Karya

Karya

Rabu, 25 Julai 2012

madrasah ramadhan (1) DOSA YANG TAK DIAMPUN DI BULAN KEGEMBIRAAN

Di ambang Ramadhan. Jumaat, 20 Julai 2012.

Seekor lembu ditumbangkan. Dengar cerita disedekahkan oleh seorang tauke stesen minyak. Petang itu, sebilangan anak khariah bergotong-royong melapah dan memasak di laman surau. Dua tukang masak handalan Haji Murat dan Tuan Syed menjadi tekong. Sup, daging kuzi dan gulai kawah. Pecah liur ketika terhidu aromanya. Dua tukang masak ini juga yang menjadi tekong sewaktu AidilAdha tahun lepas. Supnya memang sedap sungguh. Kalah sup urat keting yang begitu terkenal di Bangi.

Kerana hujan, dan mahu jalan kaki saja, hampir jam lapan suku malam baru saya sampai di surau. Terlepas nak hirup sup tulang. Periuk besar sudah kering. Tapi makan nasi panas-panas dengan gulai kawah daging segar...ugh, enak bangat! Maka berlama-lama jugak kami di bawah khemah, hinggakan terpaksalah tok siak memanggil kerana solat tarawih dah nak mula.

Sebelum berjamu, diadakan ceramah ihya' Ramadhan. Kerana terlewat sampai, bahagian akhir saja dapat saya dengar. Ceramah dimulakan selepas solat Maghrib. Disampaikan ustaz dari Pusat Zakat Selangor.

Tumpuan ceramahnya mengenai wakaf. Tapi bahagian hujung yang masih sempat saya dengar itu menyentuh mengenai hikmah dan nikmat Ramadhan.

Ustaz menyebut betapa di bulan yang dikatakan 'penuh kegembiraan' itu, barang siapa yang bertaubat nasuha, nescaya Allah akan memberikannya keampunan, kecuali empat perbuatan keji, iaitu:-

1. Minum Arak (ketagihan)
2. Derhaka kepada ibu bapa
3. Memutuskan silaturrahim
4. Menyimpan Dendam Kesumat

Ramadhan 'bulan penuh kegembiraan' kerana pintu ibadah terbuka amat luas, dan ganjarannya berlipat ganda dijanjikan Allah.

Tiada bulan-bulan lain didirikan solat tarawih. Nuzul Quran pada bulan ini jugak. Begitu juga dengan Lailatul-qadr (malam seribu bulan). Bahkan zakat fitrah itu mula ditunaikan sepanjang bulan puasa hingga menjelma satu Syawal.

Alangkah ruginya, jika di bulan penuh kegembiraan itu ada di kalangan kita 'mengisinya' dengan melakukan 'kemudaratan diri' dalam rupabentuk perbuatan keji yang empat itu.

Barangkali, kutipan berikut bisa memberikan pengajaran kepada kita. Tentang seorang lelaki yang mengaku derhaka kepada ibunya.
Dulu, dibiarkan saja si isteri menghalau ibunya yang mahu menumpang di rumahnya. Kini, dia (lelaki itu) pula dihalau anak lelakinya sendiri, selepas menjalani pembedahan jantung. Tinggal dia di rumah kebajikan untuk orang-orang tua. Kebetulan, biliknya kini bersebelahan dengan yang pernah dihuni ibunya dulu (sudah meninggal).


Hidupkan Ramadhan kita dengan ibadat bukan maksiat. Hindarkan perkara keji yang empat itu.

Permisi. Bisa ketemu lagi.




2 ulasan:

  1. Assalamualaikum en Harleem,

    Terima Kasih diatas sharing ini, sedikit sebanyak memberi keinsafan dalam diri.

    Salam dari www.kisahsigemok.com

    BalasPadam
  2. terima kasih sdr asyraf kerena sudi menziarah. yang baik jadikan teladan, yang buruk jadikan sempadan

    BalasPadam