Karya

Karya

Isnin, 18 April 2016

Ziarah Singapura (4): INILAH WARIS MITHALI!




Matlamat utama kami konvoi ke Kota Singa ialah untuk hadiri majlis perkahwinan Johari anak Hj Nordin.  Arwah ayahnya merupakan antara waris yang sangat mementingkan hubungan silaturrahim dan kekeluargaan. 

Orangnya vokal, tapi budiman amat. Sebelum ditimpa sakit yang agak lama, beliau adalah seorang deejay radio yang popular di Kota Singa.

Sepanjang ingatan kawe, jika ada kenduri apa-apaan di sebelah waris di Lembah Kelang atau di Darul Iman, memang akan ketemui beliau dan familinya. Kawe sangat kagum.
Sewaktu menanggung sakit selama sepuluh tahun, tetap hadir dia di kenduri-kendara waris-warah. 

Padahal waktu itu, beliau sudah pun berkerusi roda. Jaman kontemporari ini waris yang cakna dan mementingkan ikatan silaturrahim sampai  begitu sekali itu automatic masuk golongan ‘waris mithali’.
paling depan Jawahir. arwah Hj Nordin duduk di sebelah kanan. Dirakam kira-kira dua tahun setengah dulu sewaktu kenduri waris di Teluk Pasu, Terengganu. 

Merakam memori di majlis perkahwinan Johari awal April 2016, di Singapura. 
Kita ini, ramainya akan memberikan alasan yang sangat koman untuk tidak menghadiri kenduri siapa-siapa termasuk keluarga dekat dan jauh. 

Kerana tidak memberatkan akan soal  kekeluargaan itu, hanya kerana kenyang dan letih ke sana ke sini sudah empat lima majlis kenduri sehari, udah komplen macam-macam. Bukan sakit pun. Bukan jauh pun. Hanya kenyang dan letih!

Padahal jarak majlis dalam lingkungan sejam dua memandu sahaja. Bukan pergi kenduri gateh basikal pun! Bahkan naik kereta mewah lagi!

Hj Nordin Kassim - inilah contoh seorang insan budiman yang mementingkan ikatan kekeluargaan. Datangnya pula bukan hanya ditemani isteri setianya (Jawahir) , anak-anak jantannya pun hadir jugak.

Nun jauh ngoti dari Kota Singa, datangnya berkereta dengan famili dalam keadaan arwah waktu itu sudah uzur.

Tapi beban kesakitannya itu macam bayang-bayangnya sahaja. Sentiasa mengikuti  tetapi tidak terzahir di wajahnya yang mudah senyum dan bibirnya yang ringan melontarkan ketawa.

Tapi cakna arwah  Hj Nordin itu dipusakai Jawahir – refleksi seorang isteri yang setia. Sewaktu majlis perkahwinan Syai dan Alex pada bulan sebelas tahun sudah (2015), hadir jua Jawahir dan anak-anaknya. Ketika bersua dengan Jawahir, terasa sekali kawe akan kehilangan senyuman ikhlas dan ketawa mesra arwah.   

Sewaktu sudah melalui ‘period reda dan lerai’ kenduri, dan duduk santai  kecek-kecek dengan Lateefa tentang waris-warah dan sahabat dari dekat dan jauh yang begitu ambil berat dan hadirkan diri ke majlis kami, dengan nada terharu Lateefa royak, “Kalau Nordin ada nih, pasti dia mari jugok...dalam sakit-sakit dia tu!”

Al-Fatihah untuk arwah Nordin Kassim.

Moga rohnya dimasukkan oleh-Nya dalam golongan orang-orang yang diredhai-Nya kehidupan di dunia dan kehidupan di akhirat. 

Ya Allah, peliharalah dan lindungilah dia daripada seksaan kubur, dan mudahkanlah urusannya untuk memasuki jannah-Mu. Amiin yarabbal alamiin.
Permisi. Dengan izin-Nya kita bisa bicara lagi dalam kelapangan yang lain.                    

Tiada ulasan:

Catat Ulasan