Karya

Karya

Khamis, 19 Jun 2014

Cerita Terengganu (2): PERIHAL LELAKI BERBAJU HIJAU



Sudah enam bulan dia kunjungi rumah kawe. Empat hari seminggu. 
 
Siadee (Dee), orang Pulau Rusa. Kerjanya buat rumah. Banyak kepandaian dia - pasang tiles, ikat bata, plaster dinding, tegakkan tiang konkrit, dan buat bumbung simen. Paling dia handal ialah kerja kayu. Kalau takat nak bina serambi yang lantai dan bumbungnya kayu, itu tiada berat secotek baginya. Nak buat rumah kayu sebuah pun dia boleh bikin.

Tapi kenalah ada regunya – Dahalan (Lan).

Itulah sahabat Dee dan kepala tukang. Arkitek dan jurutera fesyen lama. Kalau diminta lukis pelan, maka inilah jawapannya:

“Kita dok reti nukih! Aji kabor  nok lagu maner. Kita wat lah ikut hok Aji nok!”

Jadinya selama enam bulan membereskan kerja membaiki  dan ubahsuai di rumah kawe, pelannya dalam kepala dia saja!

Waktu mula-mula kawe mintak Lan buat serambi, dia hanya angguk-angguk. Macam tak dengar yang kawe royak. Tapi nampak matanya merenung lama ke arah bahagian depan rumah yang akan diubahsuai.
Dia tak guna mesin kira. Tapi congakan kos kayu, simen, pasir, atap, batu dan besi hampir seratus-peratus tepat. Lebihan bahan binaan hampir sifar!         

Dee itu pula kira-kiranya leftenan dialah. Cuma dalam seminggu dia hanya datang kerja empat hari saja. Gengnya yang lain termasuk Lan Kepala Tukang cukup lima hari.

Hari Selasa gerenti Dee tak datang.

Dia pergi menadah kitab di sebuah surau di Kampung Losong.

Ada kalanya dia hilang seminggu. Dengar khabar ikut kawannya yang lain bina masjid. Di sebuah kampung di Kelate. Dengar cerita masjid tu didirikan atas semangat gotong-royong. Dengar cerita seorang tukang kayu yang handal dari Terengganu jadi kepalanya. Rasa-rasanya Dee ikut kumpulan yang bina masjid inilah. Saya tak pasti kerana Dee tak pernah royak sendiri kepada kawe. Tapi hampir pasti pulak kumpula pembina masjid itu rata-ratanya penyokong tegar sebuah parti politik.   

Selalu jugak kawe mengusik Dee. Kawe suka bergurau-senda dengannya bersangkutan hal politik. Kawe tahu dia sokong bendera hok mana satu! Dee ni kuat semangat kepartian. Hatta sanggup tinggal kerja kerana hal-hal yang bersangkutan dengan parti.   

PRK Kajang yang terbaru, Dee dan kawan-kawan seperjuangannya (bukan grup tukang yang maghi rumah kawe) satu kereta ke Bandar Satay yang tersohor itu.

Ada diceritanya betapa itulah pertama kali dia dan kawan-kawannya jejak kaki di Kajang.

Pergi ke Kajang tanpa kenal siapa-siapa.  Kembara PRK itu tiada siapa yang taja. Tidur dan mandi-mandanya  di masjid jamek. Minyak kereta dan tol pakat kumpul duit. Drebar tak perlu bayar kos itu kerana dia empunya kereta. Makan-minum seluk poket sendiri. Tapi semangatnya bercerita tentang pengalaman di Kajang itu macamlah yang bertanding itu waris-warah dia! Katanya, dia balik Ganu tanpa tahu pun keputusan PRK. Lepas pukul sepuluh, waktu masih di atas lebuhraya mereka pakat takbir meraikan kemenangan!

Dee pernah bercerita sewaktu dia dan gengnya  bertukang di sebuah banglo seorang pesara. Bekas pegawai kanan agensi kerajaan. Berlaku kejadian itu setahun lalu.

Hari pertama Dee mula kerja di situ dia disuruh balik segera. Belum pun sempat buat apa-apa kerja.
“Tuan rumah suruh saya balik. Tukar baju. Kalau dok dia tak beri saya kerja di situ! Dia akan cari tukang lain!” cerita Dee.

Rupa-rupanya hari itu Dee pakai t-shirt leher bulat warna hijau.
“Warna baju tu kira boleh tahan lagi, Aji. Tuan rumah naik tuan minyak sebab belakang t-shirt kawe ada tulis ‘Unit Amal’! Bawahnya pulok ada bulan mengambang!”

Permisi. Dengan izin-Nya kita bisa ketemu lagi.                

Tiada ulasan:

Catat Ulasan