(nota awal:
Sekarang begitu ramai jemaah Haji udah kembali ke Tanah Bonda. Seronok menatap wajah mereka di kaca tv. Tumpang gembira kita kerana kejayaan mereka menunaikan rukun yang kelima. Nikmat seghoti menjadi tetamu Ilahi. Lantas tertayang jua memori beribadah di Kota Suci tiga tahun dulu. Maka kali ini dilakar kembali kenangan itu. Agar bisa dijadikan iktibar dan moga bermanfaat kepada sahabat siber sekalian.)
_____________________
Kira-kira
tiga minggu sebelum wukuf, saya mengaturkan rombongan ziarah. Majoriti teman
sebilik (bersama pasangan) disertai beberapa kenalan lain berpeluang melawati
Jabal Nur (Gua Hira’), Jabal Thur
(tempat persembunyian Rasullah ketika hijrah), Padang Arafah, dan Mina.
Saya
mengambil inisiatif mengatur ziarah ini kerana berhasrat untuk ziarah juga ke
Hudaibiyyah. Teringin sungguh sampai di tempat amat bersejarah itu. Di situ
termeterai perjanjian yang termasyhur dalam sejarah ketamadunan Islam antara orang
kafir Mekah dengan Nabi Muhammad SAW. Hajat Rasulullah menunaikan Haji julung
kali pada tahun keenam Hijrah, sejak terbangun negara Islam Madinah tidak
kesampaian. Implikasinya, Perjanjian Hudaibiyyah itu membuka gerbang dakwah
Islamiyah yang luas ke seluruh Tanah Arab kerana genjatan senjata selama
sepuluh tahun. Dua tahun selepas itu (8
Hijrah), Kota Mekah pula jatuh sepenuhnya di bawah penguasaan Rasulullah.
Setelah
berkira congak dengan Haji Zahari (lelaki Patani yang punyai perniagaan di Kota
Mekah), Hudaibiyah tidak termasuk dalam laluan. Jika nak pergi juga, kena
tambah bayaran. Kalau tidak termasuk lawatan ke situ, hanya 380 rial satu van
(kos dibahagikan 14 orang yang menyertai ziarah itu).
Tiada sesiapa yang
bersetuju untuk tambah kos. Masing-masing berasa sudah memadai menziarah
tempat-tempat yang dipersetujui lebih awal. Lagipun ada disuarakan kekhuatiran
tidak sempat balik semula ke Hotel Janadriyah sebelum Zohor. Maka hasrat ziarah
Hudaibiyah tidak kesampaian.
Jabal
Nur merupakan persinggahan yang pertama. Kami hanya bergambar agak jauh dari
kaki bukit. Pandai Pak Arab pemandu van itu memilih lokasi supaya rakaman
kenangan kami di situ tidak terhalang oleh banyak bangunan yang terdiri
berhampiran kaki bukit. Dari tempat kami bergambar itu, sayup kelihatan kelibat
jemaah yang mendakinya, membentuk satu barisan manusia yang panjang. Pemandu
van beritau, kurang-kurang satu jam baru boleh sampai ke Gua Hira. Rugi juga
rasanya tidak dapat mendaki Jabal Nur, dan masuk ke dalam gua pertapaan Nabi.
Tempat turunnya wahyu yang pertama sebagai pertabalan Muhammad sebagai Pesuruh
Allah. Pak Arab itu menambah, jika berdiri di depan Gua Hira, kita boleh nampak
Baitullah. Benarlah yang dikatakannya itu. Kerana begitulah juga gambarannya
dalam sebuah buku sejarah Kota Mekah (karya Dr Abdul Basit Abdul Rahman).
MasyaAllah.
Sempurnanya pekerjaan Tuhan Yang Esa. Turun Jibrail mengajari Muhammad SAW
surah al-Alaq itu, di suatu tempat
syahdu bersaksikan rumah-Nya – Kaabah, yang didirikan oleh hambaNya yang amat
taat, bapa kita Nabi Ibrahim.
Destinasi
selepas itu (Jabal Rahmah), rupa-rupanya lebih mengujakan segelintir ahli
rombongan. ‘Bukit ikatan kasih-sayang’ ini dipercayai lokasi pertemuan semula
Adam dan Hawa selepas dibuang daripada Syurga.
Terdengar
gurau-senda sebaik sahaja menuruni van. Tiada orang lain, Jamal si tukang usik.
“Orang
lelaki, kalau panjat Jabal Rahmah, tiada lain doanya. Mesti nak tambah seorang
lagi!”
jabal Rahmah: pendakian dengan pelbagai hajat |
Lama
sebelum menunaikan umrah (2009), saya pernah mendengar cerita tentang afdhal
berdoa mohon jodoh di atas Jabal Rahmah. Kisah peribadi ini diberitau kepada
saya oleh seorang pegawai kanan sebuah agensi kerajaan. Wanita anggun ini, yang
merupakan isteri kedua kepada seorang pegawai daerah dengan nada bangga
beritau:
“Waktu
sampai di airport, Abang Haji (suaminya) terus mencari saya. Mahu berjumpa
segera dengan saya. Rupa-rupanya dia nak masuk meminang. Katanya, sewaktu tawaf
wada’ dia asyik terbayangkan wajah saya. Abang Haji yakin doanya di Jabal Rahmah
sudah termakbul. Dia berdoa agar Tuhan tunjukkan seorang wanita yang boleh
dijadikan isterinya yang kedua!”
Ketika
Kursus Intensif Haji (2010) pula, seorang penceramah memberikan pesan:-
Kalau suami berdoa di
puncak Jabal Rahmah, isteri jangan main ‘amin’ saja. Kena waspada. Kadangkala
suami doa langsung tak dengar suara. Kita tak tahu dia doa ‘nak tambah’ satu
lagi. Bila dah jadi sungguh (kahwin satu lagi), isteri mengamuk. Suami dengan
selamba beri alasan: ‘Waktu di Jabal Rahmah dulu, saya doa nak kahwin lain,
awak yang kuat sebut ‘amin’ nya. Dah jadi betul, janganlah marah!’
@@@@@@@@@@
“Tadi
aku nampak Haji Mahadi bawa marker.
Nak tulis hajatnya di atas batu di puncak Jabal Rahmah.”
“Kalau
lama macam ini, dah setengah jam kita tunggu, bukan tulis senarai. Ini mesti
buat karangan di atas batu!” Entah siapa memulakan usikan. Tidak biasa dengar pula suaranya. Pasti bukan rakan sebilik.
“Duk reka sepuluh
sebab perlu tambah tiga sekaligus!” seorang lagi yang bersuara parau menambah.
Ada
yang terkekeh-kekeh. Jamal katup mulut dengan sebelah tangan, sambil telunjuk
tangan yang satu lagi digoyang-goyang ke arah Hajjah Maznah. Ketawa kecil
timbul tidak lama. Padam terus. Kawan-kawan satu van faham dengan isyarat
Jamal. Kerling sedikit, masing-masing sudah nampak reaksi Hajjah Maznah.
Ketara isteri
Haji Mahadi dalam mood tidak bagus.
Mencantum. Tidak bercakap dengan siapa-siapa.
Dia
tidak bergerak sedikit pun. Berdiri di belakang van sambil berpeluk tubuh.
Matanya mencorong ke arah Jabal Rahmah.
Pemandu
van memberikan isyarat, masa untuk pergi sudah tiba. Kami sudah terlebih masa
di sini. Saya menelefon Haji Mahadi.
Dia menjawab dalam termengah-mengah. “Ramai sangat orang berebut nak tulis. Baru habis nih. Tengah turun ni. Lima minit lagi saya
sampai.”
___________________
Permisi. Dengan izinNya kita bisa ketemu lagi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan