Paling jauh takat ini merayau hingga ke Pulau Kerengga. Kalau ke situ, masuk jadual singgah di medan selera Kelulut. Makan-makan di warung tepian pantai. Dapat rasa aura daun-daun nyiur yang benar senghoti duk melambai serta bayu laut yang membisik supaya menyahut seru Pulau Kapas!
Pantai Kelulut, pohon nyiur dan Pulau Kapas |
Ugh, nikmat bangat santai di sini sambil makan nasi minyak lauknya ikan aya.
Tak bisa digali lagi sebab namanya begitu. Mungkin dulu-dulunya ramai anak dara yang pinggangnya bak kerengga! Tiga empat kali sudah sampai ke situ. Mengembalikan memori arwah ayahanda yang gemar menembak bangau di pinggir sungai.
Dengar cerita sungainya ada penunggu. Air tenang yang gelap itu jadi wilayah kegemaran sang bedal yang kononnya tidak pernah pula membaham manusia. Dengar cerita ada penduduk yang nampak ia jadi tugu berjemur lama-lama di tebing seberang.
"Jangan khuatir tidak diusik siapa-siapa!" ghairah MokNah bercerita.
Dikhabarnya juga ada budak yang mati. Bukan dikerkah binatang warisan dinasur itu. Mati lemas kerana tak pandai berenang tapi masih mahu bermain di sungai itu.
Pulau Kerengga, serupa beberapa kampung lain di Darul Iman. Entah apa sebanya terlekat gelaran 'pulau' di pangkalnya. Pulau pura-pura belaka tuh. Pulau Musang. Pulau Babi. Pulau Kambing. Pulau Sekati. Pulau Rusa. Kampung yang bukan pulau. Cuma duduknya di pinggir sungai.
Dulu-dulu, zaman tamadun lama, sungai itulah lebuhraya. Mungkin orang-orang yang letih lesu mudik, yang singgah di pangkalan kampung-kampung itu terfikir, "ah, lega! aku dah sampai kat pulau!"
Pulau Kerengga yang masyhurnya kerana ada 'penjara terbuka' itu, tidaklah ketara sangat pembangunan fizikalnya. Walaupun ada jalan besar membelah dadanya langsung ke Wakaf Tapai, yang jadi mudah mahu ke LPT, rata-rata pembangunan fizikal yang lain tak nampak ghairah.
Ketika bicara dengan beberapa penduduk (antaranya ada yang masih ingat akan arwah ayahanda) terloncat keluhan jua, "Ugh, kawasan orang kalah. Mana nak bangun apa-apa! Janji nak buat macam-macam. Tapi doh kalah, tinggal macam ni sajalah!"
Maka jadi fahamlah kita. Akan perihal sebuah jet yang terhempas di tepi jalan besar. Jalan utama Pulau Kerengga. Terdampar di situ lama lepas PRU13.
Akan robek ditembusi lalang dan cendawan. Akan punah dek luluh hawa.
Mungkin akan terdiri jet baru. Dengan janji lama yang diperbarui. Lima tahun lagi tuh!
Berhampiran jalan besar, kira-kira sepuluh kilometer dari jet yang terhempas itu, ada jet lain yang tegak gagah macam sedia gempur bila-bila jua. Megah melambai seorang pilot yang pakai topi keledar motosikal.
Barangkali bertahan ia di situ menanti PRU14.
Permisi. Dengan izin-Nya kita bisa ketemu lagi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan