Karya

Karya

Rabu, 31 Mac 2010

GATAL MAHU JADI PELUKIS

saya gemar melukis. itu yang kadang-kadang tangan gatal-gatal mahu melakar dan menconteng. saya gemar melukis tapi tidak suka mewarna. sebab itulah lakaran saya lazimnya menggunakan pensil.

semasa di sekolah rendah, saya gemar melukis aksi pemain bola sepak. Terpengaruh amat dengan "Star Soccer" yang tertayang di tv dalam hitam putih. barangkali ini juga sebabnya lukisan saya guna pensil sahaja! Majalah bola yang begitu mengujakan saya pada waktu itu ialah Shoot. Kedua-duanya memperkenalkan saya kepada nama besar dalam bolasepak England seperti Bobby Charlton, Gordon Banks dan George Best.

Itu cerita lama sebenarnya. "Star Soccer" tiada bersiaran lagi. Majalah Shoot tidak pula saya pedulikan. Entah ada lagi dalam pasaran. Internet dan tv satelit mengubah bukan sahaja sudut pandangan, malahan cara kita mendapat sesuatu (atau lebih tepat dalam konteks ini cara kita menonton bola sepak). caranya berbeza, tapi minat terlekat kejap pada EPL juga. dari sekolah rendah hingga udah punyai anak tiga (isteri satu saja.

setia pada yang satu! jangan sekali-kali durhaka!ini pengakuan tulus untuk PakGuru Azrain).

Satu perkara lagi yang tidak berubah jua, ialah kegemaran melukis. Hatta ketika menghantar anak-anak ke tuisyen lukisan, saya teruja untuk sama-sama mendaftar. Jadi murid baru yang paling lanjut usia! Tapi gurunya bukan sembarangan - Apayee nama timangan. Nama betulnya Zafarudin. Seorang pelukis seangkatan dengan yang tersohor - Jaafar Taib.

saya tidaklah betul-betul belajar melukis secara langsung dengan Apayee. Pelukis veteran yang selalu muncul dengan rambut ekor kuda, ketika kelas lukisan hanya sesekali menegur. Tapi apabila dizahirkan sentuhannya, termalu kita dibuatnya. Hebat seghoti.

Kegemaran yang lain jika saya menghadiri 'kelas dewasa' itu, ialah membelek-belek album lama (yang terkandung dokumen-dokumen penglibatannya dalam dunia lukisan tanahair) sambil mengisahkan yang tersurat dan tersirat di sebalik himpunan nostalgianya itu.

Apayee pernah menjadi presiden pertama Persatuan Kartunis Malaysia. Itulah yang saya rugi banyak, tidak dapat berguru terus daripadanya setiap kali hadir kelas. Yang mengajar saya ialah isterinya - Cikgu Maimon. Karyanya boleh dilihat dan dibeli di sebuah galeri milik famili mereka, terletak dalam Kompleks PKNS Bandar Baru Bangi.

Oleh sebab ada komitmen lain yang menghambat dan mengekang, saya selalu ponteng kelas. Apabila anak-anak sudah tidak lagi pergi tuisyen lukisan (sebab periksa sudah habis!), maka saya turut berenti. Jika dikumpulkan waktunya, tidak sampai tiga bulan pun saya masuk kelas. Namun begitu, sempat juga menghasilkan beberapa karya yang jadi 'nostalgia kelas dewasa'!

Saya kepilkan tiga keping untuk tatapan anda.

Jutaan terima kasih kepada Apayee dan Cikgu Maimon. Kurang-kurangnya saya dapat berkenalan dengan sepasang insan seni yang amat berbakat, tidak kedekut ilmu dan budiman belaka!

____________________
ilustrasi atas: anak musang
ilustrasi tengah: keris tanjong
ilustrasi bawah: keris macan singo

Selasa, 30 Mac 2010

2. NEGARA LIMA MUSIM (England, 2001/2002)

Panas, Luruh, Sejuk dan Bunga - fenomena alam England, negara empat musim. Ketika ini musim panas mengengsot ke garis akhirnya. Minggu ketiga Ogos merupakan penanda period percutian di England akan sampai noktahnya, dan musim luruh akan menjelma. Tidak lama lagi, pada minggu pertama September, anak-anak akan kembali ke sekolah. Manakala kolej dan universiti akan sibuk semula dengan kuliah dan tutorial. Sejuk sudah mula datang menggigit, dan cuaca panas sudah dihimpit oleh mendung dan hujan yang ada kalanya turun agak lebat. Makin lunturlah romantika dan sentimental yang ditimbulkan lukisan alam musim panas- yang ada ketikanya menghadirkan cerah-ceria langit biru dengan awan-gemawan yang berarak perlahan. Umpama fenomena biasa hari-hari yang lazim di tanahair.

Ah, di England ini, musim panasnya bukan begitu menentu. Tak boleh nak diharapkan sangat. Dalam jangka tiga bulan musim yang dikatakan panas ini, hendak dapat dua minggu berturut-turut panas membakar kulit sukar sekali. Ingatkan panas hingga tiga bulan rupanya-rupanya mendung dan hujan datang mengacau dan menghimpit silih berganti! Barangkali itulah sebabnya tersebar di kalangan orang tempatan kelakar yang agak popular: musim panas di England ni bukannya tiga bulan, tetapi hanya tiga hari sahaja. Kerana itulah, kerana cuaca di musim panas yang tak terjangka, maka apabila tibanya cuti panjang persekolahan, dan berakhirnya semester di kolej dan universiti pada hujung Julai, lebuhraya sesak dengan pelbagai jenis kenderaan yang mengangkut mat & mek saleh yang mahu menikmati cuti panjang ke negara-negara Eropah, Carribean dan Timur Jauh menikmati panas-perit panahan mentari, mandi laut dan bermain pantai.

Seronok juga memerhati gelagat, laku dan gaya orang tempatan menghargai musim panas ini walaupun hanya untuk tiga hari seperti yang dikelakarkan itu. Masa inilah padang-padang berumput pendek dan hijaunya bagaikan permaidani terbentang luas dikunjungi ramai untuk berladenan dan berpelesiran. Sudah menjadi lumrah mat dan mek saleh berjemuran di padang-padang hijau untuk mandi mentari - bukan sekadar bersantai di bangku-bangku, malahan ramai juga saja-saja duduk terlentang di tengah padang. Ketika ini jugalah, sang pemuda bersiar-siar dengan memakai jeans atau berseluar paras lulut tanpa baju mendedahkan tattoo di lengan, dada dan belakang. Manakala yang perempuannya gemar sekali berseluar sendat atau pakai skirt singkat, membiarkan pusat menjelir mengintai di bawah baju singkat yang ketat juga, tanpa lengan dan hanya tali halus memaut di kedua-dua bahu menampung rahsia di dada. Fenomena biasa, lumrah manusia di sini menikmati panas mentari dan mahu dibakar kulit yang pucat kekuningan itu agar keperangan jadinya.

Dalam waktu transisi antara musim panas dengan musim luruh ini, sesekali pada waktu malam pemanas sudah mula dipasang semula. Namun begitu, kuntuman bunga yang pelbagai warna masih galak kembang di taman-taman yang indah dan begitu menarik lanskapnya. Maghrib pula sudah semakin awal, lima belas minit sebelum pukul sembilan. Ketika pertengahan musim panas, mentari jatuh hampir pukul sepuluh malam, dan subuh masuk pukul dua!

Musim panas sudah mahu melambai pergi, dan musim Luruh makin mampir, dan dalam transisi itu, menjelma secara pasti musim yang kelima di England - Musim Bola! Jika musim panas di England dikatakan tidak terjangka, dan panasnya pendek sekali, inilah pula musim yang paling pasti kedatangannya dan musim yang paling panjang di England juga. Musim Bolasepak Liga Perdana Inggeris yang bermula ketika musim panas akan berlabuh dan berakhir ketika penghujung musim bunga, panjangnya sembilan bulan.

Antara yang paling menarik hati dan menggamit diri ini untuk bermusafir di bumi England, musim yang kelima itulah. Bermusafir di negara yang dikatakan rakyatnya melebihkan bola daripada gereja! Sejak di bangku sekolah rendah lagi saya begitu minat dengan bola Liga Perdana Inggeris. Waktu itu tv di Malaysia belum pun tersiar programnya dalam warna-warni lagi, dan pernahlah pula saya menonton George Best melakukan double hattrick dalam satu perlawanan. Minat itu jadi begitu mendalam apabila abang saya, Pak Din (peminat setia Manchester United) melanggan majalah Shoot. Di sini saya tidak membeli majalah itu kerana liputan bola dalam akhbar utama seperti The Independent dan The Times sudah memadai dan kemaskini. Lagipun tak larat pulak rasanya nak baca semua laporan tentang bola dengan begitu banyak majalah bola seperti Goals on CD, Shoot, Four Four Two, Kick Off dan Total Football. Itu tidak dicampur lagi dengan majalah eksklusif setiap kelab bolasepak yang ternama.

Musim ini, Manchester United diramalkan akan terus merajai Liga Perdana Inggeris dengan saingan terdekatnya Liverpool, nampak semacam berpuas hati jika dapat tempat yang kedua! Pengurusnya Gerrard Houllier memberikan kenyataan yang nampak begitu menyerah dan merendah diri, dengan memberikan analogi betapa lain-lain kelab dalam Liga Perdana umpama sekumpulan pelompat bergalah yang bertanding dengan Sergei Bubka. Masing-masing yang lain tahu, mereka tidak akan terkejar dan terlawan dengan Bubka yang berada dalam kelas yang teristimewa. Dan setiap kali kakinya berdebuk berlari kencang dan gagah sambil membawa galahnya, rekod dunia acara itu turut bergoncang.

Tapi realitinya, Liverpool sudah menewaskan Manchester dalam dua perlawanan musim lalu (di Old Trafford dan Anfield juga), dan yang terbaru Manchester tumbang lagi kepada Liverpool di Cardiff ketika perlawanan Charity Shield - pembuka tirai musim ini - Manchester terkedu oleh bisa penyudah Michael Owen.. Walaupun begitu, dari pemerhatian saya terhadap analisis bolasepak dalam media di sini, Manchester United dianggap kelab yang teristimewa dan terhandal ketika ini, yang bukan sahaja mempunyai sejarah yang gemilang dan unik, tetapi dikatakan menjadi bench-mark bola sepak England. Misalnya, pengerusi dan pemilik kelab Fulham multi-jutawan Muhammad Al-Fayed, (yang memiliki The Harrods dan The Ritz) melahirkan impiannnya menjadikan Fulham handal dan ternama seperti Manchester United dan Barcelona. Ketika saya menulis bicara ini (petang Ahad 19 Ogos), Fulham - muka baru Liga Perdana - menerima penangan daripada sang juara dengan van Nistelrooy dan Beckham menjadi pembinasa.

Bagaimana pula dengan Stoke-on-Trent (tempat saya tinggal) dalam senario bolasepak England? Kelabnya bernama Stoke City. Stoke City bukan kelab Liga Perdana. Ia tersenarai dalam Bahagian Dua Nationwide League. Dua nama terkemuka dalam dunia bolasepak England dan antarabangsa berkait rapat dengan Stoke City, iaitu Gordon Banks dan Sir Stanley Matthews. Gordon Banks merupakan penjaga gol handalan England yang bermain dalam pasukan England yang memenangi Piala Dunia buat pertama kali, dan sangat diingati oleh peminat dan penganalisis bolasepak kerana kehebatannya dapat menyelamatkan tandukan pasti masuk dari Pele ketika Piala Dunia 1970. Manakala Stanley Matthews ialah pemain bolasepak Inggeris yang pertama menerima anugerah Sir, masih dianggap sebagai pemain sayap yang begitu handal menggelecek, tiada bandingannya hingga kini.

Bagaimana pula dengan saya ketika tibanya musim yang kelima ini? Saya sudah pun membeli sepasang jersi dan cap pasukan yang sangat saya minati ketika berkunjung dan membeli-belah di Mega store, Old Trafford. Malahan sudah meminta tolong seorang kenalan (yang kebetulan ahli kelab pasukan itu) menempah tiket untuk sekurang-kurangnya dapat menonton satu perlawanan musim ini di Theatre of Dreams. Sementara malam Sabtu dan Isnin pula akan terpakulah di depan kaca tv menonton The Premiership, di mana Terry Venables dan Ally McCoist mengulas dan menganalisis perlawanan mingguan Liga Perdana. Saya tidak akan melepaskan peluang menikmati musim yang paling panjang di England!

1. "SAYA ANAK MALAYSIA!" (England, 2001/2002)

Ketika memulakan bicara pertama dalam kolum ini, yang menjadi muzik latar mengiringi ketukan di keyboard ialah irama lagu "Saya Anak Malaysia", yang dipopularkan oleh dR Sam. Sudah hampir setahun saya merantau di England, imbauan yang begitu nostalgik sesekali datang dari tanahair. Itulah yang menerpakan lagu "Saya Anak Malaysia" dalam kolah ingatan kerana kadang-kadang diri ini menjadi perindu yang berbalada tentang teh tarik-roti canai, ketupat-rendang, cendul, ABC, keropok lekor, dan tentu sekali nasi lemak sambal tumis ikan bilis! Rasanya, sesiapa jua yang jauh di perantauan akan menjadi perindu macam saya, dan tentunya akan tergiurkan juadah yang sudah terbiasa dijamah ketika di tanahair. Walaupun ada kalanya ketemu jua dengan juadah itu di sini, tersedia kadang-kadang oleh rakan-rakan yang kebetulan sekali handal memasak, ia tidak sama, tidak terbanding dengan kenikmatan yang terbit daripada resipi yang tulen. Rasa mungkin sedap, bentuknya barangkali serupa, tapi ummphnya tiada!
Ah, terus-terusan bernostalgik begini tidak akan membawa kita ke mana-mana, kerana kembara rindu tiada batasannya. Bagusnya dinoktahkan dulu akan imbauan itu, kita mulakan bicara tentang realiti di sini.


Saya tinggal di Stoke-on-Trent dalam wilayah Staffordshire. Tidak ramai keluarga Melayu di sini. Setahu saya, hanya ada tiga. Pertama, keluarga doktor muda bernama Salleh, kedua yang diketuai Saadon (pensyarah UUM) yang sedang mengaji PhD dalam bidang Perhubungan Industri, dan ketiganya keluarga saya.

Stoke-on-Trent terkenal dengan pinggan mangkuk. Di sini terdiri kilang-kilang pengeluar pinggan mangkuk yang terbesar di UK dan tersohor sedunia seperti Royal Doulton, Moorcroft, Spode dan Wedgwood. Kerana itulah Stoke-on-Trent mendapat jolokan "The Potteries". Rasa-rasanya kerana itu juga kenalan saya kini makin ramai (dari Liverpool, Preston, Manchester, Cardiff, London, Swansea dan Birmingham), yang bertandang ke rumah saya bukan sekadar kerana ikatan persaudaraan seagama dan sebangsa, tetapi kerana daya tarikan untuk membeli pinggan-mangkuk bermutu tinggi berharga patut, di kedai-kedai kilang yang tidak kurang daripada 30 buah semuanya di Stoke-on-Trent.

Ketika mula sampai di bumi England, kemusykilan yang bermain-main di benak saya ialah setakat mana Malaysia dikenali di sini, dan apa pula perspektif masyarakat tempatan tentang negara kita. Teringatlah saya akan berita kontroversi sekitar tahun 80-an, tentang seorang Putera Raja The Great Britain yang mempunyai tanggapan betapa orang Malaysia masih tinggal di atas pokok! Sepanjang pergaulan saya dengan masyarakat tempatan, tanggapan tentang Tanah Pusaka kita begitu positif. Saya rasa, inilah hasilnya daripada segala bentuk usaha promosi yang dilaksanakan oleh pihak berkuasa. Misalnya, perlumbaan di sirkit F1 Sepang yang mendapat siaran langsung di sini. Manakala acara sambutan tahun baru 2001 - terjunan berpayung dari menara KLCC - tersiar sekurang-kurangnya tiga kali dalam berita utama BBC (Nota: Kuala Lumpur merupakan antara kotaraya terpilih yang ditonjolkan keunikan temasya sambutan tahun baru di samping Berlin, London, Paris dan New York). Dan pagi semalam (31 Julai), saya terdengar iklan MAS tersiar dalam radio BBC.

Ketika saya berkunjung ke rumah seorang kenalan baru, dan berbual-bual tentang pelbagai perkara dengannya, dia bertanyakan khabar tentang Perdana Menteri kita, yang dianggapnya sebagai jurutera kejayaan Malaysia. Kenalan saya itu bukan sahaja tahu banyak perkara tentang negara kita, malahan boleh pula menyebut nama Perdana Menteri dengan penuh dan betul (walaupun pelat). Dan ketika bersapaan dengan seorang eksekutif, sebut sahaja nama Malaysia, yang terpantul dari bibirnya ialah Proton!

BUKA BICARA DI ALAM SIBER

Sebagai pembuka bicara pertemuan pertama di alam siber dengan para perayau, saya akan mengutip kembali coretan yang pernah dinukilkan ketika bermastautin di England selama empat tahun empat bulan (Oktober 2000 hingga akhir 2004). Coretan itu asalnya tersiar dalam kolum saya berjudul "Emel dari Staffordshire" di portal pendidikan Sekolah.Com (telah lama mati tenggelam). Ketika itu, sebab mula saya menulis adalah atas permintaan sang editor portal berkenaan (menggelar dirinya Fakir Fikir). Seorang sahabat bersenang bersusah yang kini sedang mengaji PhD di Australia. Walaupun coretan-coretan itu sudah hampir sembilan tahun usianya, pada hemat saya, ada beberapa perkara yang terkandung di dalamnya, yang masih malar segar bertaut kait dengan kehidupan semasa. Harapan saya, ada sesuatu daripadanya yang boleh dijadikan sempadan dan teladan untuk siapa jua yang punyai lebihan waktu dan sudi menatapnya. Coretan-coretan itu akan mempunyai ceritanya tersendiri, dikekal mengikut gaya asalnya. Di samping itu, saya cuba untuk mencatat pengamatan peribadi terhadap isu-isu semasa atau harian yang difikirkan boleh diangkat untuk dikongsikan dan dimanfaatkan. permisi.