Karya
Jumaat, 21 Oktober 2011
Cerita Melayu (9): "KITA DAH JADI MACAM ENGLAND!"
nota awal:
Sewaktu mastautin di UK (2000-2004), antara isu besar yang dihadapi 'Negara Ratu' ini pada waktu itu ialah kebanjiran pendatang dari negara Eropah dan negara Timur Jauh juga. Penyeludupan manusia untuk disalurkan ke pelbagai sektor pekerjaan di England misalnya, menjadi 'bahan panas' diperdebatkan dalam media. Pihak berkuasa pernah menangkap seorang 'kepala ular' (gangster) yang kerjanya menyeludup masuk warga China untuk bekerja di UK. Malangnya, pihak pendakwaraya terpaksa gugurkan kes itu kerana saksi utama (seorang warga China juga) telah didapati hilang tanpa jejak.
Begitu juga dengan isu kemasukan pelajar asing (dari Afrika dan Asia). Mereka datang ke England hanya untuk mendaftar di kolej-kolej tertentu. Lepas itu hilang lesap. Bekerja sebagai buruh di mana-mana gedung, ladang (epal, strawberi dan seumpamanya), dan di pelbagai kilang.
Apabila terbaca berita muka depan (Utusan Malaysia - 18 Oktober 2011) yang menjeritkan judul "Kolej Sarang Penjenayah?" reaksi saya yang pertama ialah: Ugh, negara kita dah jadi macam England!
Berita itu memaparkan penyakit sosial yang dibawa masuk ke Tanah Bonda oleh pelajar asing (terutamanya dari negara Afrika).
Saya pernah menulis tentang fenomena ini ketika hidup di perantauan itu. Saya fikir, masalah yang terjadi di England pada waktu itu, kini sedang menjadi barah pula kepada negara kita.
Diperturunkan artikel yang pernah saya tulis pada tahun 2002 itu untuk dijadikan iktibar.
__________________________________________________
"BAHAI KUBUR, KAHIK MUNTING…”
Ini bukannya tajuk lagu Hindustan atau judul mana-mana filem lakonan Salman Khan atau Shah Rukh Khan. Ia merupakan lagu lama yang pernah saya nyanyikan lama dahulu, semasa jadi ‘anak serigala’ pada zaman tengah pakai seluar pendek biru tua yang cecah kepala lutut, kemeja putih lengan pendek, berkasut paras buku lali cap Fung Keong – sewaktu duduk mengaji di Sekolah Kebangsaan Pusat Chabang Tiga (SKPCT), Kampung Tok Kaya, Darul Iman.
Ketika mengetik papan kekunci, jelas terbayang wajah dan kelibat guru yang mengajarkan lagu itu kepada sekumpulan ‘anak serigala’ SKPCT. Malangnya, nama cikgu tidak segera menerpa dari kolah ingatan. Saya sudah lupa sungguh. Wajah menjelma, kelibat menerpa, namun begitu namanya tak kunjung tiba. Tapi hingga kini, saya tidak lupakan lagu yang diajarkannya itu.
Lagu dalam bahasa Tagalog itu tumbuh segar semula apabila saya berkawan dengan dua orang rakyat Filipina – Ismail dan Jeane. Kedua-duanya akan saya ketemu hampir tiap pagi ketika menghantar anak-anak ke sekolah, dan di sebelah petang sewaktu menunggu kelas budak-budak berakhir. Dalam jangkawaktu sepuluh hingga lima belas minit terluang, terisi dengan bicara antara kami yang biasanya menyentuh soal persekolahan anak-anak, kondisi kerja, dan adaptasi diri dengan sosio-budaya di sini.
Ismail dan Jeane belum begitu lama di sini. Baru nak cecah enam bulan. Bahasa Inggeris kedua-dua pemuda dari Luzon ini tidaklah begitu bagus. Errr…rasanya tidaklah lebih baik daripada saya! Kurang-kurangnya saya pernah mengaji bahasa orang putih di British Council.
Bicara kedua-duanya dalam broken English, dan kosa kata pula agak terhad, terutamanya Ismail. Kerana kurang interaksi, maka Ismail seolah-olah agak berahsia, dan selalunya tidak pernah pula berbual panjang dengan saya kecuali bertegur sapa, berbalasan senyuman, bersalaman dan tak pernah jemu komplen tentang cuaca yang sejuk!
Mungkin kerana hambatan-hambatan lingua franca itulah, maka Jeane yang lebih gemar bicara dengan saya. Dan pernah sekali bicaranya begitu ghairah, apabila saya menyebut tentang Jose Rizal dan "Noli me tangere".
Selalunya, tempat yang lazim kami berkumpul di tepi dinding bangunan tadika, menyempadani dataran bertar, tempat anak-anak beratur tiap pagi sebelum ke kelas masing-masing. Secara tidak sengaja kami bertiga membentuk satu kumpulan, antara kumpulan-kumpulan kecilan ibu bapa (yang ramainya kaum ibu) yang hadir di laman Sekolah Rendah St Peters, Cobridge, tiap petang, sepuluh minit sebelum jam tiga.
Selain kami, terbentuk dua kumpulan lain yang ketara. Satunya terdiri daripada wanita-wanita Inggeris, yang saya perhatikan tidak jemu bersok-sek dan bergelak ketawa (kadangkala deraian hilainya tanpa pedulikan keliling), dengan pelbagai gaya pakaian, yang selalunya ketat, sendat, dan singkat. Ada tiga empat orang daripada enam tujuh mek-mek saleh itu, nampak begitu ‘nikmat’ sekali menyedut dan menghembus sisa rokok, sambil-sambil ‘menyelam’ dalam bicara entah apa butirnya.
Ah, kontras sekali dengan kumpulan satu lagi, wanita-wanita Pakistan yang ‘dalam diam-diam’ datang dan pergi, berpakaian gelap serba labuh, longgar dan bertudung. Bicaranya tidak terdengar kepada kami, dan tidak pernah jua terhambur gelak ketawa. Mereka lebih banyak pandang-memandang, mengukirkan senyuman, dan dirinya pun ‘tegak dalam diam’.
Ismail dan Jeane mengikuti isteri masing-masing yang berkerja sebagai jururawat di bawah perkhidmatan NHS (National Health Services) dengan kontrak kerja selama lima tahun. Jururawat merupakan antara tenaga berketrampilan yang sangat diperlukan di samping doktor dan guru, pada ketika perkhidmatan awam UK menghadapi ‘kekurangan bekalan’ yang serius dalam ketiga-tiga profesion berkenaan.
Pendapatan jururawat pula begitu memberangsangkan. Boleh sampai £160 per shift, dan total gaji seminggu mencecah £800. Jika ditukar dalam nilaian peso, uh…lumayan sekali!
Sejak pertengahan tahun lepas, saya perhatikan makin ramai rakyat Filipina di Stoke-on-Trent. Jika ke pusat bandar Hanley di hari Sabtu atau mengunjungi carboot sales setiap hujung minggu, mudah sekali ketemu Filipino. Pada pemerhatian rambang saya, ramainya jauh melebihi Melayu di sini.
Apabila makin mesra dengan Jeane, barulah saya bertanyakan tentang makna lagu Bahai Kubur itu. Jeane nampak begitu terkejut pada mulanya kerana dia ingatkan saya reti berbahasa Tagalog. Hal ini mudah dimengertikan kerana mula-mula berkenalan dulu pun, saya disangkanya Filipino juga. Ah, asalnya daripada satu rumpun - pribumi Nusantara belaka!
Lantas hasil perkenalan dengan Jeane memberikan saya kefahaman akan maksud lagu berkenaan. Sekian lama lagu itu terlekat dalam ingatan, di alaf baru, barulah ketemu pengertiannnya. Itu pun setelah mastautin di bumi UK!
Begitulah, semacam budak-budak yang seronok nyanyi lagu-lagu popular dari filem-filem Bollywood, maka serupalah lakunya dengan saya dan rakan-rakan sebaya zaman di SKPCT - kami, ‘anak-anak serigala’ yang jadi kakak tua. Tahu nyanyi tanpa tahu makna apa-apa. Kami tidak tahu kenapa cikgu memilih lagu itu untuk dihafal. Dan saya tidak pasti apakah cikgu tahu maknanya atau serupa macam kami juga!
Secara umumnya, ikut penerangan Jeane, lagu Bahai Kubur berkisar perihal sebuah pondok kepunyaan seorang petani, yang terletak di tengah-tengah kebun yang ditanami sayur-sayuran menghijau, ditumbuhi pelbagai pohon buah-buahan yang segar.
Tema lagu itu mengambil latar persekitaran Filipina sebagai sebuah negara pertanian yang subur dengan tanaman padi, jagung, kelapa, tebu, tembakau, nenas, pisang, betik, mangga dan sayur-mayur. Kalau diperhatikan kepada beberapa perkataan dalam lirik lagu itu (saya turunkan di perenggan terakhir), mungkin boleh diteka sayur dan buah-buahan apa yang dimaksudkan. Tapi saya rasa elok sekali tugas teka-meneka itu diserahkan sahaja kepada saudara Fakir Fikir. Kerana berlampas minda itu kerja dia!
Merujuk pengetahuan tentang ‘Ilmu Alam’ yang diperoleh sewaktu di bangku sekolah dulu, hutan rimba negara pulau itu menghasilkan abaka, rotan dan balak kualiti tinggi. Sementara lautannya pula menghasilkan tuna yang merupakan satu daripada eksport utama Filipina.
Terkini, nampak gayanya, perkhidmatan jururawat pula punyai potensi termasuk dalam kategori ‘komoditi utama yang dieksport’ oleh negara yang terkenal sebagai pengeluar gula dan kopra.
Jeane bekerja sebagai pembantu dapur di Asrama Pelarian St Augustine, yang terletak di tepi jalan besar Leek Road, menghala ke Newcastle-under-Lyme. Lokasinya masih dalam kawasan Cobridge. Kalau berjalan dari Grove Street, tak sempat lelah, belum terbit peluh, lebih kurang sepuluh minit sudah sampai.
Mengikut cerita Jeane, di asrama itu terdapat kira-kiranya 70 penghuni yang datang dari Albania, China, Afrika, Turki, Iran dan Afghanistan. Yang paling ramai asalnya dari negara yang baru sahaja lepas perang, dan masih diterajui kerajaan sementara pimpinan Hamid Karzai.
Ketika Hamid Karzai mengunjungi teman sejawatnya di 10 Downing Street, bertemu dengan kabinet Blair, berita BBC1 menonjolkan enam ciri utama biodata ringkasnya:
i. punyai tujuh adik-beradik, enam lelaki dan seorang perempuan.
ii. lulusan sains politik.
iii. asal daripada keluarga politik.
iv. tukang kempen merekrut soldadu-soldadu memerangi pemerintahan Taliban.
v. boleh berbahasa Inggeris dengan baik.
vi. pentingkan penampilan yang bergaya (punyai citarasa stail yang tinggi).
Imej Hamid Karzai yang cuba ditonjol dan diangkat oleh media pro-kerajaan itu, ternyata begitu berbeza dengan penampilan OBL, apatah lagi dengan Mullah Omar. Ciri yang dipaparkan, barangkali lebih ‘menepati citarasa’ dunia sebelah sini.
Namun begitu, keesokannya, saya perhatikan dalam Daily Express tiada langsung termuat berita tentang kunjungan Hamid Karzai. Yang terpampang di muka depannya ialah masalah besar yang ditimbulkan oleh pelarian politik.
Barangkali mesej itulah yang mahu disampaikan kepada pemimpin Afghanistan itu. Maklumlah, mengikut tinjauan UNHCR, setakat sembilan bulan pertama tahun lepas, terdapat 7,000 pelarian dari Afghanistan yang memohon suaka politik di Britain. Jumlah ini merupakan yang tertinggi di kalangan mana-mana nasionaliti yang jadi pelarian di negara ini.
Dua hari berturut-turut Daily Express mengangkat isu pelarian politik sebagai tajuk utama. Pada 31 Januari, akhbar berkenaan mengemukakan laporan utamanya berjudul “Asylum Invaders Will Destroy Channel Tunnel”, menonjolkan kegawatan yang dihadapi EWS (English Welsh and Scottish Railways). Syarikat EWS yang mengendalikan perkhidmatan keretapi barangan melalui terowong yang menghubungkan British-France, dilaporkan mengalami kerugian setengah juta pounds sterling seminggu angkara tindakan pelarian politik yang cuba menyeludup masuk ke Britain menggunakan keretapinya. Dikatakan, seribu perjalanan EWS terpaksa dibatalkan sejak November tahun lepas untuk mengelakkan ia digunakan sebagai alat pengangkutan ke Britain oleh ‘para penumpang tanpa izin’ dari Pusat Pelarian Palang Merah di Sangatte, Perancis.
Manakala pada 1 Februari pula tersiar laporan “Asylum Gangs Earning £15,000 A Night”, berkisar ganjaran yang lumayan hasil kerja-kerja menyeludup pelarian ke Britain. Dalam pengakuannya, Dimitri Pakhomoff, pemandu teksi berbangsa Perancis yang dipenjarakan kerana jadi ‘tekong terowong’, memberikan amaran betapa kegiatan kumpulannya tidak akan berjaya ditumpaskan kerana tarikan ganjaran yang begitu lumayan. Anggota sindiket ini menerima habuan £700 bagi setiap pelarian yang berjaya diseludup. Itulah sebabnya ‘para pedagang pelarian politik’ ini sentiasa berusaha mencari jalan (dan berjaya pula menemuinya) untuk menembusi kawalan keselamatan pihak berkuasa di pintu masuk ke Britain.
Muka depan Daily Mail 2 Februari 2002 pula mendada dengan tajuk “Britain Is Top Asylum Haven”, menyiarkan laporan betapa di kalangan Komuniti Eropah, Britain menjadi ‘sasaran’ utama pelarian. Mengikut laporan UNHCR, pada tahun 2000 sahaja negara ini ‘menanggung’ sejumlah 99,000 pelarian yang memohon suaka politik. Britain tetap menjadi pilihan walaupun sekarang ini pihak berkuasa sedang memperbaiki ‘sistem pengurusan pelarian’ dengan cadangan pelaksanaan langkah-langkah yang lebih mantap dan syarat yang ketat. Misalnya, kini heboh tentang rancangan untuk melaksanakan penggunaan kad pengenalan kebangsaan, dan ura-ura menjadikan kecekapan berbahasa Inggeris sebagai syarat kepada pendatang yang memohon suaka politik di sini.
Sekali imbas, jika dipinggirkan permasalahan sosio-budaya-politik, pelarian yang tinggal di sini (yang ditempatkan di asrama-asrama khas), hidupnya agak selesa.
Mereka menerima duit poket tiap minggu, yang diberikan dalam bentuk voucher. Dari nilai voucher itu (antara £26 hingga £57), sepuluh pounds daripadanya boleh ditukarkan dalam tunai. Setiap voucher hanya laku dalam tempoh empat minggu, dan hanya boleh dibelanjakan di kedai-kedai yang telah ditetapkan pihak berwajib. Jumlah duit saku itu ditentukan mengikut kategori umur dan taraf perkahwinan:-
18-24 (£28.95)
25 ke atas (£36.54)
Remaja bawah 16 (£26.60)
Remaja 16 atau 17 (£31.75)
o Pasangan (£57.37)
o Ibu atau bapa tunggal (£36.54)
Katakan pelarian yang datang dengan pasangan (dapat duit saku £57.37) punyai tiga anak yang berumur antara ‘di bawah 16 hingga 24 tahun’, dan tiap seorang termasuk dalam kategori umur yang berbeza (bawah 16, 16&17, 18-24). Maka ‘pendapatan’ keluarganya ialah £144.67 seminggu. Andaikan salah seorang anggota keluarga itu bekerja pula di premis perniagaan kepunyaan tauke Pakistan (restoran atau kedai runcit) dengan gaji £150 seminggu (tanpa cukai kerana tidak berdaftar dan tanpa permit). Maka jumlah ‘pendapatan kasar’ mingguan yang terkumpul mencecah £294.67, tanpa perlu risau tentang kos makan-minum dan penginapan yang diberikan percuma kepada penghuni asrama pelarian.
Mengikut cerita Jeane, penghuni St Augustine dibenarkan memasak sendiri makanan mereka dengan bahan mentah dibekalkan percuma. Malahan ada yang dihidangkan dengan ‘makanan dimasak khas’ kerana pihak pengurusan asrama turut melayani tuntutan special diets oleh penghuni atas alasan tertentu.
Saya kenal dua orang rakyat Afghanistan yang tinggal di asrama pelarian St Augustine. Kedua-duanya bekerja sebagai pemotong daging di dua supermarket berasingan milik tauke Pakistan. Mengikut anggaran kasar salah seorang pemilik supermarket itu, pemotong daging yang bekerja di premisnya boleh mengumpulkan ‘tunai bersih’ mencecah hingga enam ribu pounds sterling setahun. Uh, itu dikira sudah cukup baik!
Hari ini, 15 Februari 2002, The Independent menyiarkan berita “Asylum Seekers Riot and Set Fire to New Detention Centre”. Ia laporan tentang pusat tahanan pelarian yang dibakar penghuninya, selepas berlaku rusuhan dan percubaan melarikan diri dari Yarl's Wood Detention Centre, Bedford. Pusat ini merupakan penempatan sementara 400 ‘tahanan’ yang akan dihantar pulang ke negara masing-masing kerana gagal mendapat suaka politik di Britain. Ia adalah ‘pusat tahanan’ yang ketiga seumpamanya di sini, didirikan pihak berkuasa dalam usaha menghantar balik sekurang-kurangnya 30,000 pendatang tanpa izin setiap tahun.
Hakikatnya, pada hemat saya, Asrama Pelarian St Augustine, Yarl's Wood Detention Centre dan mana-mana asrama seumpamanya, bak ‘pondok-pondok kecil’ yang terdiri di tengah-tengah kebun, yang ditumbuhi sayuran segar dan pohon yang masak ranum buah-buahnya. Rama-rama, kumbang, kerengga, semut api, lalat, tupai, tikus, dan burung akan begitu terpikat dengannya, dan tentu tidak akan jemu-jemu ‘singgah dan bersarang’ di situ.
Selama dua minggu ini, ‘kebun yang subur itu’ dihinggapi isu ekonomi-politik yang agak kontroversi sebagai akibat tindakan Dyson - syarikat pengeluar vacuum cleaner - memindahkan operasinya ke Malaysia. Sementara ‘gergasi pinggan mangkuk’ Royal Doulton pula, yang mengambil tindakan menutup satu daripada kilangnya di Stoke-on-Trent, telah pun beroperasi di Indonesia.
Alasan kedua-duanya ialah untuk mengurangkan kos operasi, terutamanya faktor upah buruh yang terlalu tinggi di UK. Di sini, kerja sebagai tukang cuci sahaja dibayar antara empat hingga lima setengah pounds sejam. Apatah lagi buruh berkemahiran yang bekerja di kilang vacuum cleaner terkenal dan pengeluar pinggan mangkuk terkemuka.
Apa pun, marilah kita jadi ‘anak serigala’, dan sama-sama nyanyikan Bahai Kubur sampai habis, walaupun tak begitu tahu maknanya!
”BAHAI KUBUR, KAHIK MUNTING
ANG ALAMAN DUN AI SARI-SARI
SINKAMAS ATTALUNG
SIGARIL YAS ATMANI
SITAU, BATAU, PATANI
KUNDUL, PATOLA
UPUT KALABASA
AT SAKA MAI RUNG PANG
LABANUS MUSTASA
SIBUYAS KARMATIS
BAWANG AT LUYA
AT SAKA MAI RUNG PANG
LABANUS MUSTASA…”
foto 1: anak pelbagai bangsa di Tadika St Peters (berhampiran rumah kami). anak-anak warga asing mendapat pendidikan percuma tanpa mengira negara asal atau tujuan kedatangan ibu bapa mereka ke England.
foto 2: usah silap tafsir, ini bukan PATI yang kerja di ladang strawberi. ini kegiatan riadah bersama rakan-rakan ketika Musim Panas.
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan