Ketika memulakan bicara pertama dalam kolum ini, yang menjadi muzik latar mengiringi ketukan di keyboard ialah irama lagu "Saya Anak Malaysia", yang dipopularkan oleh dR Sam. Sudah hampir setahun saya merantau di England, imbauan yang begitu nostalgik sesekali datang dari tanahair. Itulah yang menerpakan lagu "Saya Anak Malaysia" dalam kolah ingatan kerana kadang-kadang diri ini menjadi perindu yang berbalada tentang teh tarik-roti canai, ketupat-rendang, cendul, ABC, keropok lekor, dan tentu sekali nasi lemak sambal tumis ikan bilis! Rasanya, sesiapa jua yang jauh di perantauan akan menjadi perindu macam saya, dan tentunya akan tergiurkan juadah yang sudah terbiasa dijamah ketika di tanahair. Walaupun ada kalanya ketemu jua dengan juadah itu di sini, tersedia kadang-kadang oleh rakan-rakan yang kebetulan sekali handal memasak, ia tidak sama, tidak terbanding dengan kenikmatan yang terbit daripada resipi yang tulen. Rasa mungkin sedap, bentuknya barangkali serupa, tapi ummphnya tiada!
Ah, terus-terusan bernostalgik begini tidak akan membawa kita ke mana-mana, kerana kembara rindu tiada batasannya. Bagusnya dinoktahkan dulu akan imbauan itu, kita mulakan bicara tentang realiti di sini.
Saya tinggal di Stoke-on-Trent dalam wilayah Staffordshire. Tidak ramai keluarga Melayu di sini. Setahu saya, hanya ada tiga. Pertama, keluarga doktor muda bernama Salleh, kedua yang diketuai Saadon (pensyarah UUM) yang sedang mengaji PhD dalam bidang Perhubungan Industri, dan ketiganya keluarga saya.
Stoke-on-Trent terkenal dengan pinggan mangkuk. Di sini terdiri kilang-kilang pengeluar pinggan mangkuk yang terbesar di UK dan tersohor sedunia seperti Royal Doulton, Moorcroft, Spode dan Wedgwood. Kerana itulah Stoke-on-Trent mendapat jolokan "The Potteries". Rasa-rasanya kerana itu juga kenalan saya kini makin ramai (dari Liverpool, Preston, Manchester, Cardiff, London, Swansea dan Birmingham), yang bertandang ke rumah saya bukan sekadar kerana ikatan persaudaraan seagama dan sebangsa, tetapi kerana daya tarikan untuk membeli pinggan-mangkuk bermutu tinggi berharga patut, di kedai-kedai kilang yang tidak kurang daripada 30 buah semuanya di Stoke-on-Trent.
Ketika mula sampai di bumi England, kemusykilan yang bermain-main di benak saya ialah setakat mana Malaysia dikenali di sini, dan apa pula perspektif masyarakat tempatan tentang negara kita. Teringatlah saya akan berita kontroversi sekitar tahun 80-an, tentang seorang Putera Raja The Great Britain yang mempunyai tanggapan betapa orang Malaysia masih tinggal di atas pokok! Sepanjang pergaulan saya dengan masyarakat tempatan, tanggapan tentang Tanah Pusaka kita begitu positif. Saya rasa, inilah hasilnya daripada segala bentuk usaha promosi yang dilaksanakan oleh pihak berkuasa. Misalnya, perlumbaan di sirkit F1 Sepang yang mendapat siaran langsung di sini. Manakala acara sambutan tahun baru 2001 - terjunan berpayung dari menara KLCC - tersiar sekurang-kurangnya tiga kali dalam berita utama BBC (Nota: Kuala Lumpur merupakan antara kotaraya terpilih yang ditonjolkan keunikan temasya sambutan tahun baru di samping Berlin, London, Paris dan New York). Dan pagi semalam (31 Julai), saya terdengar iklan MAS tersiar dalam radio BBC.
Ketika saya berkunjung ke rumah seorang kenalan baru, dan berbual-bual tentang pelbagai perkara dengannya, dia bertanyakan khabar tentang Perdana Menteri kita, yang dianggapnya sebagai jurutera kejayaan Malaysia. Kenalan saya itu bukan sahaja tahu banyak perkara tentang negara kita, malahan boleh pula menyebut nama Perdana Menteri dengan penuh dan betul (walaupun pelat). Dan ketika bersapaan dengan seorang eksekutif, sebut sahaja nama Malaysia, yang terpantul dari bibirnya ialah Proton!
Tiada ulasan:
Catat Ulasan