Karya

Karya

Ahad, 22 Januari 2012

AYUH, KITA KENDURI BUKU & MENGUNYAH ILMU!


KARNIVAL KARANGKRAF DATANG LAGI!
Kali ini tentu skelnya lebih besar. Dengan pelbagai acara yang bagus dan menyeronokkan, kita akan dapat merasai keseronokan yang berpanjangan selama tiga hari (27, 28 dan 29 Januari 2012) di Kompleks Kumpulan Media Karangkraf, Shah Alam.

Hari pertama (8.30 malam, Jumaat, 27 Januari), aktivitinya sudah bikin gempar. Akan berlangsung forum ‘Bicara Cinta Anak Muda’. Pembicaranya hebat dan popular. Datang ramai-ramai, kasi sendat perkarangan Kompleks Karangkraf. Di pentas utama, ramai-ramai kita dengar bicara tentang cinta oleh Sham Kamikaze, Irma Hasmi, Ustazah Pilihan, dan Imam Muda Ashraf!

Anda memang ulat buku & kaki novel? Khas untuk anda diadakan ‘Sembang Buku’ selama tiga hari berturut-turut di Auditorium Kumpulan Media Karangkraf.
Ahli panel dan moderator semuanya punyai autoriti dalam bidang masing-masing (novelis, ahli bahasa, pensyarah, penulis skrip, pakar motivasi, pendakwah, dan personaliti tv) seperti Fazley Yaacob, Ahadiat Akashah, Dr Robiah K Hamzah, Zabidi Mohamed, Dr Zaharuddin Abd Rahman, dan Ramlee Awang Murshid.

Bukan itu saja, sama-samalah kita memeriahkan pelancaran majalah baru Automaskulin dengan penampilan istimewa Neelofa & Izara.

Beli, Baca dan Berhibur!
Hari Sabtu (28 Januari, 8.30 malam) di pentas utama, artis kesayangan anda akan beraksi di Konsert & Anugerah PPMH Media Hiburan. Jangan tinggalkan Kompleks Karangkraf tanpa menonton persembahan Dafi, Akim, Alif Aziz, Adira, Mila, Nubhan, Awie Rafael, dan Sixth Sense!

Tentunya berita paling istimewa, penulis-penulis siri Merah Cinta Kita juga akan menyambut kehadiran anda di booth yang cantik dan ceria. Kita bergambar bersama-sama!

Kepada pengunjung dari luar Kuala Lumpur dan Selangor yang memerlukan penginapan, bisa saja tempah bilik di Hotel De Impian (Seksyen 15, Shah Alam). Jangan segan untuk hubungi Encik Azman (0126754350), dan sebutlah anda mahu hadir ke Karnival Karangkraf 2012 untuk mendapatkan diskaun khas. Hotel ini dekat saja dengan Kompleks Karangkraf. Tak perlu berkereta. Hanya beberapa minit berjalan kaki, anda boleh sampai ke Karnival Karangkraf!

Ayuh, selama tiga hari itu (dari pukul 9.00 pagi hingga 9.00 malam), kita sama-sama ‘Kenduri Buku dan Mengunyah Ilmu’ di Karnival Karangkraf!

Permisi. Bisa ketemu lagi.

Isnin, 16 Januari 2012

Merah Cinta Kita untuk ADILA

Dah nak masuk minggu ketiga sekolah buka semula. Barulah saya dapat jumpa dengannya. Itu pun kerana dia cuti hujung minggu. Kami bersarapan di Restoran UK (Bandar Baru Bangi), yang terkenal kerana enak sup urat ketingnya. Adik-adiknya yang lain (Huwaida dan Mawaddah) ikut sekali dengan ayah kesayangan mereka.

Seronok melihat telatah si kecil molek Huwaida dan Mawaddah bermain dengan seekor anak kucing berbulu putih yang comel parasnya, nampak siap-sedia mahu meloncat di atas meja jika dibenarkan!

NurAdila ini, anak sulung sahabat saya Cikgu Idris. Sedang mengaji dalam tingkatan satu di Maahad Hamidiah, bersebelahan Kajang Country Heights. Cikgu Idris beritau, sewaktu di sekolah rendah lagi anaknya ini gemar sungguh baca novel. Sebulan sekali mesti ada novel baru yang dikhatamnya. Jika tidak dibeli sendiri, ada saja dibawa pulang dari sekolah. Pinjam daripada kawan-kawan yang punyai kegemaran yang serupa.
Saya fikir, kerana rajin membaca sejak tadika lagi inilah, Nur Adila miliki kebolehan bercerita. Belum masuk darjah satu lagi, biasa sangat gadis manis ini mewakili tadikanya ke pertandingan bercerita.

Bukan saja rajin membaca, si genit ini aktif dalam sukan hoki. Dia terpilih menyertai Pasukan Hoki Elit sekolahnya, dan pernah menyertai beberapa pertandingan di serata negeri di Semenanjung. Posisinya, penyerang. Wow, kaki novel yang manis sekali orangnya ini, rupa-rupanya punyai sisi yang agresif, pak! Jangan berani usik-usik, nanti tak cukup padang nak lari, dikejar dengan kayu hoki!

Aktif sukan tapi tetap rajin membaca, dan telaah pelajaran. Walaupun tidak masuk mana-mana tuisyen, pencapaian akademiknya hebat. 5A dalam UPSR tahun lepas.
Hadiahnya? Istimewa sekali. Lima naskhah lengkap siri Merah Cinta Kita!

Permisi. Bisa ketemu lagi.


Foto 1: Adila diapit adik-adiknya Huwaida dan Mawaddah, bersama Cikgu Idris.
foto 2: hadiah istimewa daripada ayahnya kerana cemerlang UPSR!

Isnin, 9 Januari 2012

Falsafah Cinta PROFESOR DR MUHAYA

Sabtu, hari ketujuh Tahun Baru.

Saya dan famili menghadiri majlis ilmu yang dihoskan Profesor Dr Muhaya - pakar mata ternama, dan seorang motivator yang hebat. Biasa menontonnya di kava tv, kami menjadi amat teruja apabila turut dijemput menyertai majlis itu. Ceramah (dan diskusi) yang berkisar kepada soal jihad malam itu dikendalikan oleh Ustaz Fawwaz (pensyarah sebuah kolej universiti). Menarik sekali kupasannya yang menyentuh pelbagai aspek jihad yang dituntut dalam Islam.

Yang sangat menarik, kenyataan ustaz mudanya itu, yang kira-kira begini: Orientalis melabelkan Muhammad SAW seorang yang sukakan perang. Sebaliknya, dalam banyak peperangan yang dikepalainya, Baginda hanya sekali saja membunuh musuhnya!

Sumpah, sebelum ini saya tidak pernah membaca atau mendengar kenyataan sebegitu!

Iktibarnya: usia bukan penentu ‘tahu kita’ akan sesuatu perkara. Dan yang penting lagi, jika ingin menuntut ilmu, carilah guru yang memang mendalam ilmunya mengenai sesuatu perkara.

Sasterawan Negara Usman Awang pernah bermadah: ‘berburu ke padang datar, dapat rusa belang di kaki, berguru kepalang ajar, bagai bunga kembang tak jadi!’

Ketika ceramah tamat, dan suasana sudah santai (waktu makan-minum), saya ambil kesempatan berbual dengan Profesor Muhaya. Saya timbulkan musykil tentang Cinta Remaja.

Pakar mata yang baru saja pulang dari menunaikan umrah tapi kelihatan energatik sekali ini, menghuraikan kira-kira begini:

“Kualiti Hidup bersamaan dengan Kualiti Emosi. Kualiti Emosi pula bersamaan dengan Fokus. Cinta tentulah berkaitan dengan Emosi. Maka Kualiti Cinta itu mestilah bertimbal-balik pula dengan Fokus kita. Jika silap Fokus, cinta akan membawa bencana. Jika betul fokusnya, cinta membawa bahagia. Dalam bercinta, mesti tentukan Fokus kita. Apakah mahu mencari redha Allah? atau hanya mahu mendapat pujian-pujian (penghargaan) daripada manusia?”

Sambil menjeling sekilas dan muncung ke arah Doktor Azmi (suaminya) yang melayani tetamu yang masih berbaki, pakar mata ini sempat berseloroh. “Itulah boyfriend saya yang pertama dan terakhir. Cinta pandang pertama. Sekali lihat, luruh jantung saya dibuatnya!”

Wow, masih semarak Merah Cinta sang profesor!

Saya menunggu lagi. Tidak menghampakan. Profesor Muhaya menambah.

“Saya melahirkan anak sulung ketika di tahun akhir. Mentelaah pelajaran, kadang-kadang ketika anak dalam pangkuan. Bergilir bahu mendodoinya. Buku di sebelah kanan, anak di sebelah kiri! Menguruskan pelajaran, tidak mudah bagi siswa yang berkahwin. Syukur, saya tidak hilang Fokus. Saya yakin, cinta saya hidup di atas landasan yang betul dan di redhai-Nya. Saya berjaya dan bahagia kerana cinta yang saya berikan kepada suami, anak, pelajaran, dan agama FOKUS kepada-Nya jua!”

Inilah falsafah cinta seorang profesor!

Permisi. Bisa ketemu lagi.

foto: Profesor Dr Muhaya dengan dua naskhah Merah Cinta Kita yang saya hadiahkan - sebagai tanda penghargaan kerana menjemput kami menyertai majlis ilmu yang dianjurkannya.

Khamis, 5 Januari 2012

MERAH CINTA KITA dalam dakapan seorang HAFIZAH

Ini nota yang ditulis di dinding Fb saya pagi tadi.

"pak harleem, saya dah baca buku Merah Cinta Kita dan saya rasa buku ni sangat best. ceritanya tentang kisah-kisah yang berlaku dalam hidup para remaja zaman sekarang. sangat sesuai untuk dibaca dan dijadikan pedoman oleh para remaja."

Komen tersebut merupakan kali kedua dihantar oleh orang yang sama kepada saya. Yang pertama, mesej begini yang terpapar di telefon saya:-

"merah cinta kita memaparkan cerita2 menarik yang berlaku dalam kalangan remaja. Cerita yang sarat dengan pengajaran dan mempunyai jalan cerita yang menarik ini sangat sesuai sebagai bahan bacaan untuk para remaja. Bahasanya juga mudah untuk difahami."

Mula-mula saya baca sms itu, terus respon dalam kepala: 'ugh, skema sekali! Macam tulis ringkasan karangan.'
Err, mungkin lebih tepat disamakan dengan sinopsis antologi cerpen KOMSAS tingkatan tiga.

Sekiranya ini jawapan untuk soalan kertas KOMSAS, boleh diberikan markah hampir penuh. Kurangnya, ketiadaan contoh.

Apabila membaca nota yang dihantar ke Fb, terlihat kesungguhan penulis untuk menyampaikan mesejnya. Saya fikir, gadis yang menulis nota ini jujur orangnya. Dia berlaku adil dan saksama kepada semua karya yang terkumpul dalam antologi Merah Cinta Kita.

Siapa si gadis ini?
Namanya Hanisah. Dia seorang hafizah, pelajar Sekolah Integrasi di Banting. Dalam PMR yang diumumkan baru-baru ini, cemerlang sekali dia. Dapat semua A dalam sembilan subjek!

Saya diberitau, sewaktu UPSR, dirangkulnya semua A juga. Yang menarik, kisah tentang peribadinya. Hanisah pernah mendapat anugerah 'Murid Pekerti Terbaik' ketika dalam darjah enam.

MasyaAllah. Sudahlah pintar, luhur pula budinya gadis manis ini! Saya fikir, inilah asas kekuatan dan semaraknya Merah Cinta Seorang Hafizah. Wow, molek benar kalau dijadikan judul novel, nih!

Moga Allah jadikan dia wanita solehah yang berbakti kepada bangsa, negara dan agama. Ameen!

Permisi. Bisa ketemu lagi.


foto:
Hanisah yang bertudung biru, memegang naskhah Merah Cinta Kita. Berdiri di belakang (berkaca mata, tudung coklat, dan pakai baju bunga-bunga) ialah kakaknya, Zaimah. Pelajar cemerlang PMR dan SPM. Seorang hafizah juga, sekarang mengaji bidang perubatan di UIAM.



Selasa, 3 Januari 2012

"SAYA SANGAT MARAH KALAU MASUK TANDAS...!"

Isnin. Hari kedua 2012.Dalam perjalanan ke Ipoh, menemani Syai kembali ke kampusnya di Ulu Kinta. Memandu dilatari ceria di Suria Fm.

Halim Othman macam biasa, rancak dan begitu bertenaga mengajak pendengar ikut sembang tentang 'perkara yang akan buat anda jadi sangat marah'. Kami singgah di R&R Tapah. Nasi lemak jadi pilihan. Ugh, pecah liur tegok 'telur mata', ayam goreng dan sambal tumis. Pekena dengan teh kurang manis. Mana boleh tahan daa.

Tengah ralit mengunyah, saya muncung ke arah gerai yang hampir seluruh papan menunya dipenuhi tulisan Cina. Tak boleh dibendung lagi, tercetus komen. "Macam tak ada kedai lain nak beli makanan. Sedap sangat ke?"

Syai berpaling. Terpaku sekejap pandangannya kepada seorang lelaki Melayu berbadan lebar yang sedang menunggu makanan di gerai itu. Tidak komen apa-apa gadis yang biasanya outspoken ini. Sekilas pandangannya ke arah saya seolah-olah ingin memberitau: 'makan aje, tak payah sibuk hal orang!'

Saya sempat ketik hp. Dapat tangkap dua keping foto.
Selepas lelaki badan lebar itu membayar di kaunter, mata saya terus merayau di papan menu dan terhenti di birai panel cermin di sEbelahnya, yang agak atas. Tadinya tak terlihat kerana terlindung dek lebarnya badan lelaki itu.

Ada sijil halal tertampal di situ! Ugh, dah kumpul dosa ketika sarapan! Mengata tanpa memeriksa.
Tapi saya masih sangsi.Dua pekerja perempuan di bahagian dalam, dan seorang pemuda penjaga kaunter, semuanya bukan Melayu.

Pukul lapan setengah kami sampai di Dataran Gopeng (stesen bas dan teksi). Halim Othman masih melayan pendengar Suria Fm yang bercerita tentang 'perkara yang buat mereka sangat marah'.

Penangan sambal tumis yang agak pedas, digomol pula segelas teh, membawa padah. Perut jadi memulas. Maka tidak tertahan lagi, bergegas saya mencari tandas.

Jam 8.45. Sambil duduk-duduk di depan kaunter tiket, saya menghantarkan sms kepada Halim Othman, yang tertulis begini:

'salam deejay superstar. saya sangat marah kalau masuk tandas tak ada tempat nak sangkut seluar. seksa!'

Begini respon deejay yang tampan itu: 'hahaha'

Permisi. Kita bisa ketemu lagi.





Ahad, 1 Januari 2012

MERAH CINTA KITA di Rumah KeduaKu

Sabtu, hari terakhir 2011.
Kami satu famili ke Shah Alam. Seperti biasa, Syai yang memandu. Jam sembilan setengah baru sampai ke destinasi. Lewat lima belas minit kerana berpusing juga mencari lokasinya. Kali pertama kami satu famili ke situ. Memang teruja sangat mahu menjejak kaki di lamannya. Banyak sudah saya dengar tentang kebagusannya. Mendengar cerita orang dengan melihat sendiri biasanya jauh amat berbeza. Cerita mudah sekali ditokok-tambah supaya sedap. Kerana itu, lazim berlaku 'indah khabar daripada rupa'.

Tapi kali ini, memang benarlah 'indah seperti yang dikhabarkan!'
Dari jam sembilan setengah pagi hingga empat petang kami satu famili leka di Rumah KeduaKu.

Semuanya - Yang Tersayang, Syai, Ney-ney dan Dek-dek - begitu teruja dan sangat puas hati. Apatah lagi kami diberikan layanan sungguh istimewa oleh Pengarah PPAS Pn Hajjah Mastura Mohammad. Malahan suaminya (Haji Badrul) dan anak-anak gadisnya (Farah, Nurul dan Hajar) sama mesranya dengan ibu mereka menjadi hos yang sangat bagus kepada kami berlima.
Memang benar sungguhlah Perpustakaan Raja Tun Uda di Shah Alam ini seolah-olah Rumah KeduaKu sebagaimana yang dicita-citakan Pengarah PPAS. Saya difahamkan betapa kewujudan, operasi dan servis perpustakaan hebat ini adalah berlandaskan konsep itu. Betul sungguh begitu!

Berkunjung ke sini bersama famili, bukan sekadar kita mampu duduk berlama-lama sampai petang, kalau disediakan bilik tidur pun kami sanggup bermalam! Pertama kali dalam hidup berfamili saya lihat anak-anak amat seronok lepak di perpustakaan.

Sebabnya? Tunggu dulu. Kita bisa bicara tentang itu di lain pertemuan.

Sebelum pulang (kerana ada panggilan telefon daripada seorang sahabat yang mahu bertandang ke rumah), saya menyampaikan cenderahati kepada Pn Hajjah Mastura. Apa lagi kalau bukan naskhah Merah Cinta Kita!

Salam tahun baru kepada semua kenalan di alam siber. Terima kasih 'daun keladi' kerana rajin mengunjungi blog ini. Saya amat menghargainya.
Moga di tahun baru ini, Allah memberikan kemampuan kepada kita untuk mencapai impian yang dicita-citakan. Ameen.
Permisi. Bisa ketemu lagi.

foto 1: pakai spek hitam sebelum nonton filem 'RIO' di pawagam 3D Perpustakaan Raja Tun Uda.
foto 2: Pengarah Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS) menerima naskhah Merah Cinta Kita