Karya

Karya

Isnin, 23 Jun 2014

Cerita Terengganu (3) BUNUH LIPAS GUNA TISU!



Kemarin.  Lepas Isya.

Baru sudah makan berjemaah dengan Lateefa dan Dek-Dek. Berjamu hidangan pakej KFC.
Sewaktu Lateefa dan Dek-Dek masih nampak berselera untuk terus kecek-kecek, kawe undur diri dari meja makan. Mahu segera naik ke ruang famili. Hasrat mahu nonton apa-apaan tentang Brasil 2014 tinggi seghoti.

Biarlah Lateefa dan Dek-Dek sambung royak hal apa jua ikut selera.

Hanya tinggal satu hari lagi anak gadis kawe yang tengah itu ada di rumah. Esok malam Dek-Dek akan kembali ke kampus. Sambung studi semester tiga di Gombak. Masih ada 24 jam untuk diisi hal-hal bermutu yang nampaknya hanya ibu dan anak berhasrat kongsikan. Begitu yang kawe nampak daripada lingguk dan riak badani. Kawe tak perlu campur lebih lanjut. Baiknya naik tangga dan santai di depan tv.

Tinggal tujuh anak tangga, kawe berhenti dan cuba berdiam.
Selepas kembali undur tiga langkah menurun, mata masih mencorongi dinding ruang famili, kawe panggil Dek-Dek dengan suara habis rendah.

“Ambik tisu...ambik lima enam getah jugak!”
“Getah?” Dek-dek yang tidak tahu tujuan kawe, tidak pasti pulak getah yang mana. 
Kawe tunduk sambil pegang pagar tangga. “Getah ikat plastik!”
Nampak Dek-Dek belum pegang apa-apa tisu, kawe berikan usul. “Ambik tisu KFC tu! Cepat sikit!”
“Ayah nak buat apa?”

Laju Dek-Dek naik, laju jugak dia turun. Jelas dia tiada hasrat tunggu jawapan. Molek benar, kerana kawe pun tiada hasrat mahu respon. Mahu katup bicara cepat-cepat. Tidak perlu dihebohkan kerja dan rencana kawe. Boleh jadi kecoh sebuah rumah!  

Dalam satu minit buat persediaan, kawe pun menguting.

PELEPAK!

Haiwan kecil yang sangat ditakuti Lateefa itu terlentang di atas bahu kabinet tv.

Tidak bergedik sikit pun. Terus hilang nyawa.
Tak ternampak kesan percikan bendalir daripada badannya. Tidak pulak ada kesan hentaman yang kuat di mana-mana anggota. Tiada kaki yang tercabut. Tak ada jugak kepala yang remuk. Tidak jugak terkesan bahagian badan yang hancur.

Kawe tak gunakan semburan racun. Kawe tidak piat dengan penyapu lidi. Kawe tak rodok dengan kayu. 

Kawe guna kaedah lama.

Hanya dengan tisu, sekali hentam terus mati.

Ini kaedah lama. Zaman remaja dulu udah reti kawe buat. Ini cara budak kampung.
Bunuh lipas hanya guna tisu. Yang dilipat kemas, diikat kejap guna seurat getah gelang. Lima gelangan yang lain dijadikan pembidas.

Inilah rupa tisu KFC yang digubah dan digunakan bunuh lipas. Alat mesra alam tanpa semburan racun, lidi atau penyapu!    

Masih adakah remaja lelaki kontemporari (kampung atau bandar) yang reti buat alat mudah macam ini?
Masih adakah remaja lelaki kontemporari (kampung atau bandar) yang boleh jatuhkan lipas atau cicak dari dinding dengan sekali bedik saja guna lastik fesyen lama ini?

Permisi. Dengan izin-Nya kita bisa ketemu lagi.      
          
  



Khamis, 19 Jun 2014

Cerita Terengganu (2): PERIHAL LELAKI BERBAJU HIJAU



Sudah enam bulan dia kunjungi rumah kawe. Empat hari seminggu. 
 
Siadee (Dee), orang Pulau Rusa. Kerjanya buat rumah. Banyak kepandaian dia - pasang tiles, ikat bata, plaster dinding, tegakkan tiang konkrit, dan buat bumbung simen. Paling dia handal ialah kerja kayu. Kalau takat nak bina serambi yang lantai dan bumbungnya kayu, itu tiada berat secotek baginya. Nak buat rumah kayu sebuah pun dia boleh bikin.

Tapi kenalah ada regunya – Dahalan (Lan).

Itulah sahabat Dee dan kepala tukang. Arkitek dan jurutera fesyen lama. Kalau diminta lukis pelan, maka inilah jawapannya:

“Kita dok reti nukih! Aji kabor  nok lagu maner. Kita wat lah ikut hok Aji nok!”

Jadinya selama enam bulan membereskan kerja membaiki  dan ubahsuai di rumah kawe, pelannya dalam kepala dia saja!

Waktu mula-mula kawe mintak Lan buat serambi, dia hanya angguk-angguk. Macam tak dengar yang kawe royak. Tapi nampak matanya merenung lama ke arah bahagian depan rumah yang akan diubahsuai.
Dia tak guna mesin kira. Tapi congakan kos kayu, simen, pasir, atap, batu dan besi hampir seratus-peratus tepat. Lebihan bahan binaan hampir sifar!         

Dee itu pula kira-kiranya leftenan dialah. Cuma dalam seminggu dia hanya datang kerja empat hari saja. Gengnya yang lain termasuk Lan Kepala Tukang cukup lima hari.

Hari Selasa gerenti Dee tak datang.

Dia pergi menadah kitab di sebuah surau di Kampung Losong.

Ada kalanya dia hilang seminggu. Dengar khabar ikut kawannya yang lain bina masjid. Di sebuah kampung di Kelate. Dengar cerita masjid tu didirikan atas semangat gotong-royong. Dengar cerita seorang tukang kayu yang handal dari Terengganu jadi kepalanya. Rasa-rasanya Dee ikut kumpulan yang bina masjid inilah. Saya tak pasti kerana Dee tak pernah royak sendiri kepada kawe. Tapi hampir pasti pulak kumpula pembina masjid itu rata-ratanya penyokong tegar sebuah parti politik.   

Selalu jugak kawe mengusik Dee. Kawe suka bergurau-senda dengannya bersangkutan hal politik. Kawe tahu dia sokong bendera hok mana satu! Dee ni kuat semangat kepartian. Hatta sanggup tinggal kerja kerana hal-hal yang bersangkutan dengan parti.   

PRK Kajang yang terbaru, Dee dan kawan-kawan seperjuangannya (bukan grup tukang yang maghi rumah kawe) satu kereta ke Bandar Satay yang tersohor itu.

Ada diceritanya betapa itulah pertama kali dia dan kawan-kawannya jejak kaki di Kajang.

Pergi ke Kajang tanpa kenal siapa-siapa.  Kembara PRK itu tiada siapa yang taja. Tidur dan mandi-mandanya  di masjid jamek. Minyak kereta dan tol pakat kumpul duit. Drebar tak perlu bayar kos itu kerana dia empunya kereta. Makan-minum seluk poket sendiri. Tapi semangatnya bercerita tentang pengalaman di Kajang itu macamlah yang bertanding itu waris-warah dia! Katanya, dia balik Ganu tanpa tahu pun keputusan PRK. Lepas pukul sepuluh, waktu masih di atas lebuhraya mereka pakat takbir meraikan kemenangan!

Dee pernah bercerita sewaktu dia dan gengnya  bertukang di sebuah banglo seorang pesara. Bekas pegawai kanan agensi kerajaan. Berlaku kejadian itu setahun lalu.

Hari pertama Dee mula kerja di situ dia disuruh balik segera. Belum pun sempat buat apa-apa kerja.
“Tuan rumah suruh saya balik. Tukar baju. Kalau dok dia tak beri saya kerja di situ! Dia akan cari tukang lain!” cerita Dee.

Rupa-rupanya hari itu Dee pakai t-shirt leher bulat warna hijau.
“Warna baju tu kira boleh tahan lagi, Aji. Tuan rumah naik tuan minyak sebab belakang t-shirt kawe ada tulis ‘Unit Amal’! Bawahnya pulok ada bulan mengambang!”

Permisi. Dengan izin-Nya kita bisa ketemu lagi.                

Isnin, 2 Jun 2014

Cerita Terengganu (1): KAWE NI WAKIL MB...!



Hujung minggu terkini, kawe dan Yang Tersayang penuhi jadual hadir kenduri sahabat-sahabat di Shah Alam, dan Kajang.

Mulanya agak keberatan mahu terbang ke Kuala Lumpur. Sudah atur dengan Lateefa agar dia saja yang pergi kenduri ditemani waris-warah terdekat yang ada di Lembah Kelang.
Rencana berubah drastik. Panggilan telefon daripada Haji Rosli mengubah rancangan asal kawe tak hendak ke KL.

Dengar suaranya udah menjadikan hati kawe ‘denner’.
Rosli sahabat kawe ketika menunaikan ibadah di Tanah Suci.

Kami menginap di bilik yang sama di Madinah dan Makkah. Penghuni khemah yang sama di Arafah. Di kawasan sempit yang sama berzikir, tidur, solat dan meringkuk dalam sejuk sekitaran Mudzalifah. Di perkhemahan Mina, tikar kami terhampar bersebelahan. Bahkan ketika Mina dilanda banjir hari Tasyrik ke-3, kami sama-sama terperangkap dalam bas yang sama, hanya berselang dua tempat duduk.
Lantas, mana mungkin bisa ditolak apabila Haji Rosli menelefon dan jemput ke majlis kenduri sulung anaknya.

Jejaka budiman Saiful ambil kami di KLIA2.

Singgah kami di Seremban satu malam. Ziarah CikNa yang belum sampai tiga bulan kembali dari Melbourne. Selepas bertugas di sana selama tiga tahun lebih sikit.

Baik hati senghoti pasangan ini. Walaupun dua anak lelakinya (Eihaab dan Walid) baru bersunat pagi Sabtu, sanggup CikNa bawak kami ke Shah Alam menghadiri kenduri Haji Rosli, tak jauh dari Masjid Sultan Salahuddin Shah.

Lepas  Zohor (kelewatan hampir jam dua setengah), kami patah balik melalui KESAS penuhi jemputan kenduri anak lelaki tunggal seorang professor di Palace of Golden Horses.

Di kedua-dua kenduri itu kawe pakai baju hijau stail Raihan (macam Dato Fadhilah Kamsah jugak!), berseluar slack hitam.

Ada waris yang mengusik, “Smart-nya,  Pok Harleem!”

Kawe pantas menjawab, “Kita ni wakil MB. Errr...MB yang dah tumbang tu!”

Ketara musykil refleksi kerutan di wajah empunya usikan.

Kawe pun buka cerita. Tentang sedikit kebaikan wakil rakyat dari Kemaman itu.

Bukan kawe baca daripada akhbar, facebook, WhatsApp atau dikutip sembarangan daripada mana-mana blog.

Kawe dapat ceritanya daripada rakyat biasa – golongan marhean yang peroleh kebajikan yang tidak sedikit daripada Tok Wakil dari Kemaman itu.

Tak kiralah apa jua tanggapan yang tersebar luas  dalam WhatsApp, Facebook dan akhbar tentang ‘surat kontrak dan majlis kenduri kahwin’ yang terkenal itu. 

Kawe tetap percaya tiap orang ada kebaikan dan keburukan dalam menjalani hidup hariannya, dan punyai kekuatan dan kelemahan dalam menunaikan amanah besar yang terpikul.

Tidaklah perlu diulangi kisah atau episod yang buruk-buruk itu.

Tapi udah jadi lazim, tumbang seorang tokoh politik, maka ternampak seolah-olah tiada yang baik lagi tentang dirinya.

Kenapa tanpa segan diroyak kepada waris-warah dan kenalan: ‘Kawe wakil MB...yang dulu!”
Tunggu. Yang itu kita bicara di ruang yang lain.
Permisi. Dengan izin-Nya kita bisa ketemu lagi.