Panas, Luruh, Sejuk dan Bunga - fenomena alam England, negara empat musim. Ketika ini musim panas mengengsot ke garis akhirnya. Minggu ketiga Ogos merupakan penanda period percutian di England akan sampai noktahnya, dan musim luruh akan menjelma. Tidak lama lagi, pada minggu pertama September, anak-anak akan kembali ke sekolah. Manakala kolej dan universiti akan sibuk semula dengan kuliah dan tutorial. Sejuk sudah mula datang menggigit, dan cuaca panas sudah dihimpit oleh mendung dan hujan yang ada kalanya turun agak lebat. Makin lunturlah romantika dan sentimental yang ditimbulkan lukisan alam musim panas- yang ada ketikanya menghadirkan cerah-ceria langit biru dengan awan-gemawan yang berarak perlahan. Umpama fenomena biasa hari-hari yang lazim di tanahair.
Ah, di England ini, musim panasnya bukan begitu menentu. Tak boleh nak diharapkan sangat. Dalam jangka tiga bulan musim yang dikatakan panas ini, hendak dapat dua minggu berturut-turut panas membakar kulit sukar sekali. Ingatkan panas hingga tiga bulan rupanya-rupanya mendung dan hujan datang mengacau dan menghimpit silih berganti! Barangkali itulah sebabnya tersebar di kalangan orang tempatan kelakar yang agak popular: musim panas di England ni bukannya tiga bulan, tetapi hanya tiga hari sahaja. Kerana itulah, kerana cuaca di musim panas yang tak terjangka, maka apabila tibanya cuti panjang persekolahan, dan berakhirnya semester di kolej dan universiti pada hujung Julai, lebuhraya sesak dengan pelbagai jenis kenderaan yang mengangkut mat & mek saleh yang mahu menikmati cuti panjang ke negara-negara Eropah, Carribean dan Timur Jauh menikmati panas-perit panahan mentari, mandi laut dan bermain pantai.
Seronok juga memerhati gelagat, laku dan gaya orang tempatan menghargai musim panas ini walaupun hanya untuk tiga hari seperti yang dikelakarkan itu. Masa inilah padang-padang berumput pendek dan hijaunya bagaikan permaidani terbentang luas dikunjungi ramai untuk berladenan dan berpelesiran. Sudah menjadi lumrah mat dan mek saleh berjemuran di padang-padang hijau untuk mandi mentari - bukan sekadar bersantai di bangku-bangku, malahan ramai juga saja-saja duduk terlentang di tengah padang. Ketika ini jugalah, sang pemuda bersiar-siar dengan memakai jeans atau berseluar paras lulut tanpa baju mendedahkan tattoo di lengan, dada dan belakang. Manakala yang perempuannya gemar sekali berseluar sendat atau pakai skirt singkat, membiarkan pusat menjelir mengintai di bawah baju singkat yang ketat juga, tanpa lengan dan hanya tali halus memaut di kedua-dua bahu menampung rahsia di dada. Fenomena biasa, lumrah manusia di sini menikmati panas mentari dan mahu dibakar kulit yang pucat kekuningan itu agar keperangan jadinya.
Dalam waktu transisi antara musim panas dengan musim luruh ini, sesekali pada waktu malam pemanas sudah mula dipasang semula. Namun begitu, kuntuman bunga yang pelbagai warna masih galak kembang di taman-taman yang indah dan begitu menarik lanskapnya. Maghrib pula sudah semakin awal, lima belas minit sebelum pukul sembilan. Ketika pertengahan musim panas, mentari jatuh hampir pukul sepuluh malam, dan subuh masuk pukul dua!
Musim panas sudah mahu melambai pergi, dan musim Luruh makin mampir, dan dalam transisi itu, menjelma secara pasti musim yang kelima di England - Musim Bola! Jika musim panas di England dikatakan tidak terjangka, dan panasnya pendek sekali, inilah pula musim yang paling pasti kedatangannya dan musim yang paling panjang di England juga. Musim Bolasepak Liga Perdana Inggeris yang bermula ketika musim panas akan berlabuh dan berakhir ketika penghujung musim bunga, panjangnya sembilan bulan.
Antara yang paling menarik hati dan menggamit diri ini untuk bermusafir di bumi England, musim yang kelima itulah. Bermusafir di negara yang dikatakan rakyatnya melebihkan bola daripada gereja! Sejak di bangku sekolah rendah lagi saya begitu minat dengan bola Liga Perdana Inggeris. Waktu itu tv di Malaysia belum pun tersiar programnya dalam warna-warni lagi, dan pernahlah pula saya menonton George Best melakukan double hattrick dalam satu perlawanan. Minat itu jadi begitu mendalam apabila abang saya, Pak Din (peminat setia Manchester United) melanggan majalah Shoot. Di sini saya tidak membeli majalah itu kerana liputan bola dalam akhbar utama seperti The Independent dan The Times sudah memadai dan kemaskini. Lagipun tak larat pulak rasanya nak baca semua laporan tentang bola dengan begitu banyak majalah bola seperti Goals on CD, Shoot, Four Four Two, Kick Off dan Total Football. Itu tidak dicampur lagi dengan majalah eksklusif setiap kelab bolasepak yang ternama.
Musim ini, Manchester United diramalkan akan terus merajai Liga Perdana Inggeris dengan saingan terdekatnya Liverpool, nampak semacam berpuas hati jika dapat tempat yang kedua! Pengurusnya Gerrard Houllier memberikan kenyataan yang nampak begitu menyerah dan merendah diri, dengan memberikan analogi betapa lain-lain kelab dalam Liga Perdana umpama sekumpulan pelompat bergalah yang bertanding dengan Sergei Bubka. Masing-masing yang lain tahu, mereka tidak akan terkejar dan terlawan dengan Bubka yang berada dalam kelas yang teristimewa. Dan setiap kali kakinya berdebuk berlari kencang dan gagah sambil membawa galahnya, rekod dunia acara itu turut bergoncang.
Tapi realitinya, Liverpool sudah menewaskan Manchester dalam dua perlawanan musim lalu (di Old Trafford dan Anfield juga), dan yang terbaru Manchester tumbang lagi kepada Liverpool di Cardiff ketika perlawanan Charity Shield - pembuka tirai musim ini - Manchester terkedu oleh bisa penyudah Michael Owen.. Walaupun begitu, dari pemerhatian saya terhadap analisis bolasepak dalam media di sini, Manchester United dianggap kelab yang teristimewa dan terhandal ketika ini, yang bukan sahaja mempunyai sejarah yang gemilang dan unik, tetapi dikatakan menjadi bench-mark bola sepak England. Misalnya, pengerusi dan pemilik kelab Fulham multi-jutawan Muhammad Al-Fayed, (yang memiliki The Harrods dan The Ritz) melahirkan impiannnya menjadikan Fulham handal dan ternama seperti Manchester United dan Barcelona. Ketika saya menulis bicara ini (petang Ahad 19 Ogos), Fulham - muka baru Liga Perdana - menerima penangan daripada sang juara dengan van Nistelrooy dan Beckham menjadi pembinasa.
Bagaimana pula dengan Stoke-on-Trent (tempat saya tinggal) dalam senario bolasepak England? Kelabnya bernama Stoke City. Stoke City bukan kelab Liga Perdana. Ia tersenarai dalam Bahagian Dua Nationwide League. Dua nama terkemuka dalam dunia bolasepak England dan antarabangsa berkait rapat dengan Stoke City, iaitu Gordon Banks dan Sir Stanley Matthews. Gordon Banks merupakan penjaga gol handalan England yang bermain dalam pasukan England yang memenangi Piala Dunia buat pertama kali, dan sangat diingati oleh peminat dan penganalisis bolasepak kerana kehebatannya dapat menyelamatkan tandukan pasti masuk dari Pele ketika Piala Dunia 1970. Manakala Stanley Matthews ialah pemain bolasepak Inggeris yang pertama menerima anugerah Sir, masih dianggap sebagai pemain sayap yang begitu handal menggelecek, tiada bandingannya hingga kini.
Bagaimana pula dengan saya ketika tibanya musim yang kelima ini? Saya sudah pun membeli sepasang jersi dan cap pasukan yang sangat saya minati ketika berkunjung dan membeli-belah di Mega store, Old Trafford. Malahan sudah meminta tolong seorang kenalan (yang kebetulan ahli kelab pasukan itu) menempah tiket untuk sekurang-kurangnya dapat menonton satu perlawanan musim ini di Theatre of Dreams. Sementara malam Sabtu dan Isnin pula akan terpakulah di depan kaca tv menonton The Premiership, di mana Terry Venables dan Ally McCoist mengulas dan menganalisis perlawanan mingguan Liga Perdana. Saya tidak akan melepaskan peluang menikmati musim yang paling panjang di England!
Tiada ulasan:
Catat Ulasan