Karya
Selasa, 17 September 2013
MELAYU DI ATAS WAKAF (2)
Melayu itu kerjanya mengail
lepas Subuh udah cepat-cepat injak pasir
kemudian congok dalam bot, pegang kemudi erat-erat
corong pandangan ke laut luas,
mahu perah laju-laju botnya sederas mata memandang
pecah ombak cari ikan hingga ke Pulau Bidong
kerana tahu benar dia di situ bermain ikan aya
pulau cantik yang dulunya Pulau Pelarian
waktu itu, tahun 70-an,
di situ nelayan macam dia tidak boleh cari makan
sebab kerajaan kena jaga 'oghang viyatnang'
Melayu di atas wakaf itu, tengah lepas lenguh
baru balik mengail dekat-dekat Pulau Bidong
mitosnya tempat aya bermain-main,
tapi hari ini hanya dapat seekor tak sampai pun besar lengan!
Melayu itu yang santai di atas wakaf
memaku pandangan ke Laut China Selatan
dalam hati merendam tekad menyangkut dendam
lepas Asar nanti mahu lekas-lekas pecut bot ke laut lagi
kerana udah berdengung jadi panas telinga
ditampar jerit-pekik senda-gurau
pengail-pengail yang lain,
yang ralit melapah tiga pari selebar kusyen kereta
yang celup-celap timbang bungkus kerisi sepuluh kilo dalam jabir-jabir plastik
Melayu di atas wakaf yang tidak bertutur dengan siapa-siapa
matanya corong melemparkan dendam ke lautan dalam
tidak peduli dia panji-panji biru yang rebah
selepet disodok bot yang tuannya udah lama pulang
kerana panji-panji itu nantinya akan berganti dan berkibar berganti baru lima tahun lagi.
Ugh, sebenarnya dia tidak peduli warna apa pun panji-panji atau bendera itu
kerana aya, kerisi, sotong dan pari meragut umpan tidak peduli apa warna pun
lagipun, di laut luas dan lepas itu,
bendera apa pun bukan janji ikan dan sotong akan melompat ke dalam perahu!
________________________
permisi. dengan izin-Nya kita bisa ketemu lagi.
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan