Karya

Karya

Selasa, 8 November 2011

Cerita Melayu (11): "SEKSUALITI MERDEKA DI MUSIM HAJI!"

(nota awal: Di musim Haji 1432H ini, berita tentang Seksualiti Merdeka mendapat tempat 'penting' dalam media arus perdana. Setelah pihak-pihak yang bertentangan saling melancarkan 'roket', nampak tanda-tanda 'episod perselisihan nilai mengenai perjuangan hak asasi manusia' ini akan sampai ke penghujungnya buat tahun ini. Diharap sangat-sangat tahun depan tak usahkah dipilih Musim Haji (Syawal, Zulkaedah & Zulhijjah) juga untuk saling berperang dalam media mengenai gejala ini!
Cuma yang 'terasa hilang' (mungkin saya terlalai, lalu tidak terbaca atau termaklum) ialah statistik yang biasanya mengiringi apa-apa gejala sosial yang menggegar Tanah Bonda. Selalunya, yang masuk carta dan jadi juara statistik (gejala sosial itu, antaranya: mat rempit, penagih dadah, buang bayi, hamil luar nikah) ialah pemuda-pemudi Melayu jua! Silap sungguh saya. Apabila tersiar berita penganjur program sudah dipanggil memberikan keterangan kepada pihak polis, ada termuat juga sekeping foto (halaman 6, Utusan Malaysia) yang memaparkan seorang wanita Melayu yang ternama. Beliau dikatakan terlibat sebagai kepala penganjurannya dua tahun dulu. Ugh, Melayu pernah jadi juara juga dalam soal ini!
Kerana ada kaitannya, maka kali ini mari kita sama-sama baca artikel yang saya tulis sewaktu mastautin di UK. Berkaitan benar dengan episod 'Seksualiti Merdeka' pada Musim Haji ini. Moga kita diberikan hidayah oleh Yang Esa. Moga kita bisa beroleh iktibar - sempadan dan teladan - hasil pengetahuan dan pemahaman fenomena ini yang menjadi realiti di negara orang.

________________________________________________


"KETERBUKAANNYA DI LUAR TABII"


Jumaat 2 November 2001. Di dada Daily Express terpapar tajuk utama “Fury Over Go-Ahead For Gay Marriage”. Baroness Sally Morgan, Menteri yang menjaga soal ‘Equal Opportunities’ di bawah kerajaan pimpinan Tony Blair, dipetik telah memberikan bayangan tentang betapa besar kemungkinannya pihak berkuasa akan memperkenalkan skim pendaftaran nasional untuk pasangan seks sejenis. Jika peraturan ini terlaksana sebagaimana yang dibayangkan itu, akhbar berkenaan mengatakan ia akan membuka lembaran baru dalam sejarah ketamadunan Great Britain, kerana inilah pertama kali ‘perkahwinan gay mendapat restu’ secara rasmi daripada kerajaan.

Jika ini menjadi suatu hakikat dalam kehidupan di sini, sesiapa yang mengamalkan perkahwinan luar tabii ini bukan sahaja bebas hidup dengan pasangan masing-masing sebagaimana pasangan suami isteri mengikut kaedah yang lazim kita fahami, malahan mereka juga akan menerima manfaat daripada skim pencen dan hak-hak kediaman. Langkah ini diambil hasil daripada pemantauan terhadap ‘teladan’ dan ‘model’ perlaksanaan skim yang sebegitu, “London Partnership Register” yang diperkenalkan oleh Ken Livingstone, Datuk Bandar Kotaraya London. Skim yang diamalkan di London itu dikatakan membolehkan dan membenarkan pasangan sejenis (gay) mengisytiharkan kepada umum ‘perkahwinan’ mereka. Dalam pakej yang dilaksanakan melalui skim tersebut, setiap pasangan gay yang ‘dikahwinkan’ turut menerima sijil ‘pernikahan’ dengan bayaran perkhidmatan sebanyak £85.

Angela Mason, seorang wanita daripada kumpulan Stonewall (kumpulan yang memperjuangkan hak kesaksamaan dan keadilan gay), menyifatkan kenyataan Sally Morgan begitu memberangsangkan. Angela berpendapat skim yang sebegitu sepatutnya telah dilaksanakan lama dahulu.

Nampak gayanya, dua orang wanita (seorang menteri dan seorang lagi daripada NGO) menjadi jagoan memperjuangkan hak para lelaki yang “seleranya melencung”!

Ken Livingstone pula dipetik melahirkan rasa gembiranya kerana tindakan positif pihak kerajaan dalam soal berkenaan. Beliau menganggap langkah itu sebagai suatu pengiktirafan terhadap kejayaan skim ‘perkahwinan’ gay yang dilaksanakannya di Kotaraya London, yang dikatakan turut mendapat sokongan memberangsangkan daripada orang awam.

Ah, London! Kotaraya yang serba ada dan serba mungkin dengan pelbagai warna dan jutaan wajah. Di Kotaraya ini jugalah pada Sabtu yang kedua bulan Oktober, seramai 300 sukarelawan dalam pelbagai gaya - sambil telentang, mengiring, meniarap, merengkok - bertelanjang untuk rakaman lensa kamera Spencer Tunick. Mereka melakukannya atas nama seni, sukarela menjadi model untuk ‘karya’ terbaru jurugambar dari Amerika itu, yang telah melakukan penggambaran yang serupa di New York, Kanada dan Melbourne. Dua keping gambar sesi fotografi yang sensasi itu tersiar dalam Daily Express pada 18 Oktober 2001. Gambar pertama menunjukkan ‘para model’ sedang bersiap-siap menanggalkan pakaian masing-masing. Dalam gambar kedua pula kelihatan Tunick begitu lincah melangkahi celahan tubuh-tubuh bogel yang bergelimpangan di jalanan, barangkali mencari sudut yang terbaik untuk lensanya!

Perincian berita tentang ‘permit’ perkahwinan gay pada halaman empat Daily Express 2 November 2001 turut memetik jurucakap LDP (Liberal Democrat Party) Dr Evan Harris membidas pengumuman yang dibuat oleh Sally Morgan, yang disifatkannya sebagai kegagalan pihak kerajaan untuk mengambil tindakan yang sewajarnya untuk memberikan hak yang saksama dan adil kepada golongan gay. Dr Evan berpendapat ‘Skim Pendaftaran Nasional Untuk Homoseksual’ tidak memadai, kerana yang dihasratkan dan diperjuangkan LDP ialah perkahwinan gay yang sebenarnya bukan sekadar memberikan kebenaran ‘mendaftar pasangan seks sejenis’. Bagi Dr Evan, cadangan yang dihebahkan itu tidak membawa makna apa-apa, kerana yang sah di sisi undang-undang melalui skim itu hanyalah pendaftaran pasangan hidup (tidak kira sejenis atau dua jenis), dan bukannya kebenaran untuk ‘perkahwinan sejenis’ dalam maksud seerti dengan perkahwinan yang lazimnya kita fahami.

‘Kemarahan’ Dr Evan Harris itu barangkali berdasarkan prihatinnya terhadap beberapa masalah yang lazim dihadapi ‘pasangan gay’ di negara ini. Antaranya (sebagaimana tersiar dalam akhbar The Times pada 31 Oktober 2001), tidak menerima pencen pasangan masing-masing apabila ‘menduda’ atau ‘menjanda’, selain tidak layak mendapat manfaat apabila kematian ‘pasangan’ mereka. Golongan ini juga turut berhadapan dengan masalah premium insurans nyawa yang begitu tinggi – dikatakan melonjak sehingga 250 peratus, sedangkan perlindungan yang mereka perolehi terhad kepada kadar maksimum £150,000 sahaja. Sama ada ‘gay’ itu bujangan atau mempunyai ‘pasangan jangka panjang’, mereka berhadapan dengan masalah yang serupa. Memilih menjalani kehidupan sebagai gay nampaknya begitu mahal harganya!

Kerana itulah, antara sebab penyanyi tersohor Sir Elton John (kini berumur 54 tahun) dikatakan berhasrat ‘mengahwini’ teman lelakinya David Furnish ialah untuk mengelakkan masalah pembayaran cukai. Berdasarkan undang-undang di sini, isteri atau suami boleh mewarisi harta pusaka pasangan masing-masing tanpa perlu membayar apa-apa cukai. Lantas sekiranya Davis Furnish ‘dikahwini’ dan menjadi ‘isteri’ Sir Elton John, maka terkecualilah kedua-duanya daripada membayar cukai harta yang diwarisi.

Selain ura-ura pengiktirafan pihak kerajaan terhadap pasangan sejenis, nampaknya ‘masyarakat gay’ turut mendapat perhatian daripada institusi kewangan. Apa tidaknya, dengan pendapatan kolektif masyarakat gay dan lesbian yang dianggarkan berjumlah £10 bilion, mereka mula dilihat sebagai ‘telaga emas’ yang berpotensi besar untuk diterokai oleh agensi pelaburan. Penerokaan itu sudahpun bermula secara rasminya dengan pelancaran ‘The Queer Card’ - kad kredit yang pertama eksklusif untuk gay di Britain - pada awal bulan Oktober 2001.

Di halaman empat Daily Express 2 November itu juga, termuat suara lantang seorang negarawan yang dengan begitu jelas menyatakan pendirian kita dalam soal ini. Perdana Menteri Malaysia, Dato’ Seri Dr Mahathir Mohammad dipetik memberikan amaran kepada mana-mana menteri British yang dikenal pasti homoseks, tidak akan dibenarkan memasuki Malaysia jika datang bersama pasangan gay mereka. Kenyataan keras daripada seorang pemimpin yang tegas dan berani itu, dikatakan menimbulkan kemusykilan di sini. Mereka jadi ragu-ragu sama ada Ben Bradshaw, seorang menteri di Pejabat Luar Negara (Foreign Office) yang terkenal sebagai gay, akan menyertai misi perdagangan British ke Malaysia tahun depan atau sebaliknya.

Sesekali kita mestilah tegas dan berani menyatakan pendirian dalam soal prinsip yang tidak boleh dikompromi. Kerana itulah kita akan dihormati dan disegani. Kita boleh terbuka dalam apa jua aspek kehidupan, akan tetapi keterbukaan itu seharusnya harmoni dalam batas-batas kesopanan dan kesusilaan kita.

Pada malam Ahad 28 Oktober 2001, saya menonton rancangan satira 2DTV yang tersiar di ITV1. Rancangan animasi ini terisi dengan segala bentuk usikan, sindiran, cemuhan dan kritikan yang tajam dan pedas ditujukan kepada orang-orang ternama (termasuklah setakat ini Osama Bin Laden, George Bush, Tony Blair dan pasangan Beckham) melalui pemaparan imej yang kadangkala keterlaluan. Kali ini, keluarga Ratu England menjadi mangsanya. Dalam siarannya pada malam itu, dipaparkan karikatur Ratu Elizabeth duduk di atas kerusi sedang menghadapi santapan, sementara di belakangnya berdiri Putera Charles, Putera Edward, Puteri Anne dan Putera Andrew dengan senyuman melebar. Yang menyebabkan saya terlopong: kesemua ahli keluarga Ratu England itu diperlihatkan bergaya di depan lensa kamera tanpa seurat benang pun!

Huh, satira ini bukan sekadar tajam dan berani, malahan tiada ampun langsung! Keterbukaannya pula, di luar tabii!

Tiada ulasan:

Catat Ulasan