Detik itu bermula 31 Mac 2011. Saya di antara sekumpulan penulis Grup Buku Karangkraf (GBK) menghadiri pertemuan sulung yang dipengerusikan oleh Sri Diah (novelis terkenal & wanita dinamik berjawatan Pengurus Besar Editorial GBK). Intipati bicara Sri Diah hari itu mengenai usaha menerbitkan novelet banyak siri diberi gelar 'Merah Cinta Kita' yang disasarkan kepada remaja (perempuan khususnya). Pembentangan susulan diberikan Puan Siti Zarinah yang nampak tegas orangnya (sang editor merangkap pengarah projek ini).
Berat kepala, dan panas otak jadinya kerana Sri Diah sudah menetapkan tempoh hantar sinopsis serta tarikh akhir menghantar manuskrip lengkap. Dalam gurauan terkandung amarannya tentang sikap non-kompromi untuk penulis yang 'sambil lewa dan buat kerja sekerat jalan' . Ketara sungguh betapa bersungguh-sungguh dia mahu merealisasikan Merah Cinta Kita (MCK) dalam tempoh yang singkat. Kepala yang berat jadi serabut, minda pula dah jadi macam CPU kepanasan!
Ini bukan kerja mudah. Karya saya yang terdahulu tidak pernah menyentuh soal alam sang gadis remaja.
Ketika masih di kampus saya kerap menulis artikel (tersiar di akhbar) tentang sosio-budaya, dan rajin menghantar komen ke ruangan 'surat kepada pengarang' dengan nama samaran Musang Pulau. Ketika kemuncak kekejaman Yahudi (penyembelihan di khemah pelarian Sabra & Shatilla), sajak saya tentang tragedi itu tersiar di sebuah akhbar mingguan. Selepas alam kampus, saya pernah bekerja sebagai editor eksekutif di sebuah syarikat penerbitan (lama sudah dikatup) yang antara lainnya menerbitkan semula novel-novel karya Tokoh Wartawan Negara - Tan Sri A Samad Ismail. Kerna masih jagungan, saya ditugaskan menjadi pembaca pruf untuk satu daripada novel berkenaan - Tembok Tidak Tinggi. Pernah sekali tokoh tersebut menziarah pejabat kami. Bukan sahaja ombak gementar menghempas di dalam dada berdepan dengan seorang tokoh persuratan Melayu, telinga panas dan merah jadinya kerana ditempelak. Beliau memberikan sindiran pedas kerana kerja saya dikatakan tidak teliti.
Pengalaman lain dalam bidang pengkaryaan ialah apabila saya terlibat dengan penerbitan buku dan buletin pelancongan untuk sebuah agensi kerajaan negeri. Saya dilantik sebagai ketua editor dan penulis utama. Seronok tapi amat mencabar. Bersama seorang jurugambar (Jasneh - sekarang di Pantai Timur dengan Bernama), pernah kami mencari bahan hingga ke dalam hutan dan pinggir air terjun. Peristiwa paling tak dilupai, kamera terjatuh ke dalam takungan air terjun kerana Jasneh terlalai ketika mahu mengetik di suatu sudut yang sukar.
Novel pertama saya (Waris Kalung Naga) pula ditulis untuk meladeni selera remaja jantan. Watak si gadis (Emilda) itu pun turut dibentuk jadi 'keras dan agak kasar ' macam kawan-kawannya (lelaki belaka). Novel yang terselit banyak adegan lasak ini merupakan suatu sintesis pengalaman zaman kanak-kanak (dengan rakan sebaya) yang selalu bermain di sungai, panjat pokok duku, lawan bergaduh di kebun getah, mandi parit, tarik lembu, dan tangkap ikan di baruh. Waktu itu, berkawan dengan budak-budak perempuan dikira sangat koman!
Tulis novel untuk remaja jantan, bahannya tidak sukar dihimpun dan dicerna.
Tulis novel untuk remaja perempuan? Ugh, itulah yang bikin kepala jadi serabut, minda naik suhu macam CPU kepanasan!
Tapi janji mesti ditunaikan. Peluang yang diberikan oleh Pengurus Besar Editorial GBK tidak boleh dipersia-siakan.
Malam itu saya berbincang dengan anak-anak (Syai, Dek-dek dan Ney-ney). Mujurnya, mereka gadis remaja belaka. Macam-macam cadangan timbul dalam gelak ketawa dan gurau-senda. Ney-ney membelek album lama. Ditunjukkan sekeping foto nostalgia ketika kami mastautin di UK. Dalam foto itu Ney-ney sedang seronok bermain salji di Cobridge Park bersama kawan-kawannya (satu famili Melayu dari Wales) yang bertandang ke rumah kami.
Foto itu mencetuskan ilham "Kasut Bola Shafika" - kisah gadis Melayu yang gemar bermain futsal walaupun dihalangi bapanya. Shafika curi-curi bermain futsal dengan budak-budak Inggeris dan Pakistan (lelaki & perempuan). Gelanggang futsal itu letaknya di Cobridge Park itulah juga, tempat Ney-ney bermain salji.
Sinopsis kisah gadis futsal itu diluluskan oleh sang editor tanpa guntingan.
"Kasut Bola Shafika" termuat di dalam siri ketiga antologi Merah Cinta Kita (tajuk kulit depan: "Kisyah Budak Junior Masterchef").
Jika pemangkin cerita ialah sekeping foto gadis sunti bermain salji, dari mana pula datang inspirasi menzahirkan heroin, konflik, plot dan lain-lainnya?
Yang itu, tunggu dulu. Permisi. Kita bisa ketemu dan bicara lagi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan