Karya

Karya

Jumaat, 27 September 2013

MELAYU DI ATAS WAKAF (4)

Pagi yang tak cerah ini,  hanya tiga bot pecah ombak ke laut.
Bawak balik tiada yang lain - sotong mabang, dan kerisi saiz kecil.
Tidak tersangkut pari, tidak jugak aya. tenggiri dan kerapu tak melintas dalam angan-angan. Ramai yang duduk tunggu dekat-dekat wakaf nak borong ikan segar-segar.
Sampai bot yang akhir, keluhan serupa saja. 
“Kerisi halus nak masak asam pedas dok sedap. Nak goreng isi sikit. Molek lumur garam buat kering saja!”

Kata Si Abu Pengail Muda, “Tahun ni ikan molek payoh nak bulih. Nampak fesyengan ikan kurang sungguh. Sejak belum puasa sampai lening. Dah nak masuk Raya Haji. Dok lama kekgi nok maghi pulok tengkujuh. Lagi parok! Susah sokmo kita kalu lagu ning!”

timbul rasa jugak nak beli kerisi segar dan sotong mabang. Tapi yang mata bersinar dan sisik diselaputi lendir segar itu udah pun dimasuk rajut, tersangkut di kepala tiang.
“Hok orang belaka doh. Pok lambat sangat maghi!” Abu bicara sambil menyimpan seplastik bekalan, umpan dan susun joran di atas kusyen belakang proton saga model 80-an.

Tidak menolak dia ketika dipelawa hirup kopi di warung Ayoh Wang.
“Dok tahu pergi mana ikang hok molek-molek. Mungkin jugak orang kata, kena kaut pukat Bot Viyatnang belaka! Lesen orang kita. Awak-awak dengan bot hok Viyatnang belaka!”

   
Kemarin ombak besar. Tiga bot tenggelam dalam lagun. Hari ini tiga bot lain yang ke laut.
Pengail yang berani-berani saja membelah hamparan berombak Laut China Selatan.  Ketika langit warnanya kelabu, dan laut warnanya tidak biru.

Yang berani-berani itu termasuklah Abu Pengail Muda. Isterinya kerja di sekolah. Anaknya yang sulung darjah satu. Anak yang bongsu, baru lima tahun. Tiada siapa nak jaga di rumah. Tak masuk akal nak cari bibik. Nak hantar ke tadika, jadi sukar urusan ibu yang kerja di sekolah. Tak boleh digantung harap pada Abu yang sibuk menuai di birai unjam di tengah lautan. Hulur tarik kail harap-harap tersangkut kerapu, kekacang dan tenggiri.

Maka di atas wakaf itu si kecil jadi penunggu.
Ayahnya yang turun ke laut dari enam pagi, lepas jam sepuluh barulah  muncul kembali di muka lagun.
Gadis cilik yang bertudung, berbaju kurung itu. dia adalah Melayu yang paling muda duduk menunggu di atas wakaf itu!    

____________________
permisi. dengan izin-Nya kita bisa ketemu lagi.          

Tiada ulasan:

Catat Ulasan