Matlamat utama kami konvoi ke Kota Singa ialah untuk hadiri
majlis perkahwinan Johari anak Hj Nordin.
Arwah ayahnya merupakan antara waris yang sangat mementingkan hubungan
silaturrahim dan kekeluargaan.
Orangnya vokal, tapi budiman amat. Sebelum ditimpa sakit
yang agak lama, beliau adalah seorang deejay radio yang popular di Kota Singa.
Sepanjang ingatan kawe, jika ada kenduri apa-apaan di
sebelah waris di Lembah Kelang atau di Darul Iman, memang akan ketemui beliau
dan familinya. Kawe sangat kagum.
Sewaktu menanggung sakit selama sepuluh tahun, tetap hadir
dia di kenduri-kendara waris-warah.
Padahal waktu itu, beliau sudah pun
berkerusi roda. Jaman kontemporari ini waris yang cakna dan mementingkan ikatan
silaturrahim sampai begitu sekali itu automatic
masuk golongan ‘waris mithali’.
paling depan Jawahir. arwah Hj Nordin duduk di sebelah kanan. Dirakam kira-kira dua tahun setengah dulu sewaktu kenduri waris di Teluk Pasu, Terengganu. |
Merakam memori di majlis perkahwinan Johari awal April 2016, di Singapura. |
Kita ini, ramainya akan memberikan alasan yang sangat koman
untuk tidak menghadiri kenduri siapa-siapa termasuk keluarga dekat dan jauh.
Kerana tidak memberatkan akan soal kekeluargaan itu, hanya kerana kenyang dan
letih ke sana ke sini sudah empat lima majlis kenduri sehari, udah komplen
macam-macam. Bukan sakit pun. Bukan jauh pun. Hanya kenyang dan letih!
Padahal jarak majlis dalam lingkungan sejam dua memandu
sahaja. Bukan pergi kenduri gateh basikal pun! Bahkan naik kereta mewah lagi!
Hj Nordin Kassim - inilah contoh seorang insan budiman yang
mementingkan ikatan kekeluargaan. Datangnya pula bukan hanya ditemani isteri
setianya (Jawahir) , anak-anak jantannya pun hadir jugak.
Nun jauh ngoti dari Kota Singa, datangnya berkereta dengan
famili dalam keadaan arwah waktu itu sudah uzur.
Tapi beban kesakitannya itu macam bayang-bayangnya sahaja. Sentiasa
mengikuti tetapi tidak terzahir di
wajahnya yang mudah senyum dan bibirnya yang ringan melontarkan ketawa.
Tapi cakna arwah Hj
Nordin itu dipusakai Jawahir – refleksi seorang isteri yang setia. Sewaktu
majlis perkahwinan Syai dan Alex pada bulan sebelas tahun sudah (2015), hadir
jua Jawahir dan anak-anaknya. Ketika bersua dengan Jawahir, terasa sekali kawe akan
kehilangan senyuman ikhlas dan ketawa mesra arwah.
Sewaktu sudah melalui ‘period reda dan lerai’ kenduri, dan
duduk santai kecek-kecek dengan Lateefa
tentang waris-warah dan sahabat dari dekat dan jauh yang begitu ambil berat dan
hadirkan diri ke majlis kami, dengan nada terharu Lateefa royak, “Kalau Nordin
ada nih, pasti dia mari jugok...dalam sakit-sakit dia tu!”
Al-Fatihah untuk arwah Nordin Kassim.
Moga rohnya dimasukkan oleh-Nya dalam golongan orang-orang
yang diredhai-Nya kehidupan di dunia dan kehidupan di akhirat.
Ya Allah, peliharalah dan lindungilah dia daripada seksaan
kubur, dan mudahkanlah urusannya untuk memasuki jannah-Mu. Amiin yarabbal
alamiin.
Permisi. Dengan izin-Nya kita bisa bicara lagi dalam
kelapangan yang lain.