat berbeza, pertama kali saya belajar dengan guru Cina!

Belajar bahasa Inggeris dalam kelasnya memang tension. Kecut perut memancang. Jika tersalah sebut, silap jawab  atau bisu terus kerana takut ditertawakan kawan-kawan sebab tak reti bahasa orang putih, maka Cikgu Lim akan cengkam urat bahu kuat-kuat sampai kita mengaduh!  Tanda amaran supaya esoknya hafal perkataan yang tak reti disebut dan tak difaham maknanya.

Bengkeng sungguh  cikgu Cina ini. Tapi tak ada siapa pun yang komplen. Dia ajar kami bahasa Inggeris hingga darjah enam. Dalam kepala kami dialah yang paling pandai cakap orang putih di seluruh Terengganu. Dalam kepala kami waktu itu, hanya orang Cina yang reti cakap dan ngajar bahasa Inggeris! 

Dari tingkatan satu hingga lima, interaksi langsung dengan guru berbangsa Cina hanya dalam subjek yang susah-susah - sains paduan, biologi, kimia dan fizik.

Guru bahasa Inggeris ialah pemuda Melayu – Cikgu Razali.  Sempat jugak ngaji dengan mat saleh - Mr Fowler yang datang sebagai sukarelawan.  

Semasa di tingkatan enam, yang mengajar geografi (ekonomi dan pembangunan) ialah Cikgu Chua. Memang handal dia. Masuk kelas tak pernah bawak nota. Bekalannya beberapa batang kapur. Dari mula masuk kelas, kerjanya menulis nota di papan hitam. Sambil bercakap tentang topik hariannya tidak henti-henti, dia menulis tanpa menoleh kepada siapa pun. Kerja kami cepat-cepat salin ke buku nota sebelum Cikgu Chua padam tulisan di papan hitam untuk teruskan sembang geografinya.

Ketika ngaji di universiti, selain berpeluang menuntut ilmu bahasa dan sastera daripada sarjana terkenal seperti Profesor Abu Bakar Hamid dan Profesor Asmah Hj Omar, dapat masuk kuliah dan tutorial seorang Mahaguru Sejarah Malaysia – Profesor Khoo Kay Kim.

Selama menuntut pengajian media di kampus Lembah Pantai itu, ada tiga gadis Cina dalam kelas kami. Dua daripadanya - Heng Gi Wa dan Yong Kam Wah – orang Terengganu belaka. Yong itu adalah antara kawan baik saya semasa studi. Dia pandai bahasa orang putih. Pernah jadi wartawan di NST. Kini satu famili sudah hijrah ke Timur Tengah.

Yang muncul graduan terbaik bukan jejaka Ganu dan bukan gadis Cina. Yang dapat kelas pertama ialah seorang siswa keturunan Jawa bernama Alaudin. Kini dia sudah punyai PhD, dan sandang jawatan tinggi di sebuah institut latihan awam.

Itu cebisan latar kerangka interaksi saya secara peribadi dengan orang Cina. Ada lagi yang boleh ditambah. Untuk kali ini dihadkan takat itu dulu.

Apabila kembali menetap di tanah tumpah darah ini, ditakdirkan-Nya saya interaksi semula dengan orang Cina. Melalui aktiviti kelab kebajikan saya mengenali Lee. Dia turut terpilih sebagai AJK.

Pekat seghoti bertutur loghat Terengganu. Bila diajukan musykil Lee memberikan rasional:
“Aku orang Ganu. Beranok di  bandor. Kawang-kawang Melayu belaka!”

Suatu petang dalam musim tengkujuh inilah, atas urusan kelab, saya janji ketemu dengannya.
Dia sampai lewat sepuluh minit daripada yang dijanjikan. Ugh, nampaknya janji Melayu menang kali ini!    
Sambil sembang kami hirup teh tarik. Tiada makanan diminta kerana sama-sama sudah kenyang. Makan tengahari belum sampai dua jam.

Petang itu, dia banyak berkisah tentang dirinya. Saya menjadi pendengar dan pencatat. Sikit-sikit saja bicara tentang latar diri, itupun apabila Lee macam baru teringat nak tanya.
Inilah catatan kecil tentang Lee yang diroyatnya petang itu.

Lahir di Bandar KT. Sekolah rendah dan menengah di Sultan Sulaiman (sekolah ternama di Terengganu). Tak habis tingkatan dua sudah berhenti sekolah. Kerja di restoran milik bapanya. Pandai masak sampai sekarang. Dalam hal masak, isterinya tak boleh lawan. Jika mahu jamu hidangan istimewa Cina, maka Lee akan turun ke dapur.

Masuk umur 16, Lee kerja di kedai besi. Sebagai tukang welding. Ayahnya sakit tak boleh kerja lagi. Diserang angin ahmar. Restoran bapanya itu diambil-alih abang Lee yang sulung. Kerana dia tak habis sekolah, dilabel tak cerdik, maka Lee pun fikir tak ada harapan dia akan dapat jadi pengurus restoran ayahnya itu. Sebab itu dia beralih kerja di kedai besi.

Selepas sepuluh tahun jadi tukang kimpal di Pulau Kambing, sudah mampu dia buka kedai sendiri. Pada usianya hampir 27, Lee jadi tauke besi.

Kini umurnya dah masuk lima puluh satu. Lee dikenali sebagai ‘pakar besi’, punyai sebuah kilang di kawasan perindustrian utama di Darul Iman, dah biasa dapat kontrak kerajaan dalam hal-ehwal besi. Dia beritau baru habis siapkan projek taman haiwan berhampiran sebuah resort.

Dia pun unjuk smartphone kepada saya. Dengan bangga dia buka cerita di sebalik dua tiga foto berkaitan projeknya itu.

Kemudian dia lakarkan sesuatu di kertas.
“Ini...Aji panggil apa? BENDERA ka? Ini saya buat jugak. Kita boleh lintas sini, tengok binatang  lalu ikut bawah.”
Saya jeling lakarannya itu.
“Ini bukan BENDERA, Lee! Ini MENARA!” Mujur juga teh yang dihirup sudah habis meresap. Jika tidak boleh tersembur balik percik ke lcd telefonnya! 

Terkini dia giat bina sebuah sangkar burung saiz mega. Projek kerajaan jugak.

Cuma dia kata banyak pening kepala. Jurutera yang kendali projek tak mahu dengar nasihat Lee yang ‘pandai besi’. 

Kata Lee, “Jurutera belajar tinggi sampai oversea. Aku apa sijil pun tak ada. Sekolah tak sampai SRP!”
Tambahnya, “Projek sangkar burung ni masalah besar. Jurutera degil. Aku kata drawing dia kena ubah. Sebab nak sambung besi besar tinggi-tinggi kena buat struktur elok-elok. Drawing dia tak betul. Sebab tu aku susah nak pasang jaring. Tapi jurutera tak mahu ikut cakap aku. Hari ni, dia sudah susah. Projek tak boleh jalan. Jaring tak boleh pasang. Dia sudah takut. Sebab EXCO sudah tanya. EXCO mahu datang tengok! Itu jurutera telefon. Mintak tolong sama aku. Itulah, awal-awal tak mahu ikut cakap aku. Kerja besi ni aku memang tahu. Sudah masuk campur dalam darah daging aku!”

Dua jam kemudian kami berpisah. Ada janji akan ketemu lagi. Dia juga pelawa saya ikut lawat projek taman haiwannya.              

Di parkir, ketika Lee membetulkan duduknya di kusyen dan meramas perlahan stereng, saya  mengusik. “Tauke, kereta ni tak boleh bawak pergi tengok gajah! Tenggelam dalam selut!”

Lee ketawa besar. Kemudian dia memulas stereng dan berlalu.

Saya memerhati kereta mewah model terbaru itu hilang di selekoh yang terlindung pohon besar dan rendang.     
Dalam kepala datang lintasan kata-kata Lee ketika sembang-sembang sambil hirup teh tarik.

“Aku bukan orang pandai. Sekolah tak habis, Aji. Takat tingkatan dua sudah cabut. Baca tulis aku tak reti. Nak isi borang ni pun, isteri aku yang buat. Dia pandai baca tulis. Dia sekolah tinggi.”

Saya tak akan bisa lupa kata-kata hujungnya sebelum teh dihirup habis ke pantat koleh.

“Aku ni orang bodoh, Aji. Abang dan kakak aku semua pandai-pandai. Dia tu semua lepas sekolah tinggi belaka. Tapi dia tu semua tak fokus. Buat kerja tak serius. Banyak sangat mahu buat. Macam-macam mahu buat. Aku ni yang bodoh sekali. Hanya pandai buat kerja besi. Dari dulu aku tak buat kerja lain. Sudah tiga puluh tahun lebih aku buat kerja ni. Aku tak pandai buat kerja lain. Sebab aku bodoh. Baca tak pandai. Tulis tak pandai. Kerja besi kerja orang bodoh. Tapi aku tak malu buat kerja yang aku tahu sungguh.”

Saya cepat menambah di hujung ayatnya. “Salah tu, Lee! Kamu bukan bodoh. Sebenarnya kamu tak habis sekolah. Peduli apa orang lain nak kata kamu bodoh. Kalau banding dengan kakak dan abang, sah kamulah yang berjaya sekali. Jadi tauke besar dan paling kaya.”

Permisi. Dengan izin-Nya kita bisa ketemu lagi.
___________________________________
Nota: kerana tak dapat izin, foto Lee tak boleh dirakam dalam catatan ini.

3 ulasan:

  1. Ulasan ini telah dialihkan keluar oleh pengarang.

    BalasPadam
  2. terima kasih masih ingat kawan sekampus ini. :) hampir mencecah 30 tahun sudah.....catatan latar belakang seperti ini mampu meningkatkan persefahaman antara penulis dan pembaca. syabas and teruskan penulisan yang mampu menarik minda pembaca.

    BalasPadam