Karya

Karya

Isnin, 4 November 2013

UKURAN KASIH SAYANG TERHADAP ISTERI



(nota awal: Tahun baru dekat senghoti. Kontemporari, nampaknya jadi fesyen baru pulak orang kita hantar mesej bermaaf-maafan di ambang Maal Hijrah. Mahu buka buku baru, dan bermula dengan sifar dosa dengan semua orang yang dikenali, dan mungkin pernah membuat salah atau bersalah. Cuma, begitu jugakah kita melayan isteri - yang setia dan tidak terhitung pengorbanannya? Dalam catatan kali ini, saya lakarkan suatu peristiwa ketika menunaikan Ibadah Haji tiga tahun dulu. Ada kaitannya dengan hal kasih sayang terhadap isteri. Moga beroleh manfaat dan dapat dikutip iktibar.)
________________________________________________
   

Tiada orang Melayu yang tidak tahu pantun ini:

Nasi lemak buah bidara,
Sayang selasih hamba lurutkan;
Tinggal emak tinggal saudara,
Kerana kasih hamba turutkan. 

Pernah lama dulu (seingat saya awal tahun 90-an), dalam suatu seminar tentang sosio-budaya Melayu, berlaku jua perdebatan kerana ada sarjana yang menyarankan supaya pantun itu diubahsuai. Alasannya pantun ini menganjurkan perbuatan negatif: ‘Kalau sudah mabuk bercinta, putus hubungan keluarga pun tidak mengapa’. Saya tak pasti pula pantun itu ada versi baru atau tidak selepas seminar berkenaan.

Karya sastera begitulah. Tafsiran boleh timbul dari pelbagai perspektif. Bagi saya, pantun ini dalam bentuk dan gayanya yang tulen berkaitan sungguh dengan jemaah Haji. Banyak perkara yang kita kasihi ditinggalkan di tanahair kerana menunaikan Rukun Islam Kelima ini. Maksud doa yang dibacakan selepas solat sunat musafir menggambarkan hal ini.

Kita memohon perlindungan Allah dalam perjalanan jauh menuju Tanah Suci. Kita menyerahkan anak-anak, ibu bapa dan waris-warah di bawah penjagaan Allah. Bahkan, dalam doa itu termasuk juga soal keselamatan harta-benda.  

Kita nekad dan tinggalkan apa sahaja yang dikasihi serta keselesaan hidup semata-mata kerana menyahut panggilan Allah dan mengikut syariat Kekasih-Nya, Muhammad SAW.

Ada lelaki (kenalan saya dari Ipoh) yang pergi ke Mekah berseorangan tanpa isteri. Katanya mahu lihat-lihat dan ambil pengalaman, lain kali mudah jadinya apabila datang berdua dengan isteri. Di sebaliknya pula, ada sang isteri datang solo ‘menumpang muhrim’ kerana suami sudah terlebih dahulu menunaikan haji sewaktu bujangan!     

Ada jemaah yang betul-betul memperhalusi larangan ihram, sehingga sanggup melepaskan tekukur kesayangan dari sangkar. Tindakan itu diambil kerana bimbang sabit dengan perbuatan memburu, menembak, menangkap, mengurung atau membinasakan binatang buruan darat yang halal dimakan sama ada di Tanah Haram atau Tanah Halal.

Maknanya, jemaah itu bertindak membebaskan tekukur kesayangannya kerana ibadah Haji.
Seorang sahabat saya dan isterinya sanggup meninggalkan anak-anaknya (seramai tujuh orang) untuk ke Tanah Suci selama 52 hari. Anaknya yang sulung baru tahun pertama di universiti, dan yang terkecil berusia dua tahun. Tiada waris-warah yang menemani anak-anak mereka dalam kehidupan domestik sepanjang tempoh itu. Yang ada dan setia ialah seorang bibik (asal dari Medan), yang sudah lima belas tahun beri khidmat kepada keluarga itu.

Bahkan ada dikhabarkan, seorang ibu (udah punya empat anak) sanggup meninggalkan anaknya yang bongsu (baru usia enam bulan) dijagai iparnya kerana tidak sanggup melepaskan peluang mengerjakan ibadah Haji. Bukan itu saja, kerana duit tak mencukupi, hanya sang ibu yang pergi sebagai tetamu Allah tanpa ditemani suaminya. Wanita itu ‘tumpang muhrim’ dengan famili bapa saudaranya.  

Itu contoh-contoh mudah betapa besarnya kasih kepada Allah dan Rasul-Nya, para jemaah meninggalkan apa jua yang disayangi di tanahair.      

Jika jemaah begitu tawakal meninggalkan semua yang disayangi di tanahair kerana mahu menyempurnakan Rukun Islam, bagaimana pula layanan mereka terhadap ‘kekasih’ yang bersama-sama menunaikan Haji?

Saya fikir, satu peristiwa yang berlaku di Mina ini boleh dijadikan iktibar.

Setelah selesai melontar di hari kedua, saya dan Lateefa bergegas mahu pulang. Malam itu, hujan renyai-renyai yang turun sewaktu mula-mula masuk ke Kompleks Jamrah, sudah bertukar agak lebat. Tiupan angin terasa agak kuat. Guruh turut menggema sekali-sekala.

Berjalan laju-laju mahu masuk segera ke terowong Moessim menjadi serampang tiga mata. Menjadikan badan hangat dalam suasana dingin; mahu melepaskan diri daripada kesesakan manusia di jalanraya; dan ingin berlindung di dalam terowong. Ketika itu, tiada kenalan atau sahabat yang melontar bersama kami. Mereka sudah menyelesaikannya pada waktu petang. Lagipun, hari kedua melontar, ramai jemaah pergi sendiri-sendiri tanpa mengikut jadual ditentukan petugas TH. 
terowong ulang-alik ke jamrah. 


Separuh perjalanan pulang di dalam terowong, berlaku sedikit kekecohan. Terdengar suara keras seorang lelaki seperti menengking. Beberapa orang jemaah Malaysia (lelaki dan perempuan) sedang mengerumuni seseorang. Saya mencelah di antara mereka. Rupa-rupanya seorang jemaah wanita pitam. Si suami yang nampak agak kesulitan  memapah isterinya, ternyata  tidak mahu menerima bantuan orang lain.
“Tak payah tolong. Saya boleh buat sendiri. Isteri saya tak apa-apa!” Nadanya agak kasar. Gelagatnya macam mahu mengusir jemaah yang mahu mendekat.

Saya berlari anak, mahu segera mendapat Lateefa yang sudah sepuluh meter di depan. Cepat saya memberitaunya kejadian itu. Tanpa lengah kami cepat-cepat berpatah balik, mahu mendapatkan pasangan yang dalam musibah itu.

Saya menyatakan hasrat ingin menolong. Sang suami masih menolak. Dalam kepayahan memapah isterinya, dia seperti naik angin pula. Kerana kesian melihat isterinya yang tidak bermaya itu, tiada jalan lain lagi. Saya mesti tunjuk keras juga.
“Tuan haji, maaf banyak-banyak. Biar kami tolong. Isteri saya ini seorang doktor. Dia lebih tahu apa nak buat!”

Lelaki itu tidak berkata apa-apa. Dia merenung saya seketika. Saya lihat tiada tentangan terzahir di wajahnya. Saya menggamit Lateefa. Lantas dia menyuakan air mineral kepada wanita berkenaan. Sebahagian air yang berbaki disapukan pula ke seluruh muka wanita itu. Saya menghulurkan sebotol lagi. Lateefa membuka tudung wanita itu dan jerlun air di kepalanya. Barulah nampak wanita yang pucat lesi dan tidak bermaya itu mula bergerak bibirnya. Tapi tiada suara terkeluar. Suaminya terus mengatup mulut. Masam di wajahnya masih tidak surut.

Tiba-tiba muncul seorang lelaki Bangladesh yang menolak kerusi roda. Sangkut-sangkut dia bertutur dalam bahasa Inggeris. Lelaki Bangladesh ini menawarkan khidmat ‘menolak’ wanita itu di kerusi rodanya hingga ke khemah.

Saya sangat terkejut. Sang suami dengan kasar mengusirnya. “Pergi kamu! Orang sakit, dia nak cari untung pulak! Pergi kamu! aku masih kuat! aku boleh papah isteri aku!”
Moyok lelaki Bangladesh itu disergah tanpa amaran. Pergi dia membawa malu, menyusup di celah-celah jemaah yang bergerak tanpa putus macam aliran air di dalam longkang yang besar. 
Saya berbisik kepada Lateefa, “Abang pergi dulu. Boleh sampai cepat sikit di khemah perubatan. Mintak dia orang sedia apa-apa yang patut.”
Lateefa hanya mengangguk sambil membetulkan lengan wanita itu di bahunya. Manakala sang suami yang berdiri di sebelah kiri, juga meletakkan lengan isterinya di atas bahu.   Keluar dari terowong, tidaklah pula saya boleh bergerak dengan cepat. Tidak mungkin boleh berlari kerana jalanraya basah dan licin.
Sewaktu saya menjenguk ke dalam khemah perubatan Maktab 73, hanya ada seorang pembantu perubatan. Saya ceritakan kepadanya tentang kecemasan yang berlaku.
“Maaf , Haji. Saya kena tunggu di sini. Doktor ada kecemasan lain. Kalau Haji mahu kerusi roda, boleh ambil. Bawa pesakit ke sini. Kita tengok dulu. Kita cuba tolong. InsyaAllah!”
Tidak sampai sepuluh minit saya menuntun kerusi roda, belum lepas separuh kawasan perkhemahan jemaah Malaysia, sudah bertemu dengan pesakit yang ingin ditolongi. Cepat si suami bersuara ketika melihat saya dengan kerusi roda itu.
“Terima kasih, haji. Dekat dah. Khemah kami lepas lorong delan saja. Dah nak sampai. Tak payah kerusi roda.  Saya boleh papah dia ke khemah.”
Ketika sampai di khemah perubatan, saya menyerahkan kembali kerusi roda kepada pembantu perubatan yang sudah bersedia menunggu di luar khemah. Tapi lelaki berkenaan enggan membawa isterinya masuk walaupun digesa beberapa kali oleh petugas perubatan itu.
“Isteri saya okay. Dia ni belum makan. Dah dapat nasi, teguk air, segar balik. Di Mekah pun pernah pitam. Macam ni jugak. Tak ada orang lain tolong pun. Saya buat sendiri saja!”
Ketika sudah menghampiri khemah jemaah wanita, kami bersalaman. Sempat juga si suami mengucapkan penghargaan, dan barulah dia tersenyum serta bertanyakan nama saya.
Sewaktu bersiap-siap mahu ke tandas, datang keinginan membelek sebuah buku yang saya beli di Hotel Janadriyah. Desakan itu kuat benar kerana kejadian di dalam Terowong Moessim yang baru ditempuhi. Saya mahu melihat semula Khutbah Arafah yang disampaikan oleh Muhammad Rasulullah. Saya yakin, di dalam khutbah itu ada suatu peringatan oleh Rasulullah berkaitan dengan wanita.

Inilah sabda junjungan kita di dalam khutbahnya itu:
‘Wahai manusia! Takutilah Allah swt dalam urusan yang berkaitan dengan wanita. Sesungguhnya kamu telah mengambil mereka sebagai amanah daripada Allah swt...’


Tiada ulasan:

Catat Ulasan