Karya

Karya

Isnin, 16 September 2013

MELAYU DI ATAS WAKAF



(nota awal: lama seghoti tak tulis puisi. jaman ngaji di tingkatan enam, sajak asmaradana menang nombor satu, dan masuk majalah sekolah. puisi jugaklah karya pertama yang muncul di akhbar Berita Minggu, jaman masih studi di kampus tua lembah pantai. perihal nasib mujahidin di bumi Palestin. hari ini, Hari Malaysia. Gatal sungguh mahu kembali cuba bariskan kata-kata, bina rangkap-rangkap puisi. susun kalimah perihal orang kita. harap-harap menjadi, dan timbul maksudnya.)  
___________________________

MELAYU DI ATAS WAKAF


Ketika azan dikumandang bilal tua,
Melayu itu tiba satu van penuh dengan kawan-kawan
ada yang menyusul naiki lori
Kerja kontrak belaka
tiada takwil
Kerna wajah, perilaku, tutur dan pakaian tergambar ketara

Ketika iqamah memanggil masuk saf,
dia dan rakan-rakan mula buka mangkuk tingkat
dan bungkusan lain santapan tengahari

Sewaktu imam sopan kalimahkan salam,
udah sendawa dia kekenyangan

Sewaktu pintu gelongsor dewan solat sudah terkatup,
masih sembang-sembang dia, 
dan ada rakannya yang terbaring - lengan di atas dahi, kaki bersilang.
Kenyang + letih + berlunjur + rehat-rehat. 

Ini waktunya khusus untuk rehat. Udah kerja dari pagi. lenguh badan angkat segala yang berat-berat dan kerja sukar-sukar. Pijar otak, berdenyut kepala kerna terik mentari.

Melayu di atas wakaf.
Mahu lepak dulu kerna pukul dua nanti, dia wajib kembali ke tapak.
Bekerja untuk  tanggung anak bini dan siapa jua yang dia perlu tanggung.
Untuk naik solat di masjid yang harga 4juta ringgit itu, belum tentu. Dia tahu itu pun wajib.
Tapi dia ke situ kerana mahu rehat dan penuhkan perut untuk caj tenaga. Kerna nantinya dia wajib kembali ke tapak. Ada rumah agam yang perlu disiapkan segera.
Yang wajibnya untuk naik dan tunaikan rukun di dewan solat tidak nampak semacam wajib.
Padahal itulah tapak binaan rumah agamnya di alam baqa.

Melayu di atas wakaf.
Dia dan kawan-kawannya wajib ke laman masjid itu tiap hari ketika waktu rehat tengahari, selagi rumah agam yang dibina belum bangun sempurna.

Melayu di atas wakaf.
Masuk ke laman masjid kerana mahu sembang-sembang. Mahu makan-makan. Mahu rehat-rehat. dan main tekan punat di pad telefon berbalas-balas sms entah dengan siapa. 
dekat pukul dua, tergesa-gesa naik van ramai-ramai mahu segera ke tapak binaan rumah agam. Wajibnya begitu!
Ketika itu, imam dan bilal baru sampai di rumah, dan mula siap-siap mahu menjamah hidangan di atas meja.

___________________________________________________
permisi. dengan izin-Nya kita bisa ketemu lagi.
pesisir Tok Jembal, Hari Malaysia 2013.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan